SUNTIKAN imunisasi penting bagi mengelakkan Difteria.
SUNTIKAN imunisasi penting bagi mengelakkan Difteria.
Intan Mas Ayu Shahimi

MEMBESARKAN bayi dan kanak-kanak hari ini bukan lagi perkara mudah. Banyak cabaran dan ujian terpaksa dilalui ibu bapa terutama dari segi penjagaan kesihatan serta pencegahan penyakit.

Tidak kira sama ada di Malaysia atau luar negara, ancaman penyakit berjangkit selalu dekat dengan bayi dan kanak-kanak berikutan sistem imun mereka yang masih rendah berbanding orang dewasa.

Bagaimanapun, pengetahuan, sikap peka dan bersedia ibu bapa dalam mendepani ancaman penyakit tetap menjadi penentu utama kesejahteraan anak pada masa depan.

Apa yang penting, usah sesekali mengambil mudah jika anak mengalami demam, selesema, sakit perut mahupun batuk. Ia mungkin petanda awal bagi penyakit yang lebih serius atau memerlukan rawatan segera.

Menurut Pengarah Perubatan Klinik Famili Gravidities, Dr Nurzarina Abdul Rahman, terdapat pelbagai penyakit lazim yang kerap berlaku kepada kanak-kanak, terutama dari usia bayi hingga tujuh tahun.

Setiap penyakit, katanya, mempunyai tahap umur tersendiri dan boleh menyerang lebih kerap sama ada ketika usia si kecil masih bayi atau selepas mereka mencapai umur lebih setahun.

“Kebanyakan penyakit ini mudah berjangkit. Ia bergantung kepada persekitaran jagaan termasuk di rumah, tadika, taska, sekolah atau tempat awam. Ini bermakna, kalau bayi dijaga di tempat ramai orang seperti taska dan tadika, lebih mudah mereka terdedah kepada sebarang jangkitan,” katanya.

Jelas Dr Nurzarina, dalam kebanyakan kes, bayi yang baru lahir lebih mudah mendapat penyakit kerana sistem imunnya belum matang.

“Apabila bayi makin membesar dan mula terdedah kepada penyakit, secara tidak langsung tubuhnya akan memberi isyarat kepada sistem imun badan. Dalam tempoh ini, ibu bapa disarankan supaya peka terhadap jadual imunisasi yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ambil vaksin mengikut tempoh dan waktu yang ditetapkan supaya tubuh bayi dan kanak-kanak dapat menghasilkan antibodi untuk melawan jangkitan penyakit pada masa depan.

PERTUSSIS beri kesulitan pada anak kecil.
PERTUSSIS beri kesulitan pada anak kecil.

“Perlu diketahui antibodi yang terbentuk daripada pengambilan vaksin lebih baik berbanding antibodi yang dihasilkan saat kanak-kanak terdedah kepada penyakit.

“Oleh itu, tidak salah jika ibu bapa turut mempertimbangkan pengambilan vaksin tambahan yang tidak ada dalam Jadual Imunisasi KKM memandangkan wujud penularan penyakit berjangkit dari semasa ke semasa,” katanya.

Kata Dr Nurzarina, ramai ibu bapa hari ini tidak tahu atau mungkin tersilap mengenai jadual imunisasi ditetapkan kerajaan. Mereka beranggapan vaksin yang disenaraikan adalah asas untuk pencegahan penyakit secara menyeluruh sepanjang anak membesar.

“Sebenarnya, tidak wujud istilah vaksin wajib dan tidak wajib diambil. Vaksin yang tersenarai dalam Jadual Imunisasi KKM adalah pemberian secara subsidi oleh kerajaan. Vaksin tambahan pula perlu dibayar sendiri.

“Semua vaksin adalah penting dan perlu diambil. Vaksin dalam jadual KKM berfungsi mencegah penyakit yang sudah lama ada di dunia. Ia termasuk tuberkulosis, hepatitis B, tetanus (kancing gigi), difteria, batuk kokol, influenza, haemofilus jenis B, beguk, campak, rubela dan polio.

