PASTIKAN anda dan keluarga dilindungi daripada influenza agar perjalanan umrah selamat dan diberkati.
PASTIKAN anda dan keluarga dilindungi daripada influenza agar perjalanan umrah selamat dan diberkati.
Sanofi

Setiap kali hujung tahun selain musim cuti sekolah, ramai merancang menunaikan umrah bersama keluarga.

Seeloknya sebelum ke sana, pastikan keluarga dilindungi dengan vaksinasi bagi mengelakkan influenza. Ini kerana penyakit berjangkit seperti virus influenza mudah dijangkiti oleh sesiapa saja terutama di persekitaran yang dipenuhi manusia.

Seringkali dalam berkongsi pengalaman menunaikan umrah, pasti terselit kisah mengenai jemaah jatuh sakit di Makkah atau selepas pulang ke Malaysia. Malah ada juga yang terpaksa di bawa ke hospital.

Perkara sedemikian terjadi kerana jemaah di Makkah sememangnya terdedah dengan jangkitan influenza (flu).

Penyakit itu sering disalah anggap sebagai selsema biasa kerana gejalanya sama walaupun hakikatnya flu jauh lebih berbahaya.

Vaksin penting untuk meningkatkan sistem imunisasi tubuh tidak kira sama ada dalam kalangan kanak-kanak atau orang dewasa.

Malangnya, dalam banyak-banyak panduan umrah yang diterima, ramai yang terlupa aspek penting dalam persiapan sebelum menunaikan umrah iaitu kesihatan.

Virus influenza boleh tersebar dari saat jemaah dan keluarga berkumpul di lapangan terbang kerana ketika itu ramai jemaah dari seluruh dunia berkumpul di sana, tidak kira mereka yang baru mendarat atau ingin berlepas.

Percampuran ramai manusia di sesuatu tempat boleh menyumbang kepada penyebaran pelbagai jenis virus influenza yang dibawa oleh individu dari pelbagai negara.

Penyebaran virus influenza bagaimanapun bukan saja berlaku di lapangan terbang tetapi penyebaran itu juga boleh berlaku di mana-mana asalkan ia menjadi tempat perhimpunan manusia.

Apatah lagi di Makkah, tanyalah sesiapa saja yang pernah ke sana, pastinya mereka mengakui bahawa menunaikan umrah memerlukan kekuatan fizikal dan mental.

Keletihan, dehidrasi, cuaca panas dan keadaan yang bersesak-sesak boleh menyumbang kepada tekanan yang mungkin melemahkan sistem pertahanan tubuh dan ia memudahkan jemaah dijangkiti virus influenza.

Sekiranya salah seorang ahli keluarga dijangkiti virus influenza, kebarangkalian individu lain dalam keluarga turut dijangkiti adalah tinggi kerana flu boleh tersebar hanya dalam masa lima hingga tujuh hari selepas gejala flu muncul. Malah kebanyakannya berlaku dalam tempoh tiga hari pertama.

Sehubungan itu, persiapan untuk menunaikan umrah bersama keluarga bukan saja terletak kepada keperluan asas saja tetapi perkara paling penting adalah pencegahan awal terhadap penyakit berjangkit.

Selain kanak-kanak, warga emas yang berusia lebih 65 tahun turut berisiko tinggi mendapat komplikasi serius akibat virus influenza kerana sistem pertahanan yang semakin lemah.

Ramai warga emas turut menghidap penyakit kronik, di mana soal selidik mendapati 17.3 peratus jemaah umrah Malaysia mempunyai masalah kesihatan kronik manakala 21.5 peratus pula berdepan dengan lebih daripada satu penyakit.

Sekiranya dijangkiti virus influenza, pesakit jantung, paru-paru dan diabetis akan menjadi lebih teruk.

Untuk mencegah virus influenza, vaksinasi adalah perlindungan terbaik. Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia (MSIDC) mengesyorkan pengambilan vaksinasi influenza untuk jemaah sebelum berangkat ke Makkah.

Vaksinasi amat disarankan terutama bagi jemaah yang berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi serius akibat influenza seperti warga emas, kanak-kanak, dan mereka yang menghidap penyakit kronik.

Anda dan keluarga sewajarnya dilindungi dengan vaksinasi sekurang-kurangnya dua minggu sebelum ke sana kerana vaksin memerlukan masa untuk menghasilkan antibodi bagi memastikan tubuh bersedia untuk melawan jangkitan.

Info

• Vaksinasi terbukti lebih 60 peratus berkesan memberikan perlindungan daripada jangkitan influenza.

• Kajian dalam kalangan jemaah Malaysia mendapati vaksinasi influenza mampu mencegah 50 hingga 60 peratus kemasukan ke hospital dan radang paru-paru.

• Vaksinasi mampu mengurangkan risiko kematian sebanyak 80% untuk individu berusia lebih 60 tahun.

• Langkah pencegahan lain yang jemaah boleh ambil antaranya dengan sentiasa memastikan kebersihan diri.

• Mencuci tangan dengan kerap dan menggunakan sabun, menggunakan hand sanitiser, menutup mulut ketika bersin dan batuk serta tidak mendekati jemaah-jemaah yang sakit.

• Langkah pencegahan ini mudah dilakukan namun dapat membantu mengurangkan penyebaran influenza.

Maklumat lanjut sila layari http://bit.ly/2PswswN

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 9:00 AM