Azrul Affandi Sobry


Temerloh: Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) mendesak penganjuran Kejuaraan Silat Terbuka Pendekar Seabad yang bakal berlangsung di sebuah kompleks beli-belah di Ara Damansara, Selangor bermula esok dibatalkan.

Pesaka mengeluarkan kenyataan itu selepas mendapati penganjurannya menyalahi peraturan yang ditetapkan Persekutuan Silat Antarabangsa (Persilat).

Malah, lebih tegas lagi, Presiden Pesaka, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omar Din turut memberi amaran akan menggantung semua pegawai teknikal sekiranya terbabit dengan kejuaraan itu.

Beliau berkata, penganjuran yang membabitkan lebih 3,000 pesilat itu jelas melanggar peraturan kerana hanya menggunakan tujuh pegawai teknikal di setiap tujuh arena pertandingan sedangkan lebih 2,000 pertandingan diadakan.

"Ini sesuatu yang jelas melanggar peraturan Persilat. Wasit dan juri yang bertugas tentu sekali akan dikerah dan tempoh masa pertandingan pasti akan dipendekkan.

"Mustahil penganjur akan dapat melaksanakan lebih 2,000 pertandingan dalam masa lima hari di tujuh arena saja. Apatah lagi dengan kekuatan hanya tujuh pegawai teknikal wasit dan juri.

"Jika mereka memendekkan tempoh masa bertanding atau mengurangkan babak, ia sekali gus bercanggah dengan peraturan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Kejuaraan Silat Piala Al Jufferi Kebangsaan dan Antarabangsa Kali ke-4 di Dewan Tun Razak, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Megat turut menyelar penganjuran itu yang langsung tidak mendapat kebenaran Pesaka dan menggunakan pegawai teknikal Pesaka.

Justeru, beliau memberi amaran keras akan membuat laporan polis terhadap penganjur dan akan bertindak keras menggantung semua wasit juri dan pegawai teknikal Pesaka yang bertugas di kejuaraan itu.

Kejuaraan Silat Terbuka Pendekar Seabad yang dijadual berlangsung bermula 31 Mei hingga 4 Jun ini bakal mencatat sejarah pembabitan peserta paling ramai dalam sukan silat di Malaysia selepas lebih 3,000 penyertaan dicatatkan dari dalam dan luar negara.

MEGAT Zulkarnain (kanan) ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Kejuaraan Silat Piala Al Jufferi Kebangsaan dan Antarabangsa Kali ke-4. FOTO NSTP
MEGAT Zulkarnain (kanan) ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Kejuaraan Silat Piala Al Jufferi Kebangsaan dan Antarabangsa Kali ke-4. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 8:01 PM