PATUH SOP semasa solat Tarawih di masjid atau surau.
PATUH SOP semasa solat Tarawih di masjid atau surau.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


DALAM tempoh 37 hari lagi, umat Islam bakal menyambut Ramadan.

Tahun lalu, kedatangan Ramadan agak suram kerana tiada solat Tarawih berjemaah di masjid dan kemeriahan bazar Ramadan seperti kebiasaan disebabkan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, penerimaan vaksin Covid-19 di Malaysia seakan-akan memberi harapan kepada rakyat negara ini khususnya umat Islam untuk menghadapi Ramadan.

Ini kerana berkemungkinan masjid akan dibuka untuk solat Tarawih, tetapi masih perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengekang penularan jangkitan.

Pakar Mikrobiologi Klinikal Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed berkata, virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan Covid-19 tersebar melalui titisan pernafasan semasa individu dijangkiti bercakap, bersin dan batuk.

"Titisan pernafasan yang mengandungi virus, mencemari udara dan juga jatuh di atas permukaan.

"Individu yang menyedut udara atau menyentuh permukaan tercemar itu berisiko mendapat jangkitan," katanya.

Beliau berkata, tempat tertutup seperti masjid, pejabat dan kilang lebih mudah menyebarkan jangkitan berbanding tempat terbuka.

"Risiko penyebaran menjadi lebih tinggi, sekiranya bangunan tertutup itu menggunakan pendingin udara.

"Walaupun pendingin udara mempunyai penapis bagi menapis habuk, tetapi saiz virus yang kecil boleh melepasinya.

"Virus influenza dan SARS dibuktikan boleh tersebar melalui sistem pendingin udara," katanya.

Oleh itu, kata Dr Nurul Azmawati, masjid perlu mempunyai sistem pengudaraan yang mencukupi selain membuka pintu dan tingkap seluas-luasnya pada waktu siang.

"Langkah ini bukan saja menjadikan pengudaraan lebih baik malah sinaran matahari yang masuk ke dalam bangunan juga mampu membunuh kuman.

"Penggunaan kipas membantu mendapatkan pengudaraan yang baik. Kipas boleh diletakkan berhampiran tingkap untuk mengeluarkan udara dari dalam ke luar. Pada masa yang sama, udara segar boleh masuk melalui tingkap," katanya.

Dr Nurul Azmawati menggalakkan penggunaan alat penapis udara jenis HEPA yang boleh menapis hampir 100 peratus molekul bersaiz 0.3 mikrometer (um) bagi tujuan pencegahan.

"Ia boleh menapis titisan pernafasan yang berukuran kurang lima (um) dan mengurangkan risiko penyebaran kuman," katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Usim, Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata, jemaah masjid perlu mengikut SOP yang ditetapkan.

"Mereka dikehendaki mengimbas kod QR MySejahtera, menggunakan cecair pembasmi kuman, melakukan penjarakan fizikal sepanjang berada di masjid dan digalakkan mengambil wuduk di rumah.

"Sebaik selesai solat, jemaah disarankan terus meninggalkan masjid dalam keadaan tenang dan teratur serta mengekalkan penjarakan fizikal lebih daripada satu meter di antara satu sama lain.

"Jemaah juga mesti menggunakan pelitup muka sepanjang masa ketika berada di masjid atau surau bagi mengurangkan risiko jangkitan," katanya.

Menurut Dr Mohd Dzulkhairi, jika dibenarkan berbuka puasa di masjid, dicadangkan makanan yang dihidangkan adalah makanan tersedia secara berbungkus.

"Ketika makan, kekalkan jarak dan tidak berkongsi makanan. Memandangkan restoran dan kedai makan dibenarkan beroperasi, kebenaran untuk berbuka puasa di masjid adalah wajar dibenarkan.

"Kajian menunjukkan berkumur dengan cecair kumur antiseptik boleh membunuh virus di dalam tekak.

"Oleh itu, jemaah digalakkan berkumur dengan cecair itu setelah pulang dari masjid. Semasa berwuduk, amalkan berkumur dengan betul secara mendongakkan kepala 45 darjah supaya air sampai ke bahagian tekak.

"Diikuti pula meratakan air di dalam rongga mulut. Memasukkan air ke dalam rongga hidung juga dibuktikan dapat mengurangkan risiko jangkitan saluran pernafasan," katanya.

Oleh itu, kata Dr Mohd Dzulkhairi, sentiasa amalkan amalan sunat ini setiap kali berwuduk.

Katanya, sebaik-baiknya bawa sejadah mudah dicuci atau dibersihkan dengan cecair antiseptik. Ini kerana bahagian bawah sejadah yang bersentuhan dengan lantai mungkin tercemar tanpa disedari.

"Jika masjid mempunyai kawasan beranda atau kawasan tidak berdinding, pilih kawasan itu untuk solat.

"Elakkan bersalaman dan bersembang dengan jemaah lain. Kurangkan masa berada di masjid dan terus pulang setelah selesai solat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 6:37 AM