SEMUA penumpang terselamat dalam kejadian itu. FOTO Agensi
SEMUA penumpang terselamat dalam kejadian itu. FOTO Agensi
Agensi

Los Angeles: Menakjubkan apabila suami isteri dan anak perempuan mereka terselamat dalam nahas pesawat ringan selepas menggunakan payung terjun untuk memperlahankan tempoh kapal terbang itu terhempas.

New York Post melaporkan dalam kejadian di Whitehorn di California, Jumaat lalu, pesawat Cirrus SR22 2004 dinaiki tiga beranak itu pada mulanya berlegar-legar di kawasan pergunungan.

Polis kemudiannya menemukan mereka berhampiran lokasi nahas di Whitehorn.

Suami isteri yang masing-masing berusia 38 tahun dan anak perempuan mereka yang berusia dua tahun itu hanya mengalami calar, kata portal berita itu yang memetik laporan polis tempatan.

Menurut polis, pesawat Cirrus SR22 2004 itu berlepas dari Lapangan Terbang Shelter Cove dan menuju ke Santa Rosa, iaitu tempat tinggal keluarga berkenaan.

Bagaimanapun, pesawat itu kehilangan kuasa dan mula menurun ketika dalam perjalanan.

"Juruterbang cuba menyelesaikan masalah bagi mencari punca pesawat kehilangan kuasa enjin, tetapi mendapati ketinggian pesawat terlalu rendah untuk pemulihan," kata jurucakap Pejabat Syerif Daerah Mendocino dalam satu kenyataan.

Juruterbang itu kemudian memutuskan untuk menggunakan sistem payung terjun di dalam pesawat untuk memperlahankan kadar kejatuhannya, kata pejabat syerif.

Payung terjun itu sangat besar dan ia membawa pesawat itu sehingga ia akhirnya terhempas di hutan.

Bercakap kepada agensi berita tempatan, Kapten Quincy Cromer dari pejabat syeriff berkata, ia kelihatan seperti ikhtiar terakhir mangsa.

"Peluang untuk hidup tanpa payung terjun adalah tipis," kata ketua jabatan bomba tempatan.

Tambahnya, mangsa dibawa keluar dari pesawat selepas kru kecemasan tiba di tempat kejadian.

Jabatan bomba juga memuat naik gambar di lokasi nahas yang menunjukkan payung terjun itu terperangkap di pokok tempat pesawat itu terhempas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2024 @ 12:56 PM