Raja Noraina Raja Rahim

Gombak: Kerajaan bersetuju meneruskan pembinaan Kompleks Persilatan Negara di Kuala Lumpur yang tertangguh sejak 2018.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengumumkan perkara itu berkata, kompleks berkenaan akan menjadi mercu tanda dan kebanggaan seni pertahanan diri berkenaan di negara ini.

"Demi masa depan silat, saya mengumumkan akan meneruskan cadangan dibuat Najib (Datuk Seri Najib Razak) dan Megat (Datuk Megat Zulkarnain Omardin) iaitu meneruskan pembinaan Kompleks Sukan Silat Negara kepada Kompleks Persilatan Negara.

"Saya percaya silat akan terus maju dan diperkenalkan di seluruh negara," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan dan Penyampaian Ijazah Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) Peringkat Kebangsaan Ke-36 di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar, Ulul Amri PSSLM Datuk Seri Najib Razak serta Mahaguru Muda PSSLM Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Terdahulu, Megat Zulkarnain ketika berucap berharap kerajaan meneruskan pembinaan kompleks berkenaan yang menjadi impian seluruh warga silat di negara ini dan akan menjadi simbol kepada generasi akan datang.

Pada 2018, Najib yang ketika itu menjadi Perdana Menteri meluluskan pembinaan sebuah kompleks sukan persilatan negara atas permintaan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia yang disuarakan menerusi Megat Zulkarnain.

Ismail (dua dari kanan) setuju teruskan pembinaan Kompleks Persilatan Negara yang tertangguh. FOTO Ihsan FB Najib Razak
Ismail (dua dari kanan) setuju teruskan pembinaan Kompleks Persilatan Negara yang tertangguh. FOTO Ihsan FB Najib Razak

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan mahu pertubuhan silat memperluaskan budaya silat kepada kakitangan awam dan swasta serta institusi pengajian tinggi (IPT) kerana diyakini mampu membentuk remaja lebih berperibadi dan mempunyai nilai murni.

Menurutnya, silat memainkan peranan besar membantu kerajaan menghindari belia daripada gejala tidak sihat dengan melatih mereka keperibadian yang baik, mulia, berkeyakinan, disiplin dan patuh kepada pemimpin.

"Silat juga menjadi jambatan budaya Melayu dengan dunia luar dengan ratusan ribu ahlinya di benua Eropah, Asia Tengah, Asia Timur dan Afrika.

"Justeru, silat perlu dipertahankan supaya satu daripada budaya persilatan yang sudah bertapak sekian lama ini akan dapat dikekalkan dan diterima oleh semua lapisan masyarakat," katanya.

Menurutnya, pesilat sebagai benteng ketiga pertahanan negara boleh membantu kerajaan mengekalkan keamanan dan kesejahteraan negara yang sedang Keluarga Malaysia kecapi pada masa ini.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa menyokong usaha yang dijalankan oleh pelbagai pihak termasuk aktiviti silat yang menjana modal insan dan intelektual serta bertindak sebagai ejen perancang strategik masyarakat.

"Ilmu silat harus diinstitusikan sebagai wadah dan wacana perkembangan ilmu melalui strategi berlandaskan agenda pendidikan, warisan budaya dan kesukanan," katanya.

Pada majlis berkenaan, Ismail Sabri turut dianugerahkan Selendang Kehormat Tertinggi PSSLM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2022 @ 1:13 PM