VAKSIN mencegah pelbagai penyakit.
VAKSIN mencegah pelbagai penyakit.
Siti Zarinah Sahib


Menjelang cuti persekolahan pasti ramai ibu bapa mengambil peluang membawa keluarga bercuti ke luar negara. Namun dalam keghairahan membuat persiapan kebiasaan ramai terlupa kepada perkara yang lebih utama iaitu memastikan kesihatan keluarga terjaga.

Bayangkan sekiranya ada yang sakit ketika seronok bercuti, ia bukan sahaja mengganggu program percutian yang dirancang malah menyebabkan perbelanjaan meningkat. Rawatan di luar negara mungkin lebih mahal kosnya terutama apabila membabitkan penyakit berjangkit.

Selain membeli pakaian musim sejuk dan barangan peribadi ramai mengabaikan suntikan vaksin yang penting bagi mengelak ahli keluarga terdedah kepada penyakit mudah berjangkit seperti influenza.

Lebih terkesan adalah warga emas berusia 65 tahun ke atas, wanita hamil, kanak-kanak kecil lima tahun ke bawah dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti jantung, asma, kencing manis dan pekerja penjagaan kesihatan.

Menurut Ketua Sektor Pemantauan Penyakit, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Wan Noraini Wan Mohamed Noor, banyak negara di seluruh dunia menyarankan vaksin influenza diambil semasa musim penyakit itu menyerang. Malah mereka yang ingin melancong ke luar negara terutama pada musim sejuk disarankan mendapatkan suntikan ini.

“Walaupun buat masa ini kerajaan tidak mewajibkan vaksin kepada individu dewasa melainkan jemaah umrah dan haji yang diwajibkan mengambil vaksin meningitis. Namun, kerajaan amat menggalakkan semua orang melindungi kesihatan mereka melalui pengambilan vaksin.

“Bagi mereka yang ingin melancong ke luar negara, buat sedikit kajian dan pembacaan mengenai kepentingan vaksin dan mengapa ia sangat perlu untuk isteri dan anak-anak. Walaupun ramai memberikan alasan kosnya yang agak tinggi, namun ia sangat berkesan bagi manfaat kesan jangka masa panjang melalui pengurangan kos kemasukan ke hospital dan pengambilan ubat-ubatan,” katanya.

AWASI TANDA INFLUENZA

Influenza atau lebih dikenali sebagai flu bukan sekadar selesema yang teruk tetapi penyakit yang berpotensi serius dan berisiko tinggi kerana jangkitannya boleh merebak dengan cepat.

“Ramai beranggapan influenza dan demam selesema adalah perkara sama disebabkan simptom yang ditunjukkan seperti demam, batuk dan selesema. Ia menyebabkan masyarakat keliru dan mengambil remeh perkara ini sedangkan pesakit boleh kehilangan nyawa jika tidak dirawat segera.

“Secara umum, influenza lebih teruk daripada selesema. Ia ditandai dengan gejala seperti demam, sakit badan, keletihan melampau dan batuk berkahak yang boleh menyebabkan komplikasi paru-paru seperti keradangan. Keadaan ini berbeza dengan simptom selesema biasa iaitu hidung berair dan tidak menyebabkan masalah kesihatan serius,” katanya.

Tambahnya lagi, gejala influenza boleh muncul secara tiba-tiba iaitu satu atau dua hari selepas jangkitan. Biasanya, individu akan mula berasa sejuk, menggigil dan demam dengan suhu badan di antara 38 hingga 39 darjah Celsius. Ada juga mengalami sengal-sengal di belakang badan dan kaki sehingga memaksa mereka tidur dalam tempoh yang lama. Cirit-birit dan sakit perut walaupun jarang menandakan influenza tetapi ia boleh menjadi gejala untuk kanak-kanak.

Cara utama penyebaran virus influenza adalah menerusi titisan cecair pada pernafasan, batuk atau bersin. Titisan ini boleh terkena pada permukaan, yang kemudian disentuh orang lain. Jangkitan boleh berlaku jika tangan tidak dibasuh selepas bersentuhan dengan titisan cecair ini sama ada daripada batuk atau bersin, menjaga orang sakit dan menyentuh pakaian dan perkakasan yang tercemar.

Tempoh seseorang terdedah kepada virus selesema bermula antara satu hingga empat hari, dengan purata dua hari. Seterusnya, individu yang dijangkiti itu akan menularkan virus kepada orang lain dalam masa sehari sebelum permulaan simptom sehingga tiga hari selepas itu.