“Sementara vaksin tambahan wajar diambil untuk mencegah penyakit berjangkit yang lain antaranya, rotavirus, influenza dan pneumokokal. Namun, agak mengecewakan apabila ada ibu bapa yang tidak tahu kewujudan vaksin tambahan ini dan terlepas waktu tepat untuk mendapatkannya,” katanya.

Cuba lihat senarai penyakit paling kerap berlaku dalam kalangan bayi dan kanak-kanak disediakan Dr Nurzarina. Simpanlah sebagai panduan untuk rujukan pada masa akan datang!

1. Demam, batuk, selesema

Ini penyakit yang boleh dijumpai setiap hari, di mana-mana klinik atau hospital. Tidak kira sama ada mendapat salah satu atau secara ‘berpakej’, semua penyakit ini sangat biasa dalam kalangan kanak-kanak. Biarpun demikian, ia perlu diberi perhatian dan dirawat sebaiknya.

Jika tidak dirawat atau dikendalikan dengan baik, ia boleh menyebabkan bengkak tonsil atau tonsillitis. Biasanya, doktor akan periksa dan beri rawatan bergantung kepada simptom yang ada. Jika selesema, pesakit akan diberi ubat sesuai untuk membuang cecair dalam hidung.

Bagi bayi berumur kurang setahun, doktor akan beri air garam untuk mencuci hidung. Hanya kanak-kanak berumur setahun ke atas akan diberi ubat untuk mengurangkan selesema.

Penting supaya membawa anak berjumpa doktor untuk diperiksa punca penyakit sama ada disebabkan virus atau bakteria. Antibiotik hanya akan diberi untuk penyakit yang disebabkan jangkitan bakteria.

Jika disebabkan virus, doktor akan membekalkan ubat untuk membantu mengurangkan simptom dan badannya akan pulih dalam tempoh satu ke dua minggu.

Andai berlaku bengkak tonsil, ia biasanya disebabkan bakteria. Doktor akan membekalkan antibiotik untuk mengurangkan bengkak tonsil.

2. Muntah dan cirit-birit

Biasanya berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia enam bulan ke atas. Ketika ini, mereka sudah pun mula makan. Jadi, kebanyakan kes sebegini berlaku disebabkan faktor kebersihan, pengabaian penjagaan botol susu, kaedah penyediaan makanan, cara memberi anak makan dan sebagainya.

INFLUENZA boleh dicegah dengan vaksin.
INFLUENZA boleh dicegah dengan vaksin.

Apabila bayi muntah dan cirit-birit, perhatikan keadaannya dengan teliti. Kita bimbang si kecil berdepan simptom lebih teruk, kerap muntah dan sukar menelan makanan atau minuman sehingga berlaku dehidrasi.

Anak yang boleh makan dan minum ketika mengalami masalah cirit-birit perlu diberi minuman untuk menggantikan cecair dalam tubuh. Terdapat beberapa rawatan asas seperti menyahtoksin usus dan mengembalikan elektrolit dalam badan.

Namun sebaik-baiknya ibu bapa terus membawa anak ke klinik untuk rawatan segera. Jika bertangguh, kita bimbang sudah terlewat untuk diselamatkan.

Sebagai langkah pencegahan awal juga, ibu bapa boleh mendapatkan suntikan rotavirus untuk bayi. Vaksin ini perlu diambil dalam tempoh usia bayi dua ke lima bulan.

3. Jangkitan paru-paru

Apabila batuk tidak selesai dan ibu bapa gagal mendapatkan rawatan awal, ia boleh menyebabkan jangkitan paru-paru. Ada juga kes yang terus diserang jangkitan paru-paru, bergantung kepada virus atau bakteria.

Simptom utama penyakit ini adalah batuk, susah bernafas dan demam. Apabila diperiksa, doktor boleh mendengar bunyi paru-paru yang menunjukkan ada tanda jangkitan.

