WARTAWAN dan penyokong PSG menunggu di luar lapangan terbang 'Le Bourget' dekat Paris bagi menyambut kedatangan Messi. FOTO EPA
WARTAWAN dan penyokong PSG menunggu di luar lapangan terbang 'Le Bourget' dekat Paris bagi menyambut kedatangan Messi. FOTO EPA
AFP

Paris: Penyokong Paris Saint-Germain amat teruja menunggu kedatangan bintang Argentina, Lionel Messi susulan pengumumannya meninggalkan Barcelona kelmarin.

Penyokong setia PSG berkumpul di luar Stadium Parc des Princes dan di lapangan terbang awal pagi tadi selepas pemilik kelab dari Qatar mahu menggandingkan pemain berusia 34 itu dengan Neymar dan Kylian Mbappe.

Bagaimanapun, wartawan AFP TV mendapati Messi masih lagi berada di kediamannya bersama keluarga dan bekas rakan sepasukan, Luis Suarez.

Kemudian, media Perancis melaporkan Messi menuju ke Ibiza untuk berunding dengan kelab Paris itu.

Susulan pengumuman Barca tidak mampu lagi membiayai Messi minggu lalu, PSG muncul kelab pilihan menandatanganinya dibantu dengan bajet lumayan pemilik kelab.

Mereka melihatnya sebagai senjata baharu dalam misi Liga Juara-Juara, trofi yang paling mahu dimiliki berbanding yang lain.

Di atas padang, spekulasi perpindahan Messi menyebabkan media sosial PSG mengalami pertambahan 1.2 juta pengikut sejak Jumaat lalu.

"Saya gembira dia datang ke Paris,'' kata penjaga gol baharu PSG, Gianluigi Donnarumma kepada Sky Sports Italia.

"Dia pemain terkuat di dunia, saya gembira jika kami dapat memilikinya,'' katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Ogos 2021 @ 2:17 PM