PENDEDAHAN secara berperingkat boleh menghilangkan rasa takut pesakit melakukan prosedur rawatan.
PENDEDAHAN secara berperingkat boleh menghilangkan rasa takut pesakit melakukan prosedur rawatan.
Hafiz Ithnin


TIDAK dinafikan rasa takut berjumpa doktor gigi antara yang berlaku dalam kalangan individu yang akhirnya sanggup menanggung sakit kerana hal itu.

Pegawai Pergigian, Dr Ashwini M Madawana berkata, rasa takut untuk berjumpa doktor gigi adalah isu biasa yang menjejaskan jutaan individu di seluruh dunia.

Jelasnya, ketakutan itu dikenali sebagai fobia pergigian, boleh memberi kesan yang ketara kepada kesihatan mulut dan kesejahteraan keseluruhan individu.

"Memahami punca dan meneroka strategi untuk mengatasinya adalah penting bagi pesakit dan doktor gigi. Ia boleh berpunca daripada pelbagai sumber termasuk pengalaman traumatik, rasa malu berkenaan keadaan gigi seseorang dan persepsi seseorang individu terhadap prosedur pergigian.

"Faktor ini boleh membawa kepada peningkatan kebimbangan dan mengelakkan penjagaan pergigian yang diperlukan. Akhirnya mengakibatkan kesihatan mulut yang semakin merosot," katanya.

Tambahnya, individu yang mengelak daripada mendapatkan rawatan pergigian berkemungkinan besar mengalami kerosakan gigi, penyakit gusi dan masalah kesihatan mulut yang lain.

"Apabila seseorang itu mengelak pemeriksaan pergigian secara berkala, ia boleh menyebabkan masalah ini menjadi lebih teruk yang mengakibatkan keperluan untuk rawatan yang lebih invasif dan meluas pada masa hadapan.

"Tahap kesihatan mulut yang rendah boleh memberi kesan lebih besar terhadap kesihatan keseluruhan individu yang berpotensi menyumbang kepada isu kesihatan sistematik," katanya.

Jelasnya, fobia terhadap rawatan pergigian adalah isu penting yang boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan mulut dan kesejahteraan keseluruhan.

"Dengan memahami punca fobia pergigian dan melaksanakan strategi untuk mengatasinya, seseorang individu boleh mengambil langkah proaktif untuk menangani kebimbangan mereka dan menerima penjagaan pergigian yang mereka perlukan.

"Selain itu, pegawai pergigian juga mempunyai tanggungjawab untuk mewujudkan persekitaran kondusif yang akhirnya menyumbang kepada hasil kesihatan mulut lebih baik dan pengalaman pergigian yang positif untuk semua," katanya.

Beberapa strategi untuk membantu individu mengatasi ketakutan mereka terhadap pergigian termasuk:

1. Komunikasi terbuka: Pesakit perlu berasa selesa menyatakan ketakutan dan kebimbangan mereka kepada doktor gigi mereka.

2. Mewujudkan komunikasi terbuka boleh membantu mengurangkan kebimbangan dan membina kepercayaan antara pesakit serta doktor gigi.

3. Pendidikan pesakit: Doktor gigi boleh meluangkan masa untuk menerangkan prosedur secara terperinci dan menyediakan pesakit dengan pemahaman yang lebih baik. Ia boleh membantu mengurangkan ketakutan dengan mengurangkan ketidakpastian.

4. Teknik bertenang: Teknik seperti menarik nafas 'dalam-dalam' dan imejan berpandu boleh membantu pesakit menguruskan kebimbangan ketika temu janji pergigian.

5. Pendedahan secara berperingkat: Bagi individu yang mengalami fobia pergigian yang teruk, pendedahan secara beransur-ansur kepada persekitaran dan prosedur pergigian boleh membantu menghilangkan rasa takut pesakit dari semasa ke semasa.

6. Sedasi: Dalam kes fobia pergigian yang melampau, teknik sedasi boleh menjadi pilihan efektif yang membolehkan pesakit menjalani rawatan dalam keadaan tenang.

Dengan menggabungkan elemen seperti hiasan yang sesuai, muzik menenangkan dan kakitangan empati, pejabat pergigian boleh membantu meminimumkan pencetus yang menyumbang kepada ketakutan pesakit terhadap prosedur pergigian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2024 @ 6:30 AM