KEADAAN pesawat Twin Otter MASWwings yang tergelincir  ketika mendarat di Long Seridan pagi tadi. FOTO Ihsan pembaca
KEADAAN pesawat Twin Otter MASWwings yang tergelincir ketika mendarat di Long Seridan pagi tadi. FOTO Ihsan pembaca
Melvin Joni


SEBUAH pesawat ringan terbabas ke dalam longkang selepas tergelincir daripada landasan ketika mendarat di Long Seridan, Miri pagi tadi.

Pesawat Twin Otter DHC-6 milik anak syarikat Malaysia Airlines, MASWings itu berlepas dari Marudi jam 10.02 pagi.

Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin, juruterbang, pembantu juruterbang bersama dua penumpang yang menaiki penerbangan MH3622 itu selamat.

"Saya sudah hubungi Ketua Pegawai Eksekutif MASWings Aminuddin Zakaria dan beliau mengatakan bahawa siasatan terhadap insiden sedang dijalankan.

"Saya juga diberitahu bahawa semua penumpang di dalam pesawat termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang selamat tanpa sebarang kecederaan.

"Pesawat tergelincir ketika mendarat di landasan yang basah selepas hujan pagi ini," katanya dihubungi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Datuk Gerawat Gala bersyukur kerana semuanya selamat.

"Syukurlah penumpang dan kedua juruterbang selamat," katanya.

Gerawat berharap MASWings akan membuat siasatan menyeluruh mengenai kejadian itu.

"Siasatan juga harus difokuskan pada bagaimana menghindari insiden serupa di masa depan kerana sebelum ini ada insiden sama membabitkan pesawat Twin Otter MASWings di landasan Marudi dan Bario," katanya dihubungi.

Sementara itu, MASWings pada kenyataan mengesahkan kejadian terbabit.

"Kami bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan dalam siasatan yang sedang dijalankan," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 4:29 PM