Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: "Saya amat terharu dan berterima kasih kepada Pesaka (Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia) yang sanggup membeli semula pingat ini."

Demikian nada sebak bekas pesilat negara, Azlinda Ahmad yang berjaya mendapatkan semula salah satu daripada dua pingat miliknya selepas Pesaka mengambil inisiatif membelinya daripada individu yang juga pembeli kedua pingat itu.

Pingat yang dimaksudkan adalah emas Kejohanan Silat Dunia 1994 di Hatyai manakala gangsa Sukan Sea Chiang Mai Thailand 1995 masih berada di tangan seseorang.

"Pingat ini memang paling berharga bagi diri saya. Kalau tidak, tak ada lah sampai semua pihak bersusah payah dapatkan pingat ini. Maknanya orang di luar sana pun boleh menilai pingat ini amat berharga untuk saya. Saya harap apa yang berlaku ke atas diri saya menjadi pengajaran kepada semua pihak," katanya pada sidang media bersama Setiausaha Agung Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, hari ini.

MEGAT Zulkarnain  menyerahkan kembali pingat kepada  Azlinda.
MEGAT Zulkarnain menyerahkan kembali pingat kepada Azlinda.

Sementara itu Megat berkata, pingat emas Kejohanan Silat Dunia itu berjaya dibeli dengan harga lebih tinggi daripada seorang individu di Melaka yang juga pembeli kedua pingat berkenaan.

"Alhamdulillah kami berjaya menjejaki individu itu dan dia mahu memulangkannya semula. Untuk pingat kedua, kami sedang berunding dengan seorang lagi pembeli. Insya-Allah kami akan berusaha mendapatkannya juga," katanya enggan mendedahkan nilai sebenar pingat yang dibeli semula itu.

Azlinda dan Megat juga enggan mendedahkan siapakah yang menjual kedua-dua pingat berkenaan.

Arena Metro sebelum ini melaporkan sumber mendedahkan tiga barang kesayangan Azlinda termasuk baju silat Malaysia dijual kepada sebuah kedai barangan terpakai 'bundle' di Kuala Lumpur dengan harga semurah RM100 lebih.

Bagaimanapun Azlinda pada sidang media sebelum ini menafikan bahawa dirinya yang bertindak menjual barangan berharga itu.

AZLINDA  mendapat kembali pingat  dimenanginya pada sidang media di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin (KLMO), Batu Caves. FOTO Hazreen  Mohamad
AZLINDA mendapat kembali pingat dimenanginya pada sidang media di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin (KLMO), Batu Caves. FOTO Hazreen Mohamad

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 6:21 PM