ARAH sendiri penggambaran klip video untuk single Akan Bercinta di Itali.
ARAH sendiri penggambaran klip video untuk single Akan Bercinta di Itali.
Ardini Sophia Sina


Mula bergiat aktif sebagai anak seni pada 2013, Janna Nick antara pelakon berbakat besar yang disebut-sebut sebagai pelapis industri hiburan tanah air. Dia mula mencuri perhatian ramai menerusi drama Jodoh.

Bagaimanapun, semakin popular dirinya, Janna mula terpalit kontroversi. Setiap perilaku mahu pun perkongsian menerusi laman sosial Instagram dan Twitter kadang-kala mengundang spekulasi.

Namun, pelakon berusia 22 tahun itu sedikit pun tidak goyah dengan situasi berkenaan. Pemilik nama sebenar, Nurul Jannah Muner itu terus melangkah maju mencorakkan kanvas seninya.

“Tidak dinafikan, adakalanya perkongsian yang saya buat menerusi laman sosial menjadi perhatian ramai. Mereka yang melihat pula menilai saya sebagai individu yang suka cari pasal.

“Saya bukan jenis suka mencari perhatian dengan cara seperti itu. Setiap kali berhadapan masalah, saya berusaha mencari jalan penyelesaian.

“Memang ramai yang kutuk dan kecam tetapi saya tidak ambil pusing. Buat apa serabutkan fikiran dengan perkara negatif seperti itu. Setakat ini, saya tidak terbeban pun dengan mana-mana kontroversi,” katanya.

Bagi Janna, hidup akan jadi mudah andai diri sendiri memudahkannya. Dia juga tidak malu memohon maaf sekiranya melakukan kesalahan dan pada masa sama akan mempertahankan haknya.

“Hidup ini mudah. Kalau salah faham boleh diselesaikan dengan memohon maaf dan mengakui kesalahan, kita tidak perlu malu untuk melakukannya. Saya tidak malu mengakui kesilapan diri tetapi saya juga tidak takut untuk mempertahankan hak saya,” katanya.

Baru-baru ini, Janna dikatakan bermasam muka dengan gandingannya, Fattah Amin dalam drama Coffee Prince.

Jelas Janna, perkara itu sudah selesai namun menjadi panas kerana dimanipulasi orang luar.

Tegasnya, dia sudah pun menyelesaikan perkara berkenaan secara empat mata bagi mengelakkan cakap-cakap belakang.

Dalam perkembangan lain, Janna muncul dengan lagu baru berjudul Akan Bercinta. Penggambaran klip lagu berkenaan dijalankan di Itali pada 20 November lalu.

Lebih menarik, Janna menggunakan pengalamannya dalam bidang seni untuk mengarahkan sendiri klip lagu berkenaan selain menjadi penerbit untuk single Akan Bercinta.

“Selain berlakon, saya juga meminati bidang pengarahan. Memandangkan lagu ini saya terbitkan sendiri, ada baiknya saya arahkan klip lagu mengikut acuan yang saya inginkan.

“Ada juga terfikir untuk menyambung pengajian, mungkin dalam bidang pengarahan. Apa pun, saya mencari masa sesuai. Buat masa ini, saya belajar dulu serba sedikit kerja pengarahan di lokasi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2017 @ 6:24 AM