GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Izad Thaqif Hassan

Kulim: Bedah siasat terhadap warga emas yang ditemukan meninggal dunia di kebun durian miliknya di Kampung Kongsi Dalam, Sungai Kob dekat sini, semalam mengesahkannya maut kerana pendarahan akibat tembakan.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, senapang patah yang meletup secara tidak sengaja menyebabkan lelaki warga emas itu tertembak diri sendiri.

"Pemeriksaan mendapati senapang patah berkenaan didaftarkan atas nama mangsa dan kita menemui senjata api itu ditinggalkan di tepi dinding kanan pondok kira-kira 700 meter daripada mayatnya ditemui.

"Hasil siasatan lanjut kita mendapati senapang patah berkenaan meletup secara tidak sengaja dan terdapat cebisan isi terlekat di dinding pondok itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, tiada sebarang unsur jenayah ditemuikan di tempat kejadian dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Malam tadi, dilaporkan seorang lelaki berusia 72 tahun yang juga pemilik kebun durian maut tertembak diri sendiri.

Mangsa ditemukan terbaring tidak sedarkan diri dalam keadaan tangan kanan berlumuran darah oleh seorang saksi lelaki berusia 56 tahun yang juga penoreh getah di sebelah kebunnya jam 9 pagi.

Saksi mendakwa dia bertemu serta berbual dengan mangsa yang mengajaknya mengutip durian dua jam sebelum itu dan turut memberitahu mangsa ada membawa selaras senapang patah yang digantung di bahu.

Bagaimanapun, saksi mendakwa dia tidak mendengar sebarang tembakan atau letupan berikutan bunyi air di sungai berhampiran dan hanya menemui mangsa yang sudah terbaring sebelum dia menghubungi polis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2022 @ 4:21 PM