POCHETTINO pada sidang media di Qatar. -FOTO AFP
POCHETTINO pada sidang media di Qatar. -FOTO AFP
AFP

Doha: Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino berkata bahawa pasukan itu boleh bangkit daripada kegagalan Liga Juara-Juara dan mengakui gelaran liga Perancis ke-10 mereka tidak mencukupi.

Laporan media berulang kali menyebut bahawa gergasi Perancis milik Qatar itu sedang mencari jurulatih baharu.

Pochettino semasa lawatan singkat ke Doha memaklumkan bahawa beliau akan bertemu dengan presiden kelab Nasser Al-Khelaifi.

Pada sidang akhbar yang berlangsung Pochettino berkata, PSG perlu belajar daripada kekalahan kepada Real Madrid semasa peringkat 16 terkuat Liga Juara-Juara.

Real menjaringkan tiga gol dalam masa 30 minit terakhir untuk memastikan penyingkiran pasukan Perancis itu.

"Objektif untuk memenangi Liga Juara-Juara sentiasa menjadi sasaran PSG," kata bekas pemain Argentina berusia 50 tahun itu.

"Paling penting ialah cuba membina sesuatu yang istimewa," tambah bekas jurulatih Tottenham Hotspur dan Southampton itu.

"Apa yang penting ialah belajar daripada pengalaman. Kelab bola sepak ini sedang membina untuk menang."

Pochettino menegaskan bahawa PSG lebih baik daripada Real Madrid yang akan menentang Liverpool pada perlawanan akhir Mei ini.

Dia percaya dengan pemain seperti Neymar dan Messi, PSG mempunyai 'senjata' yang akan digunakan untuk memberi saingan semula.

"Saya rasa pemain mempunyai mentaliti untuk memulakan dan membina semula persaingan yang baru."

Kekalahan kepada Real mencetuskan spekulasi bahawa Pochettino menjadi sebahagian calon pengurus Manchester United yang kini sudah diberikan kepada Erik ten Hag.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 10:47 AM