Begitupun, bukan semua jangkitan paru-paru perlu dirawat di hospital. Bagi kes yang tidak teruk, mereka dirawat sebagai pesakit luar. Doktor akan mencadangkan rawatan nebuliser, antibiotik dan dipantau setiap hari di klinik.

Sekiranya sudah berada pada tahap teruk, susah bernafas, muka kebiruan dan tidak cukup oksigen, mereka perlu dimasukkan ke hospital. Ada vaksin yang boleh diberi untuk mengelak jangkitan paru-paru.

Kalau dilihat, ada banyak jenis virus yang boleh menyebabkan jangkitan terhadap paru-paru. Antaranya, pnemokokus. Inilah sebabnya vaksin penyakit ini akan diwajibkan kerajaan tidak lama lagi.

4. Influenza

Masalahnya, simptom penyakit ini sama seperti demam, batuk dan selesema biasa. Tapi ia lebih teruk. Influenza boleh menyerang sesiapa saja, tidak mengira peringkat umur.

Pesakit yang dijangkiti akan mengalami demam dengan suhu tinggi, batuk, selesema, sakit badan, hilang selera makan dan lesu. Ujian akan dilakukan dengan mengambil sampel cecair hidung untuk disahkan sama ada positif influenza A atau B. Boleh jadi juga disebabkan H1N1.

Berita baiknya, influenza boleh dicegah dengan vaksin influenza. Rata-rata penyakit berlarutan dari tempoh satu ke dua minggu. Ia mudah berjangkit tidak kira menerusi batuk atau bersin, malah boleh tersebar luas melalui udara di sekeliling.

Vaksin influenza boleh diambil seawal sembilan bulan. Tetapi, untuk kanak-kanak berusia bawah sembilan tahun, mereka perlu mengambil dua dos untuk tahun pertama, disusuli satu dos setiap tahun.

HFMD sukar ditangani selagi anak terdedah kepada virus Coxsackie.
HFMD sukar ditangani selagi anak terdedah kepada virus Coxsackie.

Bagi yang berumur sembilan tahun dan ke atas, ambillah satu dos setiap tahun. Ia perlu diambil setiap tahun kerana strain (varieti) virus sentiasa berubah dari semasa ke semasa.

5. Penyakit kaki tangan dan mulut (HFMD)

Satu hal yang perlu difahami, HFMD boleh menjangkiti kanak-kanak lebih dari sekali sebagaimana demam atau selesema. Selagi anak terdedah kepada virus Coxsackie, risiko untuk dijangkiti adalah tinggi.

Lazimnya penyakit ini dikaitkan dengan masalah kebersihan. Virus Coxsackie sentiasa ada dan tidak mempunyai vaksin khusus untuk membantu ibu mencegah HFMD.

Di Malaysia, HFMD dikesan menular di kawasan awam seperti taman permainan, sekolah, tadika dan taska. Sebagai langkah pencegahan awal, ibu bapa disarankan supaya sentiasa membawa semburan, gel atau cecair sanitasi untuk menyahkuman tempat duduk dan mencuci tangan anak setiap kali mereka menyentuh peralatan di tempat awam.

Amalkan mencuci tangan dengan betul setiap kali selepas anak pulang dari sekolah atau melakukan aktiviti bersama rakan dan di khalayak. Jika anak dijangkiti, doktor hanya boleh membekalkan ubat tahan sakit dan mengurangkan simptom lain seperti kegatalan serta demam.

Ibu bapa pula bertanggungjawab mengkuarantinkan anak-anak di rumah bagi mengelak penyebaran virus. Penyakit ini biasanya sembuh dalam tempoh satu hingga dua minggu.

6. Lelah dan asma

Ini adalah penyakit keturunan. Ia bergantung sama ada ibu bapa pernah ada penyakit asma, alahan seperti sinusitis (resdung) atau ekzema.

