Keadaan pesawat Cirrus 9M-ZWR selepas tergelincir dari landasan. FOTO Ihsan PDRM
Keadaan pesawat Cirrus 9M-ZWR selepas tergelincir dari landasan. FOTO Ihsan PDRM
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


EMPAT individu termasuk seorang ahli perniagaan bergelar Datuk berdepan detik cemas apabila pesawat ringan yang dinaiki mereka tergelincir ketika mendarat di Lapangan Terbang Tekek, Pulau Tioman, hari ini.

Dalam kejadian jam 12.51 tengah hari itu, Datuk Anuar Hassan, 48, dan isterinya, Siti Norlaila Abu Bakar, 46, pembantu peribadinya, Muhammad Abdul A’lim Salleh, 28, serta juruterbang, Wan Mohd Faizul Rizal, 35, mengalami cedera ringan dan lebam akibat terhantuk.

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Azli Mohd Noor berkata, pesawat jenis Cirrus 9M-ZWR itu berlepas dari Lapangan Terbang Senai, Johor untuk ke Pulau Tioman.

"Sebaik mahu mendarat pesawat berkenaan hilang kawalan akibat angin lintang dan menyebabkannya tergelincir dari landasan, kelajuan angin ketika itu adalah 10 knot.

"Bagaimanapun semua mangsa terselamat dan hanya mengalami cedera ringan akibat terhantuk ketika kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pesawat berkenaan adalah milik Anuar dan difahamkan mereka ke pulau peranginan itu untuk urusan perniagaan kain.

Katanya, Wan Mohd Faizul baru lapan bulan bertugas sebagai juruterbang pesawat berkenaan dan mempunyai lesen penerbangan sejak 2010.

"Kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 6:16 PM