Dr Luqman Mazlan

Pakar Bedah Kolorektal, Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL)

PENDARAHAN lubang dubur adalah pengalaman yang sangat menggerunkan untuk sesiapa sahaja.

Ia bukan saja boleh berlaku apabila seseorang itu membuang air besar, tetapi boleh juga pada bila-bila masa sahaja.

Terdapat banyak sebab pendarahan boleh berlaku dan minggu ini saya akan membincangkan punca pendarahan yang selalu dihadapi pesakit.

Sebelum itu, saya ingin menerangkan semula anatomi usus besar dan dubur.

Saluran pemakanan manusia bermula dari mulut.

Makanan yang dikunyah dan ditelan akan memasuki esofagus dan kemudian masuk ke perut.

Di bahagian perut, makanan dicernakan oleh asid dan enzim sebelum ditolak ke dalam usus kecil yang panjangnya lebih kurang enam meter.

Dari situ, makanan akan ke usus besar atau kolon di mana kebanyakan air dalam usus diserap balik.

Hasilnya adalah najis yang dikeluarkan ke penghujung kolon. Bahagian penghujung ini dikenali sebagai rektum. Di situlah najis terkumpul sebelum di buang keluar dari lubang dubur.

Pendarahan yang keluar dari lubang dubur boleh berpunca dari mana-mana bahagian saluran pemakanan.

Bagaimanapun, bahagian usus yang sering berlaku pendarahan adalah kolon dan rektum disebabkan oleh penyakit diverticula, kanser, buasir dan fissure.

Mari kita bincang setiap penyakit diatas dengan lebih mendalam.

TERDAPAT banyak sebab untuk pendarahan dari dubur. Jalani pemeriksaan perubatan untuk kepastian.
TERDAPAT banyak sebab untuk pendarahan dari dubur. Jalani pemeriksaan perubatan untuk kepastian.

1. Penyakit diverticula usus besar

Penyakit ini disebabkan oleh kelemahan dinding usus yang menyebabkan lapisan dalaman usus menghulur keluar ke permukaan sebagai satu bonjolan.

Faktor menyebabkan penyakit ini terjadi adalah kerana najis keras dan umur yang lanjut. Sebanyak 70 peratus individu berumur lebih dari 70 tahun mengalami penyakit ini namun kebanyakan orang tidak akan ada apa-apa gejala.

Hanya lebih kurang 30 peratus orang akan mengalami komplikasi penyakit ini iaitu pendarahan dubur dan kesakitan di perut.

Kebanyakan pesakit hanya memerlukan rawatan ubat manakala pembedahan usus hanya dilakukan dalam keadaan kecemasan membabitkan pendarahan yang banyak atau kebocoran usus.

Penyakit ini boleh dikurangkan dengan memastikan pemakanan serat yang secukupnya setiap hari.

2. Kanser kolon dan rektum

Kanser di kolon dan rektum adalah kanser yang paling banyak berlaku dalam kalangan lelaki dan kedua bagi wanita. Di Malaysia, bilangan pesakit yang mengalami penyakit ini semakin meningkat.

Punca sebenarnya penyakit ini masih belum diketahui sepenuhnya, tetapi kaitan yang kuat diperhatikan antara insiden kanser ini dengan cara pemakanan yang lebih banyak daging merah dan yang berlemak serta kecenderungan genetik individu tersebut.

Kanser ini boleh menyebabkan pendarahan teruk dan sering kali pesakit akan menyedari penukaran tabiat membuang air besar untuk beberapa minggu atau bulan.

Strategi yang paling berkesan adalah untuk mengesan kanser ini pada tahap awal sebelum ia menjadi teruk atau merebak. Ini boleh dilakukan dengan menjalani ujian kolonoskopi atau ujian najis fecal occult blood.

Selepas ia dikesan, rawatannya membabitkan pembedahan, kemoterapi dan kadangkala radioterapi jika kanser tersebut di rektum.

3. Buasir

Buasir terdiri daripada saluran darah berhampiran dubur. Ia memainkan peranan dalam pengawalan otot dubur semasa proses pembuangan air besar. Penyakit ini mula terjadi apabila buasir membengkak dan menjadi besar. Pembesaran ini boleh disebabkan beberapa faktor termasuk sembelit, cirit-birit dan kehamilan.

Pesakit yang mengalami gejala ini bukan sahaja ada pendarahan, malah juga boleh mengalami kesakitan, gatal dan bengkak di bahagian dubur.

Rawatannya membabitkan ubat-ubatan dan jika tidak berkesan, pembedahan perlu dilakukan. Terdapat banyak jenis pembedahan termasuk yang menggunakan stapler atau laser dan bergantung kepada saiz dan keparahan buasir.

PEMERIKSAAN awal pendarahan dubur dapat mengelakkan komplikasi lebih tenat pada kemudian hari.
PEMERIKSAAN awal pendarahan dubur dapat mengelakkan komplikasi lebih tenat pada kemudian hari.

4.Fissure

Fissure adalah luka di bahagian lubang dubur yang menyebabkan pendarahan dan kesakitan yang kuat setiap kali membuang air besar.

Ia boleh disebabkan oleh beberapa penyakit termasuk kanser rektum dan penyakit kerandangan usus atau inflammatory bowel disease.

Bagaimanapun, sebab utama penyakit ini terjadi adalah kerana otot pintu lubang dubur menjadi terlalu ketat dan apabila najis keluar, ia menyebabkan lubang dubur terkoyak.

Rawatan penyakit ini juga kadang kala memerlukan pembedahan kecil untuk melonggarkan sedikit otot pintu dubur supaya luka itu tidak terjadi.

Tidak kira apa juga punca pendarahan, pesakit perlu berjumpa doktor jika gejala ini berlaku. Ini kerana pemeriksaan terperinci perlu dilakukan oleh doktor untuk memastikan punca pendarahan tidak berulang dan tiada penyakit kanser kolorektal. Ujian usus kolonoskopi juga perlu dilakukan kepada hampir semua pesakit yang mengalami pendarahan dari dubur khasnya golongan berumur lebih daripada 50 tahun.

Akhir sekali, punca pendarahan dari dubur adalah banyak dan pesakit perlu mengambil berat gejala ini selain mendapatkan rawatan secepat mungkin untuk mengesan dan mencegah penyakit yang parah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 7:00 AM