GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kajang: Suspek yang tertembak mati rakannya ketika memburu akan dituduh di mahkamah, esok.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kertas siasatan kes seorang lelaki yang maut terkena tembakan di hutan Batu 18, Hulu Langat sudah lengkap dan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Beliau berkata, arahan tuduh dikeluarkan hari ini dengan suspek yang menembak mangsa dituduh mengikut Seksyen 304 A Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta senjata 1960.

"Bagi pemegang lesen senjata api akan mengikut Seksyen 41 Akta Senjata 1960 kerana bersubahat membenarkan senjata api digunakan tanpa lesen.

"Dua tangkapan lain iaitu abang si mati dan rakannya akan diikat dengan bon sebagai saksi pendakwaan," katanya.

Beliau berkata, pemegang lesen senjata api akan dituduh dalam masa terdekat.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, lelaki maut dipercayai tertembak senapang api yang terpelanting dari tangan rakan dalam kejadian di kawasan hutan berhampiran Sungai Gabai, 6 Julai lalu.

Siasatan awal mendapati mangsa dikatakan bersama tiga rakannya masuk ke lokasi itu untuk ke kawasan kebun durian di atas lereng bukit yang terletak kira-kira dua kilometer perjalanan.

Siasatan mendapati ketika dalam perjalanan seorang rakan mangsa yang membawa senapang patah tergelincir di lereng bukit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 7:58 PM