PEKA kepada perubahan sikap kanak-kanak yang kadangkala tidak mahu memakan sesetengah makanan mungkin disebabkan masalah kesihatan mulut.
PEKA kepada perubahan sikap kanak-kanak yang kadangkala tidak mahu memakan sesetengah makanan mungkin disebabkan masalah kesihatan mulut.
Hafiz Ithnin


RAMAI beranggapan kesihatan gigi yang baik bermaksud memiliki gigi putih dengan senyuman yang menarik hakikatnya lebih daripada itu.

Mengamalkan penjagaan gigi yang baik hendaklah bermula sejak bayi sehingga dewasa dan ia satu amalan ringkas serta mudah.

Pensyarah Kanan Fakulti Pergigian Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) merangkap pakar pergigian kanak-kanak, Dr Yogeswari Sivapragasam berkata, sayang sekali, ramai tidak dapat melihat kepentingannya dan bagaimana penjagaan kesihatan mulut yang tidak rapi boleh memberi kesan meluas dalam kehidupan.

"Apatah lagi apabila gigi berlubang dikatakan tidak berbahaya kepada kanak-kanak. Kajian mendapati kanak-kanak yang giginya berlubang pada seawal usia tiga tahun berkemungkinan mendapatnya tiga kali ganda apabila dewasa.

MEMBERUS gigi secara biasa kadangkala tidak dapat membersihkan kotoran akibat kesan menghisap vape di gigi.
MEMBERUS gigi secara biasa kadangkala tidak dapat membersihkan kotoran akibat kesan menghisap vape di gigi.

"Kajian Kesihatan Pergigian Kebangsaan Kanak-kanak Prasekolah (NOHPS) melaporkan ada 71.3 peratus kanak-kanak berusia lima tahun sudah mempunyai gigi berlubang," katanya.

Justeru, Dr Yogeswari berkongsi beberapa perkara mengenai penjagaan gigi kanak-kanak.

1 .Mulakan dari awal (sejak lahir)

Memang mudah untuk terlepas pandang penjagaan mulut bayi. Maklumlah bayi hanya akan tumbuh giginya berbulan-bulan lagi! Namun, gusi bayi masih perlu dibersihkan sekurang-kurangnya dua kali sehari.

Rutin ini membantu menetapkan asas kepada amalan penjagaan harian dan kesihatan mulut kanak-kanak itu seumur hidupnya.

Selain itu, ibu bapa hendaklah mendapatkan nasihat pengamal penjagaan kesihatan seperti jururawat penasihat di klinik komuniti atau pakar pediatrik mengenai cara menjaga kesihatan mulut sejurus kelahiran bayi, termasuk apa yang perlu dilakukan apabila gigi pertama anak tumbuh.

PEMERIKSAAN gigi sejak kecil membantu menjadikan kanak-kanak biasa untuk bertemu doktor gigi.
PEMERIKSAAN gigi sejak kecil membantu menjadikan kanak-kanak biasa untuk bertemu doktor gigi.

2. Katakan 'tidak' kepada tambahan garam dan gula (tunggu dahulu)

Apabila kanak-kanak membesar dan gigi mereka tumbuh, adalah satu kebiasaan mereka diperkenalkan kepada makanan baharu mengikut perkembangan diet serta keperluan nutrisi mereka yang berubah-ubah.

Namun, adalah penting untuk memperkenalkan makanan baharu secara beransur-ansur dan berhati-hati.

Dinasihatkan ibu bapa menunda pemberian garam dan gula dalam diet anak-anak mereka supaya mereka tidak mula menyukai rasa tambahan itu pada usia muda.

Kesukaan berterusan kepada makanan manis boleh membawa kepada risiko tinggi masalah pergigian, selain keadaan kesihatan kronik seperti obesiti dan kencing manis.

3. Jadikan janji temu pergigian itu menyeronokkan dan berkala

Sering kita dengar orang dewasa tidak suka berjumpa doktor gigi dan kebarangkalian ini berlaku kerana pengalaman yang negatif.

Namun, ibu bapa perlu mengetepikan ketakutan peribadi dan membantu anak mereka mendapat pengalaman positif ketika janji temu pergigian.

Pemeriksaan pergigian yang pertama perlu dibuat ketika kanak-kanak itu berusia satu tahun. Selepas itu, disarankan pemeriksaan sekali setiap enam bulan.

Agak mustahil bagi kanak-kanak semuda itu untuk mendapat masalah pergigian, tetapi rutin ini membantu mereka menikmati pengalaman positif dan tidak mengaitkan janji temu doktor gigi dengan kesakitan dan ketakutan.

4. Peka kepada perubahan sikap

Ada masanya kanak-kanak tidak mahu makan sesetengah makanan atau enggan menggosok gigi. Meskipun sikap begitu dapat dijelaskan dengan mudah sebagai kanak-kanak yang memilih dan cerewet, tetapi ada kemungkinan juga ada sebab lain.

Kanak-kanak yang giginya berlubang atau sakit gusi mungkin mengalami ketidakselesaan atau kesakitan kronik yang menyebabkan mereka tidak mahu makan kerana perlu mengunyah.

Tanpa sengaja mereka akan mengelak daripada makan makanan dalam bentuk sebiji atau seketul seperti buah epal atau ayam.

Sebaliknya mereka memilih makanan lembut yang kebanyakannya adalah makanan diproses tinggi kandungan garam, gula dan berlemak. Untuk jangka panjang, ini akan membawa kepada kekurangan gizi pemakanan atau keadaan kronik yang menjejaskan kesihatan mereka sehingga dewasa.

5. Berlainan usia, maka keperluan kesihatan mulut pun berbeza

Ibu bapa boleh membantu menyokong kesihatan mulut anak berdasarkan tahap tumbesaran mereka. Perhatikan sebarang petanda jelas seperti gusi berdarah, ulser atau perubahan warna gigi.

Dr Yogeswari juga mengingatkan mengenai salah faham umum bahawa gigi susu itu tidak penting kerana ia akan luruh juga satu hari nanti.

Ditekankan bahawa tabiat menjaga kesihatan mulut dan gigi yang baik seumur hidup itu bermula dari kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 6:19 AM