Syanty Octavia Amry


Pelakon baru yang makin dikenali, Janna Nick, 20, tidak pernah sekali-kali lupa diri malah jauh sekali hendak bersikap sombong dengan orang sekeliling.

Biarpun kini ada yang menganggap namanya kian meniti di bibir peminat selepas drama bersiri lakonannya, Syurga Nur mendapat sambutan, hakikatnya, kata Janna, dia masih seperti dulu. Malah dia akui masih banyak yang perlu dipelajari dalam seni lakonan.

Janna yang dikenali dengan perangai gila-gila dan peramah dengan semua orang, terkejut apabila dikatakan mula bersikap sombong dan berlagak dengan kru produksi serta pelakon terbabit dengannya.

Dalam nada kesal, Janna akui tidak tahu dari mana isu itu boleh timbul. Katanya, dia tidak mampu menutup mulut orang bagi berkata apa saja yang mereka tidak suka mengenai dirinya.

“Mungkin apa yang berlaku adalah salah faham. Sejujurnya, sejak mula aktif berlakon saya menjadi lebih fokus setiap kali berada di lokasi penggambaran.

“Apabila berehat, saya akan ramah seperti biasa. Berbeza sebelum ini saya lebih banyak bergelak ketawa dengan kru dan pelakon lain. Mungkin apa yang berlaku tidak saya sengajakan,” katanya mengulas mengenai ruangan Cik Pang, minggu lalu.

Janna akui, pada awal berlakon dia banyak diberi watak komedi dan bagi mendapatkan mood lawak itu, dia sering bergelak ketawa dengan semua orang.

“Baru-baru ini saja saya diberikan watak serius dan drama bersiri Syurga Nur adalah watak pertama saya menjadi seorang yang serius. Apabila memegang watak serius, pastinya saya perlu lebih fokus bagi mendapatkan mood serius.

“Apabila perkara itu terjadi, orang mula salah faham dan menuduh saya sombong dan enggan bercakap dengan orang lain. Sedangkan saya rasa masih ramah seperti dulu,” katanya.

Kata Janna, andai ada yang terasa keadaan seperti itu, dia akan berusaha memperbaiki dirinya. Sebagai manusia, Janna akui dia tidak mampu memuaskan hati semua orang dan akan berusaha memperbaikinya jika melakukan kesalahan.

“Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak yang cuba mencari kesalahan saya kerana sedar pada saat nama sedang naik ada saja cara manusia lakukan untuk menjatuhkan saya.

“Saya juga tidak tahu apa niat sebenar orang yang menyebarkan cerita dan bagaimana cerita ini boleh timbul. Rasa kelakar pun ada. Apa yang saya boleh katakan, kenapa baru sekarang isu seperti ini ditimbulkan. Kenapa tidak dari awal saya mula berlakon. Adakah kerana dulu saya tidak popular?

“Kadangkala rasa pelik juga, isu begini timbul pada saat orang s mula kenal saya seolah-olah mereka yang mengadakan cerita sebegini sengaja ingin merosakkan reputasi kerjaya seni saya.

“Apa pun, saya tidak akan melatah kerana yakin saya masih sama seperti dulu. Mereka yang kenal saya tahu saya masih peramah dan gila-gila.

“Mungkin juga orang menyebarkan cerita itu ada rasa kecil hati dengan sikap saya yang mula serius berbanding dulu. Apa yang berlaku bukan niat saya untuk mengecilkan hati mana-mana pihak.

“Diharap mereka faham penjelasan saya. Setakat ini saya masih bertegur sapa dengan semua kru dan pelakon terbabit. Malah saya sangat rapat dengan mana-mana kru produksi yang saya sertai,” katanya.

Janna bersyukur namanya semakin dikenali selepas drama Syurga Nur disiarkan. Katanya, dia tidak menyangka peluang diberikan Sheila Rusly menjayakan drama itu memberi ruang untuknya lebih dikenali.

Malah wataknya yang serius dalam drama berkenaan benar-benar mengkagumkan peminat kerana selama ini dia lebih terdedah dengan watak komedi.

“Walaupun ada yang lebih suka saya dengan watak komedi, mereka juga gembira kerana saya boleh bawa watak serius.

“Mereka tidak sangka saya boleh membawa watak serius. Sebelum ini hampir semua drama saya lakonkan watak komedi.

“Saya berharap akan terus diberi peluang berlakon watak serius sekurang-kurangnya penonton mempunyai pilihan untuk menyaksikan lakonan saya.

“Bukan tidak selesa dengan watak komedi tetapi saya mahu keluar daripada zon itu dan perlu melakukan sesuatu yang berlainan daripada biasa yang saya lakukan,” katanya.

Kata Janna, dia kini sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri 13 episod, Kau Aku Kita berganding dengan Syarul Ridzuan.

Janna juga gembira berpeluang menyertai program jelajah bas#dramabus bertemu peminat di utara tanah air, minggu lalu.

Drama Syurga Nur bersiaran menerusi slot Akasia, TV3 sejak 1 Julai lalu, berakhir Selasa lalu dan digantikan drama baru, Mencintaimu bermula Rabu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2015 @ 5:01 AM