ORANG tua, kanak-kanak dan pesakit kanser lebih berisiko.
ORANG tua, kanak-kanak dan pesakit kanser lebih berisiko.
Nurul Husna Mahmud


PERNAHKAH anda atau ahli keluarga terutama anak kecil mengalami gejala demam mendadak sebaik pulang dari menghadiri sesuatu acara mahupun melawat lokasi umum yang sesak dengan orang ramai? Demam panas mengejut, rasa lemah tidak bermaya kemudian disusuli selesema dan batuk berpanjangan sehingga terasa dada sempit.

Biasanya kita mengaitkan demam itu dengan faktor persekitaran yang sering dilabel sebagai punca sedangkan ia mungkin disebabkan jangkitan daripada pesakit lain yang berada di tempat sama, boleh jadi juga berdiri di sebelah kita.

Sebenarnya ada banyak faktor menyebabkan kita demam. Ia juga boleh disebabkan jangkitan kuman sehingga menjejaskan fungsi organ penting dalam badan seperti otak sebaik saja ia berjaya memasuki saluran darah. Implikasinya ialah pesakit terdedah kepada ancaman lebih serius termasuklah kematian.

UJIAN darah iaitu prosedur lebih terperinci untuk gejala demam lebih serius.
UJIAN darah iaitu prosedur lebih terperinci untuk gejala demam lebih serius.

Menurut Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Am, Dr Hanafiah Bashirun, demam luar biasa dan dipercayai berpunca daripada jangkitan kuman seharusnya diberi perhatian terutamanya yang menyerupai simptom influenza.

“Apabila kuman memasuki badan terutamanya rongga pernafasan seperti mulut dan hidung, ia akan merebak dan membiak lalu berpindah ke paru-paru.“Kuman ini akan cuba melepasi kawasan paru-paru ke dalam salur darah supaya koloni kuman tersebut dibawa ke seluruh anggota dan organ badan yang lain.

“Apabila kuman berkenaan berada di dalam aliran darah pesakit, ia boleh menjadi agresif terutama pada individu yang mempunyai lemah sistem pertahanan badan seperti bayi, orang tua serta pesakit kanser sehingga boleh meningkatkan risiko kematian berbanding individu normal.

“Namun, untuk sampai ke tahap itu biasanya kita merujuk kepada serangan kuman tertentu seperti influenza yang membawa kesan lebih buruk kepada pesakit,” katanya.

Tambahnya, ketahanan pesakit menghadapi simptom penyakit berbeza dan boleh jadi serius kepada mereka yang pertama kali mendapat penyakit terbabit.

KUMAN merebak menerusi udara.
KUMAN merebak menerusi udara.

“Meskipun kuman berada dalam darah tetapi jangkitan berlaku terhadap individu kepada individu lain dalam mekanisme atau cara berbeza, biasanya melalui titisan cecair badan yang terhambur ke udara.

“Maksudnya jika individu sudah dijangkiti kuman tertentu, kenalan, ahli keluarga mahupun orang ramai berkongsi ruang udara dengan pesakit mempunyai risiko menghadapi gejala demam yang sama.

“Tetapi tahap serius dan berapa lama masa diambil untuk sembuh sangat bergantung kepada sistem imuniti tubuh setiap orang. Jika kuman tersebut menjangkiti tubuh pesakit buat kali pertama, tempoh penyembuhan biasanya lebih lama, kerana badan mengambil masa menghasilkan sel darah putih bagi melawan jangkitan terbabit. Kebiasaannya ia mengambil masa tiga hingga lima hari untuk sembuh sepenuhnya,” katanya.

Kata Dr Hanafiah, dalam memastikan pesakit mendapat rawatan sesuai, pesakit perlu menemui doktor bagi menjalankan saringan untuk mengesan punca demam.

“Saringan yang dilakukan bagi mengesan gejala demam luar biasa ialah dengan mengambil sampel darah. Selain itu, jika ia disyaki berpunca daripada jangkitan virus yang memasuki melalui rongga pernafasan, sampel lendir hidung perlu di ambil.

“Hanya selepas ujian ini barulah rawatan sesuai boleh diberikan kepada pesakit. Rawatan utama ialah dengan merawat gejala berkenaan. Contohnya untuk demam, selesema atau batuk.

CECAIR titis intravena juga antara rawatan diberikan kepada pesakit.
CECAIR titis intravena juga antara rawatan diberikan kepada pesakit.

“Pemberian antibiotik atau antivirus akan ditentukan berdasarkan kesesuaian kes. Selain itu pemberian cecair titis intravena penting bagi memastikan demam terkawal dan organ penting pesakit dalam keadaan stabil,” katanya.

Malah langkah pencegahan perlu diambil termasuklah sentiasa menjaga kebersihan terutamanya dengan membasuh tangan dan juga mengenakan topeng muka selain minum air secukupnya.

Bagi golongan berisiko terutamanya dinasihat mengurangkan aktiviti di kawasan terbuka yang sesak untuk mengelak dijangkiti virus atau kuman merbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 5:05 AM