DR Che Mohd Fadzilah dan Dr Jamilah bersama anak-anaknya meraikan Dr Farah Nur Fildza ketika majlis Istiadat Konvokesyen UM ke-60, minggu lalu.
DR Che Mohd Fadzilah dan Dr Jamilah bersama anak-anaknya meraikan Dr Farah Nur Fildza ketika majlis Istiadat Konvokesyen UM ke-60, minggu lalu.
Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Ibu bapa mana yang tidak bangga apabila anak mereka mengikuti jejak langkah dalam profesion pekerjaan, malah menjadi faktor pendorong kejayaan mereka.

Keluarga ini boleh diibaratkan sebagai Keluarga Doktor Gigi apabila ibu bapa serta dua anaknya mempunyai profesion pekerjaan yang sama sebagai doktor gigi sekali gus berkhidmat untuk masyarakat.

Paling unik, keluarga berkenaan turut menuntut di fakulti yang sama iaitu Fakulti Pergigian, Universiti Malaya (UM) termasuk dua anak pasangan berkenaan.

Pasangan berkenaan, Dr Che Mohd Fadzilah Che Fadzil, 58, dan isterinya, Dr Jamilah Yusuf, 59, tidak menyangka bahawa dua anak mereka mengikuti jejak langkah mereka.

Menceritakan lanjut, Dr Jamilah berkata, kedua-dua anaknya itu sememangnya mempunyai minat yang mendalam dalam profesion berkenaan dan kecenderungan mereka sudah dapat dilihat sejak di bangku sekolah lagi.

"Saya tidak pasti apakah faktor yang mendorong mereka, cuma saya dan suami sering berborak tentang keadaan pesakit di meja makan, kami bertukar pandangan dan adakalanya mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi pesakit.

"Sebagai ibu, saya rasakan itulah faktor yang mendorong anak-anak kami apabila sejak daripada kecil lagi sudah mendengar terma-terma dalam kesihatan pergigian.

"Jujur, saya bangga mempunyai anak yang mengikuti jejak langkah serta minat yang sama, menjadi doktor gigi bukan hanya sebagai doktor tetapi paling penting adalah berkhidmat dengan masyarakat," katanya kepada Metro Ahad, semalam.

Bagi Dr Che Mohd Fadzilah, beliau tidak pernah mengimpikan bahawa anak-anaknya itu akan mengikut jejak langkah ibu bapanya serta menaruh minat yang sama dalam profesion doktor pergigian.

"Kedua-dua anak saya iaitu Dr Mohd Amirul Fahmi kini sedang dalam melanjutkan pengajian dalam bidang sarjana pergigian di UM serta seorang lagi anak, Dr Farah Nur Fildza yang baru meraikan konvokesyennya minggu lalu.

"Seorang lagi anak saya iaitu Mohd Danial Furqan, 20, adalah anak istimewa menghidap autisme," katanya.

Di samping itu, Dr Mohd Fadzilah berkata, beliau turut mengharapkan kedua-dua anaknya itu dapat meneruskan khidmat bakti kepada masyarakat kerana profesion doktor pergigian ini bukan sekadar seorang doktor, tetapi yang paling penting adalah sumbangan kepada masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 7:01 AM