JANNA Nick. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
JANNA Nick. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Syanty Octavia Amry


Semakin sibuk menjadi duta pelbagai produk, pelakon Janna Nick tidak pernah sesekali melupakan bidang lakonan.

Sebaliknya, dia yang bakal tampil dengan drama terbaru, Coffee Prince mengakui banyak menerima tawaran berlakon projek drama bersiri ketika ini.

“Saya tidak pernah meninggalkan bidang lakonan. Mungkin orang melihat saya kian sibuk menjadi duta produk menyebabkan orang fikir saya sudah tidak berlakon.

“Sebenarnya, sehingga ke hari ini, saya masih sibuk di lokasi penggambaran drama Coffee Prince. Sebelum itu, saya terbabit dengan drama bersiri Dia yang mula bersiaran di kaca televisyen ketika ini.

“Mungkin kerana drama yang dilakonkan banyak membabitkan projek bersiri yang panjang dan mengambil masa lama hingga orang menyangka saya menyepi,” katanya.

Janna ditemui pada majlis pelancaran produk kecantikan Cassandra Beauty Dust dan pelantikannya sebagai duta.

Mengenai drama Coffee Prince, Janna turut terbabit menyanyikan lagu tema drama bersiri itu yang akan ditayangkan tidak lama lagi.

Tidak hanya satu, tetapi dua lagu apabila satu lagu dia akan berduet dengan pelakon Alvin Chong.

Menurut Janna, single solo itu adalah single keduanya selepas lagu Mungkin Saja.

“Single kedua saya ini akan menjadi lagu tema untuk drama bersiri Coffee Prince begitu juga dengan single duet bersama Alvin.

“Namun begitu, kedua-dua lagu ini belum ada judulnya, tetapi ia akan dilancarkan serentak pada November depan. Pemilihan Alvin berduet dengan saya pula diputuskan pengarah Michael Ang dan komposer lagu berkenaan iaitu Hael Husaini.

Mengulas pembabitannya sebagai duta pula, kata Janna, tidak dinafikan banyak tawaran diterima, namun dia tidak tamak untuk merebut semuanya.

Sebaliknya tawaran yang diterima perlu sesuai dengan dirinya kerana sebelum menjadi duta sesuatu produk dia terlebih dulu akan mencuba produk berkenaan.

“Saya tidak tamak untuk ambil semua tawaran. Jika tidak sesuai dengan diri ini atau ada persamaan dengan produk yang saya sendiri jual, saya akan menolaknya.

“Banyak juga tawaran menjadi duta produk yang saya terpaksa tolak kerana tidak bersesuaian dengan diri selain komitmen masa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 6:54 AM