“Bayangkan semasa di luar negara dan berada di tempat sesak, ada orang batuk dan bersin, risiko jangkitan adalah tinggi terutama bagi yang mempunyai antibodi lemah. Lebih malang apabila ia membabitkan virus influenza yang sangat cepat merebak.

“Menerusi vaksin, ia terbukti berkesan secara klinikal untuk memberikan perlindungan kepada individu daripada penyakit ini. Tujuh daripada 10 orang yang mengambil vaksin ini akan dilindungi manakala tiga orang lagi, jika mereka dijangkiti flu mereka hanya akan mendapat tanda sederhana sahaja,” ulasnya.

Jelas Dr Wan Noraini lagi, penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin boleh dialami pada bila-bila masa kerana bakteria dan virus yang menyebabkan jangkitan tidak pernah luput. Sistem ketahanan terhadap penyakit boleh merosot secara beransur-ansur dan inilah sebabnya golongan dewasa perlu memperbaharui perlindungan dengan mengambil vaksin tahunan.

“Sebagai contoh, pengambilan vaksin influenza disyorkan setiap tahun untuk menjamin padanan optimum antara vaksin dan jenis influenza yang sedang menular,” katanya.

MENGAPA PERLU VAKSIN TAHUNAN?

Ada dua sebab vaksin diperlukan setiap tahun iaitu:

1. Tindak balas imun tubuh semakin lama semakin berkurangan

2. Virus influenza yang sering berubah menyebabkan formulasi vaksin flu perlu dikaji semula setiap tahun bagi memastikan bertepatan dengan perubahan virus influenza. Untuk perlindungan terbaik, dapatkan vaksin setiap tahun.

Selepas suntikan, vaksin mengambil masa dua minggu untuk memberikan perlindungan sepenuhnya. Oleh itu bagi yang mahu melancong, ambil vaksin ini dua atau tiga minggu sebelum memulakan perjalanan.

PERBEZAAN INFLUENZA BERMUSIM DAN PANDEMIK

Menurut Dr Wan Noraini, virus influenza sudah lama wujud sejak jutaan tahun lalu bermula dari unggas seperti burung, itik dan angsa yang kemudian berkembang sehingga boleh ditemui pada ayam, kuda, khinzir dan manusia.

Virus influenza A (H1N1) atau selesema babi dan selesema burung (Avian Influenza), yang menimbulkan suasana panik masyarakat seluruh dunia, adalah influenza berasal daripada haiwan (zoonotik) dan bersifat bermusim. Ini berbeza dengan influenza manusia yang boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa disedari.

“Virus influenza bermusim (iaitu A, B dan C) menyebabkan jangkitan kepada manusia setiap tahun. Ia boleh menyebabkan penyakit ringan dan kematian, terutamanya kepada mereka yang berisiko tinggi. Virus influenza bermusim berkembang secara berterusan, oleh itu komponen vaksin influenza bermusim sering dikaji dan dikemas kini secara berkala untuk memastikan keberkesanan vaksin,” katanya.

Pandemik pula berlaku apabila virus influenza tersebar dalam kalangan manusia dan menyebabkan wabak besar di luar musim influenza biasa. Oleh kerana majoriti penduduk tidak mempunyai imuniti terhadap virus ini, menyebabkan populasi yang dijangkiti mungkin agak besar. Sesetengah pandemik boleh mengakibatkan sejumlah besar jangkitan teruk manakala yang lain akan mengakibatkan sejumlah besar jangkitan yang lebih ringan.

Pandemik paling terkenal adalah Selesema Sepanyol pada 1918 hingga 1919, yang mengakibatkan 20 hingga 50 juta kematian di seluruh dunia. Pandemik seterusnya pada 1957 dan 1968 yang mengorbankan ramai penduduk dunia. Pada 2009 pula, virus influenza A (H1N1) yang tidak pernah dikesan sebelum ini tersebar di seluruh dunia dan mengakibatkan pandemik.

LANGKAH CEGAH INFLUENZA

1. Menjaga jarak anda daripada orang lain

- Jika anda selesema atau demam, sebaiknya tinggal di rumah selama sekurang-kurangnya 24 jam (bercuti) sehingga benar-benar sihat dan hanya keluar untuk mendapatkan rawatan.

2. Menutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin

- Bersin dan batuk dengan menutup menggunakan lengan atas, menggunakan tisu atau pakai topeng penutup hidung dan mulut.

- Jika anda terbatuk atau bersin ke atas tapak tangan anda, basuh tangan menggunakan sabun dan air dengan segera. Jika sabun dan air tiada gunakan cecair pembersih tangan.

3. Basuh tangan adalah kunci utama untuk menghalang penyebaran virus mudah berjangkit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 10:41 AM