MESSI dan Pochettino berasal dari wilayah sama di Argentina. FOTO Agensi
MESSI dan Pochettino berasal dari wilayah sama di Argentina. FOTO Agensi
AFP

Paris: Mauricio Pochettino menegaskan 'mana-mana pemain ternama sentiasa dialu-alukan kedatangan mereka ke Paris Saint-Germain' ketika jurulatih baharu PSG itu menjawab soalan mengenai kemungkinan perpindahan sensasi rakan senegara Lionel Messi.

Pengendali dari Argentina itu ditanya beberapa kali mengenai Messi ketika sidang akhbar pertamanya sejak dilantik jurulatih PSG dengan superstar Barcelona itu kini bebas berunding dengan mana-mana kelab menjelang tamat kontrak pada Jun depan. .

"Secara jujur kami tidak bercakap perkara itu, ia tempoh gila kepada kami, cuba menyesuaikan diri bersama kelab baharu dengan mesyuarat, latihan dan sedia untuk aksi esoknya, itu objektif kami,'' kata bekas jurulatih Tottenham Hotspur, Pochettino yang akan bertugas kali pertama ketika PSG berkunjung ke Saint-Etienne dalam aksi Ligue 1, awal pagi esok.

"Kami akan mempunyai masa untuk berunding pada masa depan tetapi sesiapa sahaja pemain ternama di dunia sentiasa dialukan kedatangan ke PSG."

Bulan lalu, Neymar menyuarakan hasratnya untuk bergandingan semula dengan Messi, bekas rakan sepasukan di Barcelona, musim depan.

Jika ia berlaku, kemungkinan besar di Paris berbanding di Barcelona dengan kelab Catalan itu bergelut dengan masalah kewangan dan krisis kepimpinan.

Messi seperti Pochettino berasal dari wilayah Santa Fe, Argentina. Kelab zaman kanak-kanak Messi, Newell's Old Boys turut menjadi kelab pertama Pochettino memulakan kariernya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 8:27 AM