50 sahut cabaran Gunung Lang. Gambar kanan, peserta berlari mengelilingi Taman Rekreasi Gunung Lang untuk memanaskan badan sebelum memulakan aktiviti pendakian.
50 sahut cabaran Gunung Lang. Gambar kanan, peserta berlari mengelilingi Taman Rekreasi Gunung Lang untuk memanaskan badan sebelum memulakan aktiviti pendakian.
Helmy Abd Rahman


MENDAKI tebing batu di Gunung Lang, Ipoh menjadi pengalaman cukup mengujakan bagi mereka yang mahu mencabar keupayaan diri.

Mana tidaknya, di samping perlu menguatkan kaki untuk melonjak ke atas, tangan pendaki perlu mempunyai cukup tenaga bagi mencari rongga batu sesuai untuk bergantung dan menaikkan badan kerana kedua-dua pergerakan ini harus dilakukan serentak.

Perubahan cuaca melalui pergerakan angin dan hujan juga boleh berlaku tiba-tiba dan jika terjadi ketika sedang mendaki, permukaan batu menjadi licin dan sukar untuk dipegang.

Cabaran itu disahut hampir 50 pendaki yang terdiri daripada ahli Kelab Kembara Politeknik Ungku Omar (PUO) seramai 40 orang, ahli Persatuan Mata Hati Malaysia (empat), ahli Persatuan Mendaki Negeri Perak (PsMP) seramai tiga orang dan dua ahli Ipoh Climber Community (ICC).

Aktiviti pendakian itu diadakan sempena Program Pembangunan Sahsiah Pelajar bertemakan ‘menghayati khazanah alam dan menghargai warisan’ di Taman Rekreasi Gunung Lang.

Berbeza dengan aktiviti memanjat tembok tiruan, memanjat tebing batu jauh lebih mencabar kerana perlu bergantung sepenuhnya kepada rongga batu di dinding gua yang terbentuk secara semula jadi.

Aktiviti memanjat tebing batu juga memerlukan kelengkapan khusus antaranya abah-abah, tali keselamatan, kapur dan kasut khas untuk memudahkan pendakian.

Peserta program diberikan taklimat ringkas oleh jurulatih selama 30 minit mengenai cara pemakaian abah-abah yang digunakan sebagai alat keselamatan untuk pendaki memahami setiap fungsi kelengkapan yang ada.

Setiap peserta dibantu seorang peserta lain yang bertindak sebagai belayer untuk menjaga keselamatan peserta yang sedang memanjat.

Peserta, Misha Gill Po, 19, yang juga Setiausaha Kelab Kembara PUO berkata, dia rasa bertuah kerana berpeluang mengikuti program itu.

“Ini pengalaman pertama saya mendaki tebing. Kejayaan memanjat ketinggian antara 15 hingga 20 meter saya kira cukup bagus walaupun mengambil masa hampir 25 minit,” kata penuntut Diploma Kejuruteraan Awam itu.

Bagi Bong Lee Lin, 19, selain berpeluang menikmati pemandangan berlatar belakang panorama Gunung Lang, perasaan gemuruhnya hilang sebaik berjaya melepasi halangan yang ada di gunung berkenaan.

“Memang agak takut dan gemuruh, apatah lagi saya pertama kali mendaki, tetapi tidak lama kemudian, ia diganti dengan senyuman puas selepas berjaya melepasi setiap halangan.

“Nampak mudah tetapi sebenarnya memerlukan keberanian dan tumpuan 100 peratus terhadap aspek keselamatan sebelum memanjat tebing bukit berbatu kapur.

“Bagaimanapun selepas mencuba, ternyata pergerakan dan aspek teknikal sukan lasak ini tidaklah sesukar mana kerana pendaki hanya perlu memanjat setinggi mana yang mampu,” katanya yang mengikuti pengajian Diploma Geomatik di PUO.

Katanya lagi, ketika mendaki, dia tidak sempat memikirkan hal lain selain cara untuk tiba di atas atau bahagian tebing mana yang patut dipegang.

“Kalau tidak beri tumpuan, silap hari bulan diri sendiri jadi mangsa. Memang nampak berbahaya tapi sukan ini membuatkan kita sentiasa bersedia dan peka,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kokurikulum Kelab Kembara PUO, Khairol Hisam Hamran berkata, Taman Rekreasi Gunung Lang unik kerana dapat menyajikan pengunjung dengan pelbagai aktiviti lasak antaranya mendaki, menikmati panorama alam semula jadi, mandi-manda dan sesuai untuk mengambil gambar pemandangan menarik.

“Program Pembangunan Sahsiah ini adalah satu misi bagi membangunkan sahsiah pelajar dan untuk membina keyakinan diri, sekali gus dapat merealisasikan hasrat PUO untuk melahirkan graduan berketrampilan, bersemangat patriotik, berdisiplin dan bernilai murni,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 4:30 AM