PENDAKI Ekspedisi Merdeka Gunung Elbrus 2017 berjaya menamatkan misi ke puncak Gunung Elbrus. FOTO Muhammad Illaham Ishak
PENDAKI Ekspedisi Merdeka Gunung Elbrus 2017 berjaya menamatkan misi ke puncak Gunung Elbrus. FOTO Muhammad Illaham Ishak
Nursyahirah Marzuki


JALUR Gemilang berkibar megah di puncak tertinggi Eropah apabila lima pendaki Malaysia menawan puncak Gunung Elbrus di Russia , 11 pagi waktu tempatan (4 petang waktu Malaysi), semalam.

Lima pendaki Ekspedisi Merdeka Gunung Elbrus 2017 yang berjaya menawan gunung setinggi 5,642 meter (m) itu terdiri daripada Presiden Kelab Jelajah Alpine, Muhammad Illaham Ishak serta Mohamad Ashaziq Abu Bakar, Zamri Jamingan, Mohd Nizam Aman dan Mafeitzeral Mamat.

Muhammad Illaham yang juga ketua ekspedisi berkata, semua pendaki menghadapi pelbagai cabaran termasuk ribut ketika latihan pada ketinggian 5,000 meter (m) dengan kelajuan angin 40 kilometer sejam (km/jam).

"Kami bertolak kira-kira 2 pagi waktu Russia (7 pagi waktu Malaysia) dengan cuaca sejuk sehingga mencecah 25 darjah Celsius selain angin yang kuat menyukarkan pendakian awal.

"Perjalanan kali ini sangat jauh kerana kami perlu bermula di ketinggian 4,700 m. Namun semua peserta mempunyai pengalaman untuk melawan angin kencang sehingga dapat sampai ke puncak.. Alhamdulillah," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Illaham berkata, sepanjang pendakian, mereka terpaksa melalui cerun dan rabung bukit (tanah tinggi yang panjang dan sempit) yang licin serta bahaya sehingga mereka terpaksa menggunakan peralatan kapak ais dan 'alpine climb'.

"Malah, seorang daripada kami turut diserang penyakit akut gunung (AMS) di ketinggian 5,400 m, namun dengan kepakaran yang ada saya dapat membantunya dengan penggunaan tali untuk sampai ke puncak.

"Kita menggunakan teknik pendakian Alpine yang memerlukan pendaki diikat menggunakan abah-abah keselamatan untuk mengelakkan mereka tergelincir," katanya.

Rabu lalu, peserta Ekspedisi Merdeka Gunung Elbrus 2017 memulakan ekspedisi mereka sempena sambutan Hari Kebangsaan sekali gus mempromosikan kempen mengutip dana bagi Aman Palestin untuk membiayai projek pembinaan sumber air bersih di Syria.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 1:59 PM