Mohd Azhar diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen Kuantan selepas didakwa atas tuduhan merogol dua kanak-kanak perempuan berusia empat dan lapan tahun pada Mei serta Ogos lalu. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Mohd Azhar diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen Kuantan selepas didakwa atas tuduhan merogol dua kanak-kanak perempuan berusia empat dan lapan tahun pada Mei serta Ogos lalu. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


KELINDAN dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini, atas dua pertuduhan merogol dua kanak-kanak perempuan berusia empat dan lapan tahun pada Mei dan Ogos lalu.

Tertuduh, Mohd Azhar Sharidan, 25, dari Taman Mahkota Aman, Batu 11, Jalan Gambang membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Unaizah Mohd.

Berdasarkan kertas pertuduhan pertama, dia didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun di tangki air Taman Mahkota Aman Batu 11 di antara 5 hingga 7 petang pada Mei lalu.

Pertuduhan kedua pula, tertuduh yang mengalami masalah lembam didakwa merogol seorang kanak-kanak berusia lapan tahun di ladang kelapa sawit Mahkota Aman Batu 11 di antara 5 hingga 7 petang pada Ogos lalu.

Tertuduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan disebat.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Shahrul Ekhsan Hasim manakala tertuduh diwakili Mohd Hamizey Mat Taib.

Shahrul Ekhsan memohon mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana kesalahan dilakukan adalah serius dan dibimbangi akan mengganggu mangsa serta ahli keluarga mereka yang juga jiran kepadanya.

Pihak pembelaan meminta mahkamah membenarkan ikat jamin kerana tertuduh mempunyai masalah lembam atau kesukaran belajar.

Unaizah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana kesalahan dilakukan adalah serius dan menetapkan tarikh 5 Januari depan untuk sebutan semula.

Media sebelum ini melaporkan tertuduh mengumpan dua mangsa dengan coklat serta wang RM2 dan memujuk mangsa menaiki motosikal kononnya untuk bersiar-siar di kawasan sekitar kawasan perumahan sebelum merogol mereka.

Berita berkaitan

Jiran bangsat!

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 11:31 AM