TIDAK gerun dengan permukaan batu tidak rata.
TIDAK gerun dengan permukaan batu tidak rata.
 REHAT sambil membincangkan strategi bersama rakan sepasukan.
REHAT sambil membincangkan strategi bersama rakan sepasukan.
HON dibunyikan tanda pertandingan bermula.
HON dibunyikan tanda pertandingan bermula.
Oleh Azlan Hafeedz


Dari jauh beberapa pemuda kelihatan seperti watak adiwira 'Spider-man' apabila memanjat bukit batu kapur tanpa masalah. Menggunakan kekuatan kaki serta cengkaman jari, aksi mereka berpaut di celahan tubir batu kapur sungguh mengagumkan.

Tanpa rasa takut mahupun gayat, 130 peserta Kelantan Rock Climbing Challenge 2014 di Taman Etnobotani Gua Musang (TEGM), Kelantan baru-baru ini, berjaya menamatkan cabaran tanpa ditimpa musibah kecuali luka ri­ngan.

Tersenarai antara 10 lokasi panjat dinding batu atau 'rock climbing' tersohor di Malaysia, TEGM yang memiliki bukit batu kapur setinggi 50 meter dengan kecuraman 90 darjah itu mampu membuatkan pendaki yang kali pertama mencubanya kecut perut.

Digredkan sebagai 7A+ berdasarkan tahap kesukaran tertinggi di dunia oleh pendaki profesional mengikut skema France Federation Mountaineer Escalade, TEGM sentiasa menjadi tumpuan peminat sukan ekstrem itu.

Pertandingan anjuran Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Kelantan itu turut mendapat sokongan teknikal daripada Escalade Training And Supply (ETS).

Beberapa kelab rekreasi membabitkan institusi pengajian ting­gi turut menyertainya seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Institut Teknologi Aero­space (ITA), Politeknik Kota Bharu (PKB), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknikal Melaka (UTEM).

Sebaik sesi memanaskan badan bermula, peserta mempersiapkan diri dengan memakai peralatan wajib di badan seperti topi keselamatan, tali dinamik (kernmantle), harness, karrabena, 'chalk bag' (kapur magnesium) dan kasut bagi menghadapi 10 laluan sukar disediakan ETS.

Bagi menghangatkan pentas cabaran, ETS mewujudkan empat kategori iaitu Mixed Expert, Main Team Expert, Main Team No­vice dan Mixed Team Novice yang perlu disertai dua orang berlainan jantina sebagai pendaki atau 'climber' dan juga pemegang tali (belayer).

Simbolik perlepasan peserta dilakukan Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Kelantan, Mohd Aidil Afizie Daud.

Ketua Penyelaras ETS, Khairul Anuar Jamaludin, 36, berkata, setiap pasangan peserta perlu menghabiskan 10 laluan dalam tempoh 40 minit dan markah diberi berdasarkan kecekapan mereka melakukan pendakian.

Katanya, setiap laluan memiliki ketinggian berbeza antara 15 hingga 20 meter dengan tahap paling sukar gred 6C.

"Selain cengkaman jari, kekuatan kaki ketika memijak tetubir batu, kekuatan mental, teknik disusuli pendakian betul diperlukan oleh peserta untuk meleng­kapkan cabaran, selain strategi serta komunikasi tepat di antara 'climber' dan 'belayer'.

"Setiap pendaki perlu mengimbangi tangan dan kaki, termasuk mengalihkan graviti kepada tubuh, selain badan tidak boleh condong ketika memanjat," katanya yang pernah mewakili negara ke beberapa pertandingan peringkat antarabangsa, termasuk di Perancis pada 2000.

Peserta Nur Hidayah Idris, 22, berkata, dia mula berjinak-jinak dengan aktiviti lasak itu enam bulan lalu dan sejak itu mula ketagih hingga melakukan lebih 50 pendakian setakat ini.

Bagaimanapun, katanya, cabaran mendaki dinding batu semula jadi lebih mencabar jika dibanding­kan dengan dinding tiruan kerana pendaki perlu bersemuka dengan rupa bentuk geografi sebenar.

"Setiap permukaan batu (rock climbing) berbeza bentuknya dan satu kesilapan ketika mencengkam, berpaut atau berpijak boleh membantut serta melambatkan usaha kita untuk sampai ke puncak.

"Ini kali pertama saya menyertai cabaran di TEGM dan tak dinafikan ketika memanjatnya timbul pelbagai perasaan, termasuk bimbang terjatuh. Sebelum ini, saya banyak melakukan aksi memanjat dinding tiruan di Taman Cabaran Putrajaya," katanya yang juga ahli Persatuan Aktiviti dan Rekreasi Luar MMU.

Bagi penuntut jurusan Ijazah Sains dan Tekstil UiTM di Shah Alam, Siti Ruzianafiza Mohd Zin, 22, susuk tubuhnya setinggi 152 sentimeter dengan berat badan 45 kilogram tidak pernah menghalangnya untuk memanjat dinding batu pada ketinggian 60 hingga 70 meter.

"Saya bersama ahli Kelab Rekreasi Shah Alam (Kresma) lain berlatih di Batu Caves (Selangor) kira-kira lima kali sebulan bagi memantapkan mutu serta teknik panjatan.

"Dalam aktiviti rock climbing, kita tidak boleh mencabar atau merosakkan hukum alam, sebaliknya perlu menghormatinya," katanya yang mula menceburi bidang itu setahun lalu.

Ahli Extreme Force Club, Institut Teknologi Aerospace dari Kedah, Muhammad Fais Mohammed Nizan, 19, pula berkata, perkongsian pengalaman bersama bekas wakil negara yang juga jurulatih kelab, Mohd Zamri Hamid, 43, banyak membantu mereka mempelajari selok-belok teknik sukan itu.

"Pada peringkat awal, perasaan gerun dan gayat memang ada tetapi ia akan bertukar menjadi kenikmatan jika seseorang pendaki berjaya menjiwai sepenuhnya sukan itu kerana aktiviti memanjat dinding batu berbeza berbanding sukan lasak lain.

"Petua menghilangkan rasa takut buat pendaki yang baru berjinak-jinak dengan sukan ini adalah mereka disaran tidak memandang ke bawah bagi me­ngelak timbul perasaan gayat," katanya yang menuntut dalam jurusan Diploma Penerbangan.

Semantara itu, gadis lasak dari Sabah, Saidah Saudi, 23, berkata, dia kini berusaha mencapai gred A+ berikutan tiada lagi golongan pendaki wanita di Malaysia berada dalam kelompok berkenaan.

Justeru dia cuba menyertai pertandingan sebanyak mungkin seperti Speed Challenge, Rock Conquest Inter IPT dan Varsity Challenge 2014 bagi memboleh­kannya mengumpul 'cap'.

"Ada kalanya saya patah semangat selepas gagal melakukan pendakian tetapi memperoleh kekuatan semula sebaik mendapat suntikan semangat daripada rakan serta ibu, Suzan Amin yang juga bekas atlet Sabah.

"Elemen yang mendorong saya aktif dalam sukan ini ialah terlalu cintakan keindahan alam semula jadi sejak kecil. Sebab itu saya gemar melayani keunikan batu ketika mendaki," katanya yang juga penuntut jurusan Ijazah Kejuruteraan Awam UiTM di Shah Alam.

Nurul Najihah Abdullah, 20, pula berkata, sikapnya yang gemar memanjat pokok ketika kecil bertukar realiti apabila kini menjadi pemanjat dinding batu amatur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 November 2014 @ 5:00 AM