Khalid menanti selama 18 tahun untuk mendapatkan anak perempuan. FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD
Khalid menanti selama 18 tahun untuk mendapatkan anak perempuan. FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD
Sudirman Mohd Tahir


SUAMI penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa mengakui hampir 18 tahun dia mengimpikan untuk menimang cahaya mata perempuan.

Khalid, 59, berkata, kehadiran puteri sulung bersama Siti, Siti Aafiyah adalah rezeki dan nikmat tidak terhingga sekali gus menambahkan lagi seri dalam rumah tangga mereka.

"Sebelum ini saya sudah memiliki empat anak lelaki. Apabila rumah kami siap sepenuhnya, setiap anak mempunyai bilik sendiri. Malah, saya turut menyediakan satu bilik tambahan yang mana diniatkan untuk anak perempuan.

"Jadi, selepas Siti disahkan hamil anak perempuan saya berasa sangat bersyukur. Impian dan doa saya dimakbulkan Allah. Dalam masa sama, hasrat untuk melihat bilik berkenaan didiami anak perempuan tercapai," katanya kepada Harian Metro.

Khalid berkata, biarpun sudah mempunyai tiga cucu, dia tidak kekok untuk menguruskan anak kecil semula.

"Ini semua rezeki dan ketentuan Allah. Saya terima dengan penuh kesyukuran. Memandangkan sudah ada tiga cucu, jadi tidak wujud perasaan kekok.

"Lagi pula sebelum ini saya banyak meluangkan masa dengan mereka. Jadi, tidak ada masalah pun. Saya biasa saja," katanya.

Terdahulu Siti selamat bersalin pada 19 Mac lalu secara pembedahan.

Semalam, pasangan itu berkongsi wajah dan nama sebenar anak mereka sempena hari ketujuh kelahiran.

Siti dan Khalid juga mengadakan majlis maulid Nabi, tahnik, cukur jambul dan aqiqah sekali gus memperkenalkan Siti Aafiyah kepada ahli keluarga, rakan terdekat dan pihak media.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 1:30 PM