R.GANAPATHI mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Raub atas dua pertuduhan iaitu mencederakan dan mencabul seorang wanita warga Vietnam di pasar malam Bukit Tinggi, Bentong. FOTO BERNAMA
R.GANAPATHI mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Raub atas dua pertuduhan iaitu mencederakan dan mencabul seorang wanita warga Vietnam di pasar malam Bukit Tinggi, Bentong. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Raub: Seorang buruh mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan iaitu mencederakan dan mencabul seorang wanita Vietnam di pasar malam Bukit Tinggi, Bentong kira-kira 65 kilometer dari sini, pada Selasa lalu.

R Ganapathi, 33, dari Taman Seri Bukit Tinggi, Bentong membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Shahrul Ekhsan Hasim.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 8 Mac nanti sebagai tarikh jatuh hukum di Mahkamah Majistret di Bentong.

Bagi kesalahan mencederakan, Ganapathi didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa yang berusia 33 tahun pada 6 petang, 16 Februari lalu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan mencabul, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa, seorang suri rumah di tempat dan pada masa sama mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Chan Kai Ling menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan namun Ganapathi yang tidak diwakili peguam merayu agar jumlah itu dikurangkan atas alasan dia hanya berpendapatan RM30 sehari, mempunyai tiga anak yang masih bersekolah dan isteri hanya pekerja kontrak pembersihan dengan gaji RM1,200 sebulan.

Shahrul Ekhsan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 6:24 PM