VIRUS influenza.
VIRUS influenza.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


Influenza atau flu sering disalahertikan sebagai selesema biasa, bahkan ramai yang masih keliru antara kedua-duanya. Hakikatnya flu adalah jauh lebih buruk dan berbahaya malah dapat menimbulkan pelbagai komplikasi berbanding selesema biasa serta boleh menyebabkan kematian.

Di negara Barat, influenza berkait dengan musim sejuk. Jumlah kes dan kematian akibat flu akan meningkat ketika musim sejuk sebaliknya di Malaysia, sebagai negara tropika, ia adalah penyakit tidak bermusim dan boleh berlaku pada bila-bila masa.

Kebiasaannya, jenis influenza H1N1 dan H3N2 menjangkiti manusia dan dikenali sebagai influenza bermusim.

Influenza terbahagi kepada banyak jenis dan dikategorikan sebagai influenza A, B dan C. Virus jenis A adalah penyebab utama flu terhadap manusia dan haiwan. Jenis B pula kurang biasa tetapi boleh menyebab­kan penyakit yang menyerupai jenis A manakala influenza jenis C pula mengakibatkan selesema sederhana dan jarang dijangkiti.

Tanda dan gejala influenza tidak sama dengan selesema biasa. Gejala flu biasanya lebih serius dan mungkin memerlukan pesakit berehat daripada tugas harian. Gejala influenza pada kebiasaannya muncul secara tiba-tiba. Pesakit biasanya menghidap demam yang tinggi, batuk, sakit kerongkong, berhingus, sakit otot dan badan, sakit kepala dan keletihan. Gejala ini juga boleh membawa kepada kemurungan.

Komplikasi yang disebabkan influenza antara lain termasuk pneumonia (jangkitan paru-paru), sinus dan telinga. Jangkitan ini juga boleh memburukkan penyakit kronik sedia ada seperti asma, kegagalan jantung atau kencing manis.

Komplikasi ini boleh membawa maut dan menyebabkan pesakit dimasukkan ke hospital untuk rawatan.

Presiden Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia, Prof Dr Zamberi Sekawi berkata, jangkitan virus pernafasan akut yang boleh membawa maut seperti influenza sering diabaikan oleh rakyat di negara ini.

Jangkitan influenza perlu diawasi kerana membawa banyak kesan buruk namun masih ramai yang bersikap sambil lewa terhadap penyakit itu.

Katanya, walaupun komplikasi influenza lebih teruk terhadap kumpulan berisiko tinggi seperti warga tua lebih 60 tahun, kanak-kanak lima tahun ke bawah, wanita hamil dan penghidap penyakit jangkitan paru-paru atau penyakit jantung, orang dewasa yang sihat juga tidak terlepas daripada jangkitan influenza.

“Ada virus yang lebih teruk daripada influenza seperti virus korona yang menyebabkan penyakit MERS dan SARS.

“Influenza dan selesema agak sukar dibezakan secara klinikal. Doktor tidak akan terus mengatakan ia sebagai influenza sebab ia sukar dibezakan. Jika simptom atau kesakitan yang dialami amat teruk, pengamal perubatan hanya boleh syak saja kerana kebiasaannya tiada ujian di klinik untuk mengesan influenza sebaliknya ia perlu diuji di makmal,” katanya.

Beliau berkata, rawatan influenza adalah menerusi ubat antivirus. Sekiranya doktor di klinik dapat me­ngesan virus yang menyebabkan influenza, antivirus boleh diberikan terus kepada pesakit.

Berbeza dengan demam biasa, hanya parasetamol diberi untuk mengurangkannya dalam tempoh kurang seminggu.

Menurutnya, untuk individu sihat, influenza boleh sembuh dalam masa beberapa hari sehingga kurang dari dua minggu tetapi sebilangan akan mendapat komplikasi.

“Influenza beri kesan buruk pada mereka dalam kelompok berisiko tinggi namun semua orang ada potensi dijangkiti. Mereka yang berisiko tinggi akan dijangkiti dengan lebih teruk manakala individu sihat mungkin secara umumnya akan dapat kesan yang lebih ringan, tapi bergantung kepada respon imun badan masing-masing.

“Kesan virus itu bergantung kepada status kesihatan seseorang secara umum. Kalau kita sihat, gejalanya tidak akan teruk, selain bergantung sama ada kita ada antibodi atau tidak terhadap influenza.

“Terdapat dua cara penghasilan antibodi sama ada individu pernah dijangkiti influenza sebelum ini atau dengan pengambilan vaksinasi,” katanya.

Vaksin influenza di negara ini biasanya diberi kepada golongan dewasa yang berisiko tinggi, berbanding di Amerika Syarikat yang mengesyorkan vaksinasi influenza rutin kepada semua individu berusia enam bulan ke atas, kecuali yang ada masalah tidak membenarkan mereka mengambil vaksin.

“Di negara ini, bila sebut influenza masih terlalu kurang kesedaran terhadapnya atau kita tak nampak ia sebagai sesuatu yang serius mungkin disebabkan kurangnya penyebaran data mengenai kes ini.

“Salah satu faktor, kita tiada ujian makmal di klinik yang boleh dapat keputusan penyakit ini serta merta, selalunya kena ambil darah dulu sebelum diuji di makmal, dalam beberapa hari baru dapat keputusan ujian, jadi kesedaran itu kurang,” katanya.

Dr Zamberi berkata, sebenarnya influenza memberi implikasi tinggi dan serius, maka pengambilan vaksin adalah penting sebagai langkah pencegahan.

Katanya, kekurangan pengambilan vaksin influenza kerana masyarakat di negara ini kurang kesedaran terhadap risiko dijangkiti influenza sedangkan penyakit ini memberi kesan serius terhadap mereka yang dijangkiti hingga boleh membawa maut.

“Boleh dikatakan ramai yang tidak sedar atau tidak tahu langsung mengenai influenza dan perbezaannya dengan selesema biasa sehingga mengabaikan langkah pencegahan termasuk pengambilan vaksin influenza.

“Bagaimanapun vaksin influenza memberi perlindungan selama satu tahun saja. Oleh kerana virus influenza mudah tersebar, maka pengamal perubatan di klinik kesihatan perlu memberi maklumat tepat kepada masyarakat,” katanya.

Disebabkan virus ini sentiasa menjalani mutasi, kandungan vaksin juga berubah setiap tahun. Oleh itu, kita disyorkan untuk mengambil vaksin ini setiap tahun untuk perlindungan yang optimum. Orang awam boleh mendapat nasihat daripada doktor klinik kerajaan atau swasta.

Selain itu katanya, kebersihan yang baik boleh membantu mencegah demam dan menghalang penyebaran virus influenza. Ia termasuk mengelak bersentuhan dengan orang yang dijangkiti demam atau selesema.

Orang ramai juga perlu sentiasa mengamalkan amalan mencuci tangan dengan sabun dan mengelakkan memegang bahagian hidung atau mata tanpa membasuh tangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2015 @ 11:26 AM