DATUK Seri Siti Nurhaliza dan anaknya, Siti Afiyah ketika sambutan hari lahirnya bersama Sitizone di Star Avenue, Subang. FOTO Aziah Azmee
DATUK Seri Siti Nurhaliza dan anaknya, Siti Afiyah ketika sambutan hari lahirnya bersama Sitizone di Star Avenue, Subang. FOTO Aziah Azmee
Syafil Syazwan Jefri


FOTO makanan tambahan untuk kehamilan berserta kapsyen yang dikongsikan oleh penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza di Instagram Story semalam mencuri perhatian ramai pengikut dan peminatnya.

Siti, 41, yang kini berada di Gold Coast, Australia berkata, ia adalah sebagai persediaan sahaja dan belum ada sebarang berita kehamilan untuk dikongsikan.

"Ia hanya persiapan dan belum ada apa-apa lagi. Lagi pula, makanan tambahan itu tidak ada dijual di Malaysia," katanya kepada Harian Metro.

Di Instagram Story, Siti menulis kapsyen yang memberikan sedikit pembayang mengenai persiapannya untuk menimang cahaya mata kedua.

"Standby (persediaan) untuk adik Aafiyah," tulisnya di Instagram Story.

Sebelum ini, Siti pernah berkongsi mengenai usahanya untuk mendapatkan cahaya mata kedua.

“Insya Allah, sebab usia saya pun makin meningkat. Saya mensasarkan timang anak kedua sebelum usia 43 tahun.

"Walau bagaimanapun saya tetap menjalankan apa yang doktor sarankan dengan mengikut segala prosedur sama macam dulu iaitu IVF.

“Sebab masa buat dulu saya masih ada embrio yang disimpan. Jadi, Insya Allah. Ini semua rezeki Allah. Kalau letak, ia menjadi, begitulah sebaliknya.

“Apa pun, saya berserah pada Allah. Kalau Allah kata ada rezeki lagi, saya bersyukur. Kalau tidak ada pun, tidak mengapa. Ini kerana, Aafiyah satu-satunya doa yang saya menanti selepas sekian lama,” katanya.

Terdahulu, pada 2017, Siti berkongsi berita kehamilannya ketika usia 38 tahun iaitu selepas 11 tahun berkahwin dengan ahli perniagaan, Datuk Sri Khalid Mohamad Jiwa, 61, atau dikenali sebagai Datuk K.

Siti selamat bersalin anak perempuan yang diberi nama Siti Aafiyah pada 19 Mac 2018 dan kini Aafiyah mencecah usia dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 3:56 PM