ASPEK keselamatan dititikberatkan pada peserta sukan panjat pokok.
ASPEK keselamatan dititikberatkan pada peserta sukan panjat pokok.
Zuhainy Zulkifli


Georgetown: Sukan ekstrem semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat di negara ini dengan jumlah penggiatnya semakin meningkat dari hari ke hari.

Malah orang ramai boleh mencuba pelbagai jenis sukan ekstrem mengikut minat dan kecenderungan mereka, termasuk yang menjadi kegilaan sekarang iaitu cabaran memanjat pokok.

Mungkin ada yang menganggap ia kurang mencabar atau langsung tidak popular, namun sebenarnya peserta perlu menggunakan seluruh keringat dan teknik tertentu untuk berjaya.

Pengalaman unik itu dikongsi ahli persatuan Tree Climbers Malaysia (TCM) diketuai pengasasnya, Saifful Patil, 34, kini aktif mempromosikan aktiviti itu di The Habitat, Bukit Bendera iaitu sebahagian daripada Hutan Simpanan Kekal Bukit Bendera di Pulau Pinang.

“Persatuan ini ditubuhkan 10 tahun lalu bertujuan mempromosikan sukan ini, selain berkongsi teknik memanjat pokok yang betul dan selamat.

“Kami mementingkan keselamatan, semua peserta diwajibkan memakai topi keledar, sarung tangan dan abah-abah sebelum dibenarkan memanjat pokok,” katanya.

Katanya, pada peringkat permulaan peserta akan didedahkan mengenai teknik menggunakan tali, aspek keselamatan dan mempelajari beberapa ikatan asas.

Selain mempromosikan sukan ekstrem itu kepada orang ramai, pihaknya turut membantu agensi berkenaan dalam menjayakan penyelidikan mengenai flora dan fauna.

Menceritakan pengalamannya bekas pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) itu berkata, dia sudah ke beberapa negara seperti Korea, Vietnam, Thailand, Hong Kong serta Singapura, bagi mempromosikan sukan itu.

“Soalan paling kerap ditanya sepanjang melakukan promosi adalah risiko kemalangan ketika memanjat pokok. Kemalangan boleh terjadi jika aspek keselamatan diabaikan selain faktor kecuaian manusia.

“Sebelum aktiviti itu dimulakan kami akan melaraskan tali terlebih dahulu dan memeriksa dahan sama ada selamat atau tidak,” katanya.

Sementara itu bagi ‘orang lama’ yang berpengalaman lebih 40 tahun dengan selok-belok hutan, Abdul Halim Samat, 59, kini menjadi rujukan penggemar sukan ekstrem itu.

Katanya, dia memberikan pendedahan mengenai teknik memanjat pokok kepada 60 peserta setiap bulan dan jumlah itu dianggap agak besar.

Menurutnya, lokasi itu mempunyai empat pokok yang sesuai bagi sukan berkenaan dengan ketinggian setiap satu antara 12 hingga 18 meter.

“Kami sediakan platform di puncak bagi membolehkan peserta berehat seketika sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

“Ramai berasa amat puas dan berbaloi kerahkan keringat sampai ke puncak kerana pemandangan dinikmati memang menakjubkan,” katanya.

Rakan setugasnya, Nurshafila Yaakob, 29, mengakui sambutan sukan memanjat pokok cukup memberangsangkan termasuk dalam kalangan wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mei 2018 @ 3:25 AM