DR Malwinder
DR Malwinder
Suliati Asri


RAMAI dalam kalangan anggota masyarakat yang menganggap kaedah rawatan untuk penyakit kanser hanyalah kemoterapi.

Namun, sebenarnya terdapat pelbagai rawatan lain yang boleh digunakan mengikut jenis dan tahap kanser itu. Salah satu daripadanya adalah radioterapi.

Pakar Onkologi Klinikal Pantai Hospital Kuala Lumpur Dr Malwinder Singh Sandhu berkata, radioterapi adalah kaedah rawatan kanser menggunakan sinaran mengion bertenaga tinggi untuk membunuh sel kanser.

Katanya, pemberian dos tinggi ditujukan kepada sasaran (ketumbuhan) untuk menyembuh, mengawal atau mengurangkan simptom yang dialami.

"Rawatan radioterapi ini adalah rawatan setempat yang memfokuskan kepada bahagian terjejas sahaja berbanding kemoterapi yang bukan saja membunuh sel kanser dan memperlahankan pertumbuhan, tetapi turut menjejaskan sel yang sihat.

"Rawatan ini juga boleh diberikan secara bersendirian atau digabungkan dengan modaliti seperti pembedahan, kemoterapi dan terapi hormon," katanya.

Mula digunakan sebagai antara kaedah rawatan di Malaysia pada 1960, kaedah rawatan mempunyai pelbagai teknik rawatan iaitu dengan sinaran X, sinaran gamma serta terapi ion partikal dan akan sentiasa berubah mengikut kecanggihan teknologi.

Dr Malwinder berkata, dalam perawatan radioterapi ini, ia sentiasa berubah mengikut kecanggihan teknologi.

"Dulu, rawatan ini hanya ada dua dimensi (2D). Kemudian beralih kepada 3D dan rawatan radioterapi 'intensity modulated radiation therapy' (IMRT) serta Volumetric modulated arc therapy (VMAT).

"Kita juga sekarang sudah mula beralih kepada kaedah rawatan radioterapi 'stereotactic body radiation therapy' (SBRT) yang khusus untuk bahagian selain otak dan 'stereotactic radiosurgery/radiotherapy' (SRS/SRT) untuk bahagian otak.

"Salah satu teknologi terbaharu dalam kaedah stereotactic radiosurgery/radiotherapy (SRS/SRT) adalah 'gamma knife'. Di Malaysia, hanya empat pusat kanser yang mempunyai teknologi itu, salah satunya adalah di Pantai Hospital Kuala Lumpur," katanya.

"Oleh itu, kini kebanyakan kanser di otak tidak memerlukan pembedahan sebaliknya hanya menggunakan 'gamma knife'," katanya.

Tujuan radioterapi adalah, pertama untuk mengubati dan kedua, untuk mengurangkan kesakitan atau memberhentikan pendarahan.

Dr Malwinder berkata, kanser kepala dan leher tahap lanjutan, pihaknya jarang melakukan pembedahan sebaliknya radioterapi untuk mengubati kerana tahap kejayaannya sama.

DR Malwinder berbincang dengan kakitangan hospital.
DR Malwinder berbincang dengan kakitangan hospital.

Katanya, radioterapi akan dilakukan 35 kali dalam tujuh minggu dengan masa anggaran 10 minit sehari lima kali seminggu.

"Bagi pesakit kanser tahap empat, rawatan radioterapi bertujuan mengurangkan simptom seperti kesakitan dan pendarahan.

"Dalam situasi ini, pesakit tidak perlu melakukan rawatan selama tujuh minggu sebaliknya rawatan diberikan dalam tempoh yang singkat kerana dalam tempoh itu, ketumbuhan di tempat lain akan melarat.

"Rawatan kanser yang sudah merebak ke tempat lain ialah kemoterapi, rawatan sasaran, terapi imun dan terapi hormon. Radioterapi cuma rawatan tambahan saja dalam kes ini," katanya.

