MANGSA ditemui mati dipercayai tertembak diri sendiri dalam kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Kerandang, Bukit Tagar, Kuala Kubu Bharu, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
MANGSA ditemui mati dipercayai tertembak diri sendiri dalam kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Kerandang, Bukit Tagar, Kuala Kubu Bharu, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Amrullah Abdu Karim


ANGGOTA tentera berpangkat sarjan ditemui mati dengan kesan cedera di dagu dan kepala akibat terkena tembakan di dalam kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Kerandang, Bukit Tagar, Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Mangsa, 38, dipercayai tertembak diri sendiri menggunakan senapang patah ketika memburu di kawasan kebun itu dengan menunggang motosikal bersendirian.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Lim Bhak Pai berkata, siasatan mendapati mangsa keluar dari rumahnya di kuarters tentera di Paya Jaras pada Khamis lalu untuk memburu, namun tidak pulang sehingga mayatnya ditemui.

“Isteri mangsa meminta bantuan daripada saksi (anggota tentera lain) untuk mencarinya.

“Pada 10.30 pagi tadi saksi menjumpai mangsa di tempat kejadian dalam keadaan terbaring di atas motosikal yang jatuh,” katanya.

Menurutnya, siasatan pasukan forensik di tempat kejadian mengesahkan mangsa tertembak diri sendiri dan mengalami kecederaan di bawah dagu sebelah kiri yang menembusi di sebelah atas kepala kanan.

Katanya, mangsa dipercayai meninggal dunia melebihi 24 jam.

“Dompet dan dokumen mangsa ditemui dalam keadaan baik.

“Punca kejadian dipercayai mangsa tertekan picu senapang atau terhentak senapang, dan menyebabkan satu tembakan terlepas lalu mengenai dagunya.

“Pasukan forensik juga menjumpai selaras senapang patah buatan sendiri dan sebutir kelongsong peluru jenis Bore 12 di dalam laras senapang itu,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Jun 2018 @ 11:03 PM