Sudirman Mohd Tahir


“KALAU ada tarikh kahwin atau berita gembira mengenai hubungan saya dengan Shahir, saya akan kongsi kepada semua,” kata pelakon popular, Erra Fazira yang dikatakan bakal berkahwin pada 9 Februari ini.

Erra, 44, berkata dia menganggap semua berita yang keluar itu sekadar angin lalu dan minta semua pihak berhenti daripada terus membuat spekulasi.

“Di akhbar keluar kata saya nak kahwin 9 Februari. Terbaru, Mac pula. Selagi tidak keluar dari mulut saya sendiri, jangan percaya.

“Kalau ada berita gembira nanti, saya takkan sorok. Saya akan berkongsi kepada semua terutama rakan media. Saya takkan lupakan jasa pihak media yang selama ini bersama saya dari dahulu sampai sekarang,” katanya kepada Harian Metro.

Erra turut berterima kasih kepada semua pihak yang ambil berat mengenai dirinya dengan Shahir.

Erra akui, dia dan bekas juara Akademi Fantasi musim kelapan (AF8) itu masih berkawan dan belum ada perancangan untuk berkahwin.

“Saya dan Shahir masih berkawan dan berhubung baik. Saya macam orang lain juga, soal jodoh bukan datang daripada saya.

“Lagi satu, bukan urusan saya untuk ambil tahu dan masuk campur masalah dihadapi Shahir. Saya ada batas sendiri. Jadi, jangan kaitkan saya dengan apa yang dilalui Shahir.

“Saya sedar ramai yang ambil berat terhadap saya apatah lagi selepas timbul isu membabitkan Shahir. Saya anggap mereka seperti ibu bapa yang ambil berat kepada anak sendiri. Apa saya inginkan sekarang, doakan yang terbaik untuk saya,” katanya.

Menerusi sidang media sama, Erra mengumumkan kini bernaung di bawah syarikat pengurusan MindOrder Sdn Bhd bermula awal tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 6:44 PM
Erra pada sesi sidang akhbar di Damansara Perdana hari ini. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD
Erra pada sesi sidang akhbar di Damansara Perdana hari ini. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD