ERRA Fazira. FOTO Blackpepper Production
ERRA Fazira. FOTO Blackpepper Production
Sudirman Mohd Tahir

Selepas pelakon jelita Erra Fazira mengakui berkawan rapat dengan penyanyi Shahir, kisah mengenai hubungan mereka terus diperkatakan.

Tahun berganti tahun, namun belum ada sebarang tanda kedua-duanya bakal mengakhiri hubungan itu ke jenjang pelamin walaupun sudah beberapa kali bertebaran gosip mengatakan Erra dan Shahir bakal berkahwin.

Tahun lalu, kisah juara program Akademi Fantasi musim kelapan (AF8) itu kembali menjadi perhatian selepas dia terbabit dalam program AF Megastar.

Lebih mengejutkan menjelang konsert akhir, Shahir dihambat kontroversi kononnya dia menjalin hubungan dengan wanita lain.

Tidak cukup dengan itu, Shahir juga didakwa berhutang keliling pinggang dengan beberapa individu. Malangnya, nama Erra turut terkena tempias masalah itu.

Sehinggakan ada cakap-cakap mengatakan dalam kalangan rakan terdekat Erra sudah menasihatinya supaya tidak meneruskan hubungan dengan jejaka itu.

“Terima kasih atas keprihatinan semua. Setiap nasihat saya terima dan selebihnya berdoa kepada Allah. Saya anggap sikap ambil berat orang sekeliling seperti ibu bapa yang menasinati anak mereka.

“Cuma dalam perkara ini, siapa kita untuk menentukan kehidupan seseorang? Jadi, lebih baik terus mendoakan yang terbaik. Kita tidak pernah tahu apa bakal terjadi dalam kehidupan ini. Mungkin hari ini ada masalah dan hujungnya lebih baik daripada sekarang,” katanya.

Erra yang juga pelakon drama bersiri Gerak Khas musim terbaru berkata, dia tidak pernah ambil hati dengan segala apa yang dilemparkan kepadanya.

Namun, Erra menyerahkan soal kehidupan dan perkahwinan kepada ketentuan Allah.

“Saya jenis tak ambil hati dan biarkan saja. Sebabnya, saya percaya dan yakin pada ketentuan Allah. Apa saja yang terjadi pada diri, ini adalah aturan Allah.

“Kenapa saya bertahan dan sabar berdepan semua ujian? Ini semua daripada Allah. Sepanjang isu ini timbul, tak ada sebarang kekecohan berlaku. Saya tenang saja melaluinya. Bagi saya, soal jodoh bukan urusan saya. Kalau ada, adalah,” katanya.

Biar apa pun yang menerpa hidupnya ketika ini, Erra tetap berpegang pada prinsip diri iaitu perlu ada pendirian.

Erra tidak melihat keputusan untuk terus berkawan dengan Shahir seolah-olah dia keras kepala kerana tidak mendengar nasihat orang terdekat.

“Hidup ini perlu ada pendirian. Kalau ada beranggapan saya keras kepala, mereka melihat ia dari sudut pandang negatif. Macam dikatakan tadi, saya lalui fasa ini dengan penuh kesabaran.

“Kalau ikutkan saya ini bukan jenis penyabar orangnya, tetapi Allah bantu saya ke arah itu. Jadi, segalanya lebih mudah. Bukan apa, dalam kehidupan ini ada perkara dilalui di luar kawalan,” katanya.

Tidak campur urusan Shahir

Erra turut menegaskan tidak ada keperluan untuk dia tampil bersama Shahir bagi menjelaskan segala kekalutan yang melanda baik dalam soal hubungan atau masalah peribadi penyanyi itu.

“Bukan kerja saya untuk letakkan Shahir berada sebelah saya semata-mata nak menjawab perkara ini. Kami ada batas. Ini bukan idea bagus untuk kami menjawab segala persoalan. Dia bukan suami atau tunang saya, jadi tak perlu.

“Lagipun, apa yang berlaku pada Shahir adalah hal peribadinya. Saya tidak mahu masuk campur. Lebih baik dia selesaikan sendiri. Macam dikatakan sebelum ini, saya bukan kaunter pertanyaan mengenai masalah atau apa saja membabitkan Shahir,” katanya.

ERRA Fazira. FOTO Blackpepper Production
ERRA Fazira. FOTO Blackpepper Production

Namun, Erra akui dia memberi semangat kepada Shahir agar dia memulakan kehidupan baru sempena 2018 ini.

“Saya beri dia semangat untuk memulakan hidup baru dan atur kehidupan agar jadi lebih baik. Paling penting perlu ada pendirian tetap. Dia terima nasihat saya.

“Saya nak berkongsi, bagi yang mengenali Shahir dia ada sisi baik. Secara logik, tak ada siapa dalam dunia ini inginkan kehidupan yang merudum dan bermasalah.

“Jadi, saya berharap sesiapa yang mengenali Shahir atau dalam kalangan rakan media yang pernah bekerjasama dengannya, boleh beri sokongan kepadanya,” katanya.

Kerjaya lebih teratur

Erra juga mencipta kejutan baru apabila mengumumkan menyertai syarikat pengurusan MindOrder Sdn Bhd (MO) selepas 20 tahun terbabit dalam bidang seni.

Ia sekali gus menimbulkan spekulasi mengenai wujud masalah antara Erra dan pasukan lama yang membantu kerjayanya selama ini.

“Ingin dijelaskan saya menyertai syarikat ini selepas melihat kemampuan dan kredibiliti mereka menguruskan artis lain. Pada masa sama, sempena tahun baru ini saya ingin kerjaya lebih teratur.

“Tidak timbul soal wujud masalah saya dengan mana-mana pihak. Cuma, sudah tiba masanya untuk saya pandang ke depan dan memulakan langkah baru. Pada masa sama, mereka juga ada komitmen dan rencana lain. Saya hargai segala jasa mereka selama ini.

“Saya tak boleh halang keputusan mereka. Disebabkan itu, saya atur strategi baru dengan menyertai syarikat ini. Sebelum ini, kerjaya saya diuruskan syarikat sendiri dan dibantu pengurus berdasarkan projek yang ada,” katanya.

Erra akui sepanjang berkecimpung sebagai anak seni, dia yakin boleh menguruskan kerjaya sendiri sehingga membuatkan tidak perlu ada syarikat pengurusan.

Mengenai perkembangan kerjayanya, Erra menyerahkan segala keputusan kepada pihak pengurusan.

Namun, Erra menegaskan dia masih pentingkan kualiti dalam bekerja terutama watak untuk drama atau filem.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 3:27 AM