Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Kuantan: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, atas pertuduhan menculik pengarah urusan, dua tahun lalu.

Lim Sun Chye, 45, dari Kemaman, Terengganu dan Ang Boon Leong, 40, dari Kepong, Kuala Lumpur mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka bersama tiga individu lain yang masih bebas diadakwa melakukan kesalahan menahan Datuk Chin Yoke Choon, 53, bagi mendapat wang tebusan RM19 juta dengan melarikan serta mengurungnya secara salah.

Mereka melakukan kesalahan itu pada 5.55 petang, 26 Disember 2015, di tempat meletak kereta Hotel Seri Manja Boutique, Indera Mahkota.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh digantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asyraf Md Kamal.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen 1, Lim mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan bagi pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang iaitu Geng William pada Julai 2015 sehingga Februari ini.

Pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Unaizah Mohd dibuat mengikut Seksyen 130 V (1) Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara antara lima hingga 20 tahun.

Ang pula mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen 4, bagi pertuduhan sama, iaitu bergaul dengan Geng William tanpa sebab pada Mei 2015 sehingga Februari ini.

Bagaimanapun, Hakim Siti Aminah Ghazali menetapkan 28 Februari bagi membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Siti Aminah dan Unaizah tidak membenarkan ikat jamin kerana penahanan tertuduh dibuat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan menetapkan 28 Februari bagi sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 12:30 PM
ANGGOTA D9 membawa dua tertuduh di Kompleks Mahkamah Kuantan. FOTO Muhd Asyraf Sawal
ANGGOTA D9 membawa dua tertuduh di Kompleks Mahkamah Kuantan. FOTO Muhd Asyraf Sawal