GAMBAR yang tular di FB menunjukkan dua anggota polis menumpang keluarga yang menaiki motosikal dalam keadaan hujan. FOTO Ihsan FB Mohamad Fadil Abdul Raman
GAMBAR yang tular di FB menunjukkan dua anggota polis menumpang keluarga yang menaiki motosikal dalam keadaan hujan. FOTO Ihsan FB Mohamad Fadil Abdul Raman
Mohd Sabran Md Sani


“NIAT saya kongsi gambar berkenaan bagi mengubah tanggapan serong netizen terhadap anggota polis," kata Mohamad Fadil Abdul Raman, 28.

Mohamad Fadil adalah individu yang bertanggungjawab merakam gambar anggota Unit Kereta Peronda (MPV) polis yang membantu empat beranak yang menaiki motosikal dalam keadaan hujan, semalam.

Berdasarkan dua keping gambar dikirimkan Mohamad Fadil di Facebook (FB), MPV dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri dilihat menumpangkan seorang wanita dan dua anaknya berusia lapan bulan dan dua tahun akibat hujan lebat.

Mohamad Fadil dalam hantarannya di FB, melahirkan rasa hormat dengan tindakan anggota terbabit membantu orang awam ketika menjalankan tugas hakiki menjaga ketenteraman awam.

"Di saat kita merungut bawa kereta yang kecil, ada lagi insan yang kurang bernasib baik, bawa motor meredah hujan dengan bawa ‘baby’ (bayi) lagi.

"Sebak rasa hati aku melihat keadaan mereka. Walau macam mana pun ‘respect’ (respek) pada PDRM yang tampil membantu menghantar isteri dan anaknya ke tempat yang ingin dituju," tulisnya di FB.

Mohamad Fadil ketika dihubungi berkata, dia menyaksikan kejadian itu ketika dia bersama isterinya Umi Apiqah Ali Mustofa, 29, dalam perjalanan ke gerai berdekatan kediaman mereka di Taman Universiti Skudai ke Lima Kedai, Gelang Patah, kira-kira 5 petang.

"Sebelum itu memang kami sudah perasan kehadiran keluarga bermotosikal itu dan mahu menumpangkan mereka ketika berada di lampu isyarat.

"Bagaimanapun di depan kami sudah ada kereta MPV Polis IPD Iskandar Puteri dan mereka terlebih dulu menahan keluarga itu untuk menumpangkan wanita itu bersama dua anak kecilnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan bangga dengan anggotanya dalam melaksanakan tugas kemanusiaan.

"Saya bangga dengan anggota terbabit, walaupun di luar tugas tetapi mereka tetap melakukannya atas prinsip kemanusiaan dan membantu orang awam.

"Mereka turut menghulurkan wang RM20 kepada keluarga berkenaan," katanya mengulas gambar tular membabitkan anggota MPV terbabit.

Katanya, dua anggota yang membantu menumpangkan keluarga itu adalah Lans Koperal Hafiz Kamarudin dan Mohamad Khairul Safwan Razali yang sedang membuat rondaan rutin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 5:32 PM