PEGAWAI KKM memeriksa pelbagai jenis peralatan digunakan oleh doktor gigi haram di premis kecantikan yang diserbu.
PEGAWAI KKM memeriksa pelbagai jenis peralatan digunakan oleh doktor gigi haram di premis kecantikan yang diserbu.
GOLONGAN doktor gigi haram miliki hampir 80 peratus peralatan menyamai klinik doktor gigi bertauliah.
GOLONGAN doktor gigi haram miliki hampir 80 peratus peralatan menyamai klinik doktor gigi bertauliah.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Kini sesiapapun boleh mencapai impian bergelar doktor gigi dengan mengikuti kelas ekspres 'haram' yang hanya mengambil masa dua minggu.

Walaupun tanpa kelulusan akademik memuaskan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), individu berminat hanya perlu membayar yuran pengajian dan latihan menjadi doktor gigi profesional pada harga sekitar RM4,000.

Aktiviti itu dianggap mencemar reputasi doktor pergigian tulen yang perlu menghabiskan masa lima tahun untuk menamatkan pengajian program doktor pergigian di universiti tempatan atau luar negara.

Perkara itu didedahkan eorang 'graduan' jurusan pergigian haram ditahan sepasukan pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di premis kecantikan di Bangi di sini, semalam.

Dalam operasi khas itu, sepasukan anggota Bahagian Penjagaan Kesihatan Pergigian KKM berjaya membongkar kegiatan haram itu yang berselindung di sebalik pusat kecantikan.

Gadis terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Zeti memaklumkan berminat mempelajari teknik rawatan gigi selepas ditawar mengikuti kursus jangka pendek oleh seorang pakar mendakwa berkelayakan dalam bidang estetik.

Menurutnya, dia diajar pelbagai teknik antaranya kaedah veneer gigi, memasang pendakap gigi, pemasangan gigi palsu (dentur), penskaleran gigi dan pemutihan gigi.

Dia berkata, kursus pergigian yang turut membabitkan latihan amali terhadap pelanggan ditamatkan dalam dua minggu sebelum dia diberi sijil pentauliahan.

"Saya kemudian bekerja di butik kecantikan itu dengan menawarkan rawatan gigi hasil daripada ilmu dipelajari. Biasanya setiap rawatan dikenakan caj hingga hampir RM2,000," katanya.

Ditanya sama ada dia mengetahui perkhidmatan ditawar itu salah, gadis itu memberi alasan tidak tahu ia bertentangan dengan undang-undang.

Berdasarkan fakta, program doktor pergigian bertauliah terbahagi kepada dua fasa membabitkan elemen akademik dan praktikal pergigian.

Penuntut akan mempelajari berkaitan sistem badan dalam kesihatan dan penyakit dengan topik ditujukan kepada keperluan doktor gigi dalam latihan.

Mereka turut menjalani latihan simulasi pada tahun kedua sebelum mendalami kemahiran praktikal langkah demi langkah bagi tahun ke tiga hingga ke lima selain pengajaran didaktik, seminar, kerja kursus makmal, tutorial, pembentangan klinikal kes dan projek.

Sementara itu seorang pelanggan 'doktor haram' yang hanya mahu dikenali sebagai Umi memaklumkan mengetahui khidmat ditawar melalui Intagram dan testimoni dikongsi.

Menurutnya, dia membuat temu janji sebelum ditawar rawatan veneer gigi pada kadar amat murah.

"Saya tidak tahu rawatan ini salah kerana pemilik premis menyertakan sijil pendaftaran di laman sosial. Sebab itu saya tak banyak soal, sama ada dia doktor bertauliah atau sebaliknya," katanya.

MELALUI Akta Pergigian 2018, pelbagai  peralatan pergigian dilarang dimiliki oleh pengamal bukan perubatan.
MELALUI Akta Pergigian 2018, pelbagai peralatan pergigian dilarang dimiliki oleh pengamal bukan perubatan.

Gigi palsu pun boleh bikin

Isytihar perang habis-habisan terhadap kegiatan doktor gigi haram yang semakin bertambah bilangannya ketika ini.

Itu tindakan Bahagian Penjagaan Kesihatan Pergigian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melakukan beberapa siri serbuan sejak kelmarin di sekitar Lembah Klang.

Operasi dilakukan membabitkan pusat kecantikan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur diikuti dua lagi serbuan di Bangi dan Subang Jaya, Selangor.

Sebelum ini operasi sama dilakukan oleh KKM terhadap pekerja butik kecantikan di Puchong dan Cheras, Kuala Lumpur.

Difahamkan khidmat rawatan pergigian haram itu tidak hanya membabitkan orang kebanyakan malah mendapat permintaan golongan selebriti dan artis.

Sumber KKM berkata, serbuan pertama dilakukan terhadap serbuan pusat kecantikan di Bukit Jalil di sini, sebelum pihak KMM menahan seorang doktor gigi haram untuk siasatan.

"Operasi kedua membabitkan sebuah lagi premis kecantikan di Bangi yang dikesan menawarkan rawatan pergigian haram.

