Kemalangan yang mengorbankan remaja berusia 15 tahun. FOTO ihsan PDRM
Kemalangan yang mengorbankan remaja berusia 15 tahun. FOTO ihsan PDRM
Mohd Sabran Md Sani


Iskandar Puteri: Remaja lelaki berusia 15 tahun maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu terbabit kemalangan dengan bas dalam kejadian di KM36.7, Jalan Johor Bahru-Gelang Patah-Pendas di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, kejadian 3.50 petang itu mengakibatkan mangsa, Muhammad Halisron Raffiq Md Faishal maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai akibat kecuaian mangsa yang dari arah Gelang Patah menghala ke Pendas memasuki laluan bertentangan.

"Kejadian itu mengakibatkan kenderaan dipandu mangsa dilanggar sebuah bas yang datang dari arah bertentangan.

"Akibat rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak ambulans," katanya hari ini.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Kulai untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 4:04 PM