Kota Bharu: Universiti Sains Malaysia(USM) dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membangunkan sistem berinovasi tinggi dikenali sebagai Sistem Gabungan Kes Kesihatan Pergigian untuk penjagaan kesihatan pergigian.

Naib Canselor USM, Datuk Omar Osman, berkata fasa pertama pembangunan sistem itu menyaksikan pesakit pergigian di USM dan UKM diklasifikasi melalui penggunaan perisian My-DRG Grouper.

“Melalui sistem ini, pesakit oral dikelaskan kepada kategori tertentu mengikut keperluan rawatan dalam satu pengkalan data yang sistematik dan 28,000 pesakit sudah dikelaskan di USM sejak dilaksanakan tahun lalu,” katanya selepas melancarkan Sistem Gabungan Kes Kesihatan Pergigian, di sini, hari ini.

Melalui sistem itu, purata sumber digunakan untuk setiap kumpulan diagnosis dapat dikenal pasti dengan tepat dan tarif rawatan pergigian di USM dan UKM dapat ditentukan.

Omar berkata, tarif rawatan itu akan memudahkan pihak pengurusan hospital untuk menilai dan menguruskan hal ehwal pengurusan dan kewangan.

“Ini akan mencapai objektif perlaksanaan sistem gabungan ini bagi meningkatkan kualiti dan keberkesanan perkhidmatan jagaan kesihatan pergigian di kedua-dua pusat rawatan,” katanya.

Beliau berkata sistem itu adalah yang pertama diperkenalkan di dunia untuk memenuhi keperluan jagaan kesihatan pergigian.

“Pihak pengurusan hospital kedua-dua universiti juga boleh meletakkan tanda aras kualiti dan pengukuran penggunaan sumber untuk pusat rawatan pergigian masing-masing,” katanya.

Omar berkata, sistem itu akan diteruskan ke fasa kedua tahun depan, yang memberi fokus kepada pembangunan perisian khusus untuk perkhidmatan rawatan pergigian. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 10:18 PM