Ditanya bagaimana radioterapi ini 'bekerja' dan membunuh sel kanser, jelas Dr Malwinder rawatan itu menggunakan sinaran X bertenaga tinggi dipanggil sinaran mengion.

Menurutnya, radioterapi diberikan menggunakan mesin pemecut lurus yang menghalakan sinar radiasi untuk merawat kawasan kanser dan kawasan tisu normal di sekelilingnya.

"Jadi semasa rawatan, pesakit akan baring dan mesin akan bergerak mengelilingi pesakit bergantung pada bahagian rawatan.

"Apabila DNA kanser itu sudah musnah, ia tidak lagi boleh menduplikasi kembali seterusnya, kanser itu akan mati," katanya.

Dr Malwinder berkata, radioterapi boleh digunakan untuk semua tahap kanser, tetapi bilangan sesi rawatan itu bergantung kepada jenis kanser dan tujuan rawatan itu dilakukan.

"Untuk kanser payudara misalnya, pesakit perlu melakukan 15 hingga 20 kali rawatan kerana ia dilakukan bertujuan untuk mengubati, memanjangkan jangka hayat pesakit dan tidak mahu kanser itu kembali.

"Tapi kalau rawatan itu hanya untuk mengawal ketumbuhan, hentikan pendarahan dan kurangkan sakit, sesi rawatan radioterapi itu hanya lima hingga 10 kali saja.

"Kalau kanser di kepala atau leher pula, rawatan mungkin sehingga 35 kali, manakala bagi sesetengah kanser yang mempunyai daya tahan (resistant) seperti melanoma dan sarcoma, tempoh masa untuk rawatan radioterapi akan lebih panjang berbanding yang lain.

"Kadar peratusan kejayaan untuk rawatan radioterapi pula bergantung kepada jenis kanser yang dihidap pesakit," katanya.

Berpengalaman selama 12 tahun dalam bidang onkologi, Dr Malwinder berkata, dalam semua rawatan kanser, radioterapi adalah rawatan yang paling kurang kesan sampingan.

Tetapi ia bergantung kepada kawasan radioterapi itu dilakukan kerana ia adalah rawatan setempat.

"Kalau radioterapi ini dilakukan di bahagian tangan, kaki atau bahagian badan yang tiada organ kritikal, ia kurang memberi kesan sampingan.

"Kalau ia dilakukan di bahagian kepala dan leher yang membabitkan organ kritikal sebagai contoh mulut, kesan sampingan mungkin menyebabkan pesakit susah untuk makan.

"Kesan sampingan rawatan radioterapi untuk kanser payudara pula mungkin kulit pesakit akan mengalami kemerah-merahan dan kering di kawasan yang menerima rawatan.

"Kesan sampingan biasa untuk rawatan radioterapi ini adalah keletihan dan badan akan berasa panas. Tapi seperti yang saya katakan, ia bergantung kepada di bahagian rawatan itu dilakukan," katanya yang turut memaklumkan pesakit beberapa perkara yang dapat mengurangkan kesan sampingan radioterapi.

Ramai beranggapan, apabila disahkan mengidap kanser, ia dilihat sebagai pengakhiran kepada kehidupan seseorang.

Namun, dengan kemajuan teknologi radioterapi, ia adalah 'berita baik' terutama buat pesakit kanser.

Bagaimanapun, kosnya juga akan meningkat.

Justeru, Dr Malwinder menasihati masyarakat di luar sana sentiasa peka akan simptom penyakit kanser serta melakukan pemeriksaan kesihatan khusus untuk kanser.

"Sekiranya kanser itu dapat dikesan pada peringkat awal, kos rawatan adalah kurang. Tetapi apabila kanser dikesan lambat dan ia sudah melarat, kosnya akan meningkat dan pesakit juga dapat kesan sampingan yang lebih banyak walaupun belum menerima rawatan lagi.

"Oleh itu, saya menyeru kepada orang ramai untuk berkunjung ke pusat perubatan dan melakukan pemeriksaan awal kanser," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 6:20 AM