"Ketika operasi, kami menahan seorang gadis berusia awal 20-an yang juga pekerja pusat kecantikan itu. Dua bilik rawatan memiliki tiga katil ditemui selain pelbagai peralatan untuk rawatan antaranya veneer gigi, memasang pendakap gigi, pemasangan gigi palsu (dentur), penskaleran gigi dan pemutihan gigi.

"Operasi ketiga membabitkan pusat kecantikan di Subang Jaya, Selangor. Seorang wanita menawarkan rawatan pergigian haram ditahan untuk soal siasat," katanya.

Menurutnya, tindakan boleh diambil terhadap doktor gigi haram mengikut Akta Pergigian 2018 [Akta 804] iaitu seseorang yang tidak berdaftar di bawah Akta ini tidak boleh menjalankan amalan pergigian.

"Jika disabitkan kesalahan di bawah subseksyen 62(3), mereka boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan bagi tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

"Tindakan juga boleh diambil di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya," katanya.

Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian) KKM Dr Noormi Othman sebelum ini menjangka kegiatan perkhidmatan doktor gigi palsu atau tidak bertauliah kembali meningkat selepas peralihan ke endemik.

Beliau berkata, pembukaan semula sektor ekonomi dan kebenaran rentas negeri memberi ruang kepada mereka untuk beroperasi kembali selepas ia tertangguh susulan pandemik Covid-19.

Menurutnya, kebanyakan doktor palsu atau pengamal perubatan haram itu menawarkan perkhidmatan secara mobil dengan mempromosikan perkhidmatan mereka menerusi media sosial.

Katanya, 528 aduan diterima di seluruh negara membabitkan kegiatan pengamal pergigian palsu dalam tempoh lima tahun bermula 2017.

Mengulas mengenai pecahan aduan diterima, Dr Noormi berkata, 377 kes atau 71.4 peratus membabitkan kes pendakap gigi palsu, 58 kes veneer pergigian dan lain-lain kes seperti pembuatan gigi palsu, cabutan gigi dan pemutihan gigi 93 kes.

Hampir semua peralayan boleh beli 'online'

Hampir semua peralatan diperlukan doktor gigi palsu boleh diperolehi melalui kedai menjual barangan perkakasan murah selain tempahan melalui platform jual beli dalam talian.

Itu antara modus operandi golongan doktor gigi haram yang dikesan memiliki hampir 80 peratus peralatan menyamai klinik doktor gigi bertauliah.

Mereka dikesan menggunakan platform jual beli dalam talian dan untuk mendapatkan pelbagai barangan dan peralatan diperlukan untuk veneer gigi, memasang pendakap gigi, pemasangan gigi palsu (dentur), penskaleran gigi dan pemutihan gigi.

Tinjauan wartawan di laman jual beli dalam talian terkemuka mendapati peralatan dental tools seperti alat oral diagnostik seperti kaca mulut (mouth mirrors), dental pinset, alat pencabut gigi (Bein Dental Tool), picagari dan pelbagai peralatan lain dijual tanpa kawalan.

Walaupun Akta Pergigian 2018 menyenaraikan pelbagai peralatan pergigian dilarang dimiliki oleh pengamal bukan perubatan namun ternyata ia dijual secara bebas kepada orang ramai.

Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian) KKM Dr Noormi Othman turut mengakui kebimbangan itu berikutan hampir semua peralatan pergigian boleh dibeli secara bebas,

Menurutnya, kanser dalam mulut boleh berlaku atau menjadi bertambah serius kesan rawatan haram diberikan golongan doktor gigi tidak bertauliah ini.

Menurutnya, kanser mulut akan lebih melarat memandangkan pengamal pergigian haram ini tidak mempunyai ilmu dalam mengenalpasti keadaan mulut yang tidak normal.

"Setiap satu prosedur rawatan dikendali pengamal pergigian haram ini memiliki bahaya tersendiri.

"Sebagai contoh, pemasangan pendakap gigi (tooth braces) untuk tujuan rawatan ortodontik iaitu rawatan membetulkan kedudukan gigi yang tidak teratur (gigi jongang atau gigi berlapis) boleh menyebabkan bahan digunakan tidak melekap dengan kemas.

"Ini seterusnya ada risiko bahan itu tertelan atau tersedut yang seterusnya boleh menyebabkan keradangan dan jangkitan paru-paru. Selain dari itu, tiada kepastian samada pendakap gigi digunakan selamat dan tidak menjejaskan keselamatan dan kesihatan pesakit," katanya.

Menurutnya, bagi aktiviti pemasangan veneer gigi, pihak KKM khuatir bahan yang digunakan tidak memenuhi standard.

"Ini boleh menyebabkan gigi patah atau terkeluar selain terdapat risiko pesakit tertelan serpihan bahan yang patah atau terkeluar ini.

"Manakala bagi rawatan pemutihan gigi (tooth whitening), doktor gigi haram ini dikesan menggunakan asid dengan kepekatan berlebihan yang dibeli di pasaran. Proses ini seharusnya dilakukan pengamal pergigian bertauliah iaitu doktor gigi yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia di bawah Akta Pergigian 2018 serta menjalankan perkhidmatan di premis kesihatan yang berdaftar di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2022 @ 12:00 PM