Contohnya, jika bapa ada ekzema, tidak mustahil anak boleh mendapat asma. Ini kerana, lelah, resdung dan ekzema saling berkait rapat antara satu dengan lain. Mereka sensitif kepada persekitaran atau pun alergen.

Pada permulaan, kanak-kanak mungkin batuk dan selsema. Jika tidak dirawat, ia akan menyerang paru-paru yang sensitif dan menyebabkan salur pernafasan menjadi sempit. Inilah yang menyebabkan anak sukar bernafas dan dadanya berbunyi seperti wisel.

Dalam situasi ini, doktor akan mencadangkan rawatan menggunakan nebulizer. Ingat, kegagalan ibu bapa mendapatkan rawatan segera boleh menyebabkan kematian!

LINDUNGI risiko dengan pengambilan vaksin.
LINDUNGI risiko dengan pengambilan vaksin.

Malah, penyakit ini juga boleh tercetus apabila anak terdedah kepada virus atau bakteria yang menyebabkan batuk mahupun selesema. Ada juga yang mendapat asma disebabkan habuk, hama, makanan dan alahan lain. Jadi, ibu bapa harus peka terhadap punca anak mudah terkena radang saluran pernafasan ini.

7. Batuk kokol atau pertussis

Punca penyakit ini adalah daripada bakteria Bordetella pertussis. Karakter penyakit ini jelas apabila anak mengalami batuk tanpa henti, diikuti menarik nafas panjang seperti orang kelelahan. Pembawa penyakit ini boleh jadi terdiri daripada ibu, ayah atau ahli keluarga terdekat.

Sebenarnya pengambilan vaksin untuk penyakit ini sudah termasuk dalam jadual imunisasi KKM. Namun, dos pertama DTap (kombinasi vaksin untuk mencegah difteria, kancing gigi dan batuk kokol) ini hanya diberi ketika bayi berusia dua bulan.

Ini bermakna, bayi masih terdedah kepada risiko jangkitan sebelum pengambilan vaksin berikutan sistem imun tubuh yang rendah. Sebab itulah ibu hamil disarankan mengambil vaksin tiga serangkai ini ketika usia kandungan mereka mencecah 26 minggu.

Melalui suntikan ini, antibodi yang terbina dalam tubuh ibu akan disalurkan kepada bayi menerusi plasenta secara maksimum. Bayi juga akan mendapat perlindungan awal (imuniti pasif) daripada ibu sementara menanti dos pertama mereka.

8. Krup

Krup adalah sejenis jangkitan pernafasan yang paling biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Cara paling mudah untuk mengenalpasti kemungkinan penyakit krup adalah dengan mendengar bunyi batuk yang seakan anjing menyalak.

Jangkitan bakteria juga boleh menyebabkan krup. Namun punca paling kerap adalah jangkitan virus. Bunyi seakan menyalak ini terjadi disebabkan keradangan kotak suara (larinks) dan saluran pernafasan membengkak hingga menghadapi masalah untuk bernafas.

Ubat penyakit ini bukanlah antibiotik tetapi perlu dirawat dengan ubat antiradang untuk mengurangkan keradangan pada peti suara. Dalam kes yang teruk, krup boleh menyebabkan anak sukar bernafas dan perlu dimasukkan tiub. Penyakit ini boleh menjangkiti sesiapa saja, tanpa mengira umur.

“Selain lapan penyakit diatas, terdapat juga risiko jangkitan lain yang kerap terjadi kepada kanak-kanak. Antaranya adalah cacar air, campak, difteria, beguk, kancing gigi, hepatitis A atau B dan meningitis.

“Semua penyakit ini masih boleh dicegah menerusi pengambilan vaksin. Dapatkan penjelasan mengenai sebarang kemusykilan setiap kali berjumpa doktor. Jadi, ibu bapa boleh mendapat lebih maklumat berhubung risiko dan pencegahan penyakit dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 12:57 PM