Alias Abd Rani

Muar: "Saya dibuli, dia minta duit. Saya ada kad OKU (Orang Kurang Upaya)," rayu pekerja kedai makan yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan merogol dan amang seksual fizikal kenalan bawah umur, bulan lalu.

Muhammad Zulfadhli Ahmad Rapi, 20, yang lembam pembelajaran bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa merogol mangsa berusia 13 tahun di sebuah rumah di sini jam 1 pagi, bulan lalu.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dengan penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di tempat sama pada jam 10 malam pertengahan September lalu dan jam 11.15 malam 29 September lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama, penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.

Muhammad Zulfadhli dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Muar selepas mengaku tak salah merogol remaja bawah umur. FOTO Alias Abd Rani
Muhammad Zulfadhli dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Muar selepas mengaku tak salah merogol remaja bawah umur. FOTO Alias Abd Rani

Terdahulu, tertuduh yang baru keluar dari hospital kelihatan berjalan dengan kaki kanannya berbalut akibat luka terpijak kaca.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan memohon mahkamah tidak dikenakan ikat jamin memandangkan kesalahan dilakukan sangat serius yang membabitkan mangsa bawah umur.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuan memohon jaminan dikurangkan memandangkan dia lembam serta anak yatim piatu.

Selepas mendengar hujahan dan rayuan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan syarat supaya melapor diri di Balai Polis Parit Jawa serta tidak mengganggu atau berhubung dengan mangsa.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 November ini sebutan kes, serahan dokumen serta lantikan peguam tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 2:34 PM