IBU hamil lebih mudah terkena buasir disebabkan perubahan hormon.
IBU hamil lebih mudah terkena buasir disebabkan perubahan hormon.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Biarpun sembelit dan buasir bukan satu subjek yang selesa untuk diperkatakan, namun masalah itu sering membelenggu selain biasa 'menyerang' ibu hamil, lebih kerap daripada yang kita sangkakan.

Masalah itu disebabkan perubahan hormon yang berlaku ketika hamil mendorong pergerakan usus yang agak perlahan hingga najis menjadi keras dan sukar membuangnya.

“Jangan pandang ringan jika berlaku sembelit, kesakitan dan pendarahan ketika proses membuang najis. Dapatkan segera bantuan daripada penyedia kesihatan terdekat untuk mengurangkan simptom dan merawat penyakit itu.”

Sembelit dan buasir sememangnya tidak dapat dipisahkan, malah sememangnya jika dibincangkan masalah pembuangan air, kedua-dua penyakit ini bersangkutan kerana sembelit yang keterlaluan mampu mengundang buasir.

Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Columbia Asia Cheras Dr Norshida Brahim berkata, tindakan meneran ketika buang air besar boleh menyebabkan kerosakan kepada dinding dubur dan seterusnya mengakibatkan buasir.

 PERBEZAAN usus besar sihat (kiri) dan mengalami buasir (kanan).
PERBEZAAN usus besar sihat (kiri) dan mengalami buasir (kanan).

Menurutnya, penyakit itu tidak akan berlaku mendadak kerana prosesnya berlaku secara berperingkat. Tahap pertama barangkali hanya rasa gatal dan sakit, tetapi jika tidak dirawat ia akan mencapai tahap kronik hingga berlaku pendarahan ketika membuang najis.

Tahap kedua katanya, usus besar menjadi luka dan usus terkeluar sedikit namun pada tahap ketiga saluran najis terkeluar tidak boleh dimasukkan semula selain kemungkinan trombosis (salur darah tersumbat) yang memerlukan prosedur pembedahan.

"Buasir yang terkeluar dari dubur boleh menyebabkan sukar untuk duduk dalam posisi yang betul, andainya ia tersepit, bekalan darah ke saluran najis akan terhalang dan mencetuskan kesakitan berganda lalu ia memerlukan prosedur untuk menolak masuk semula ke dalam rektum.

"Ia bukan saja terjadi kepada wanita yang sedang berada pada peringkat akhir kehamilan, malah wanita selepas bersalin juga berpotensi untuk mengalami masalah sembelit dan buasir akibat tekanan yang dikenakan terhadap rektum," katanya.

Justeru katanya, ibu hamil perlu mendapatkan khidmat nasihat pakar sekiranya mengalami pendarahan ketika atau selepas membuang air besar. Doktor akan melakukan pemeriksaan dan diagnosis sama ada pendarahan berpunca daripada buasir atau penyakit serius lain sebelum memberi rawatan sepatutnya.

Rawatan akan diberikan kepada pesakit buasir bagi menangani ketidakselesaan dan menghindari komplikasi lebih teruk.

“Ini penting kerana buasir mungkin membesar dan membahayakan ibu hamil jika dibiarkan tanpa rawatan. Buasir biasanya dirawat menerusi pengubahsuaian diet dan gaya hidup ibu hamil, pengambilan ubat-ubatan makan atau sapuan atau prosedur pembedahan.

JANGAN abai masalah sembelit yang boleh mengakibatkan buasir.
JANGAN abai masalah sembelit yang boleh mengakibatkan buasir.

“Jangan pandang ringan jika berlaku sembelit, kesakitan dan pendarahan ketika proses membuang najis. Dapatkan segera bantuan daripada penyedia kesihatan terdekat untuk mengurangkan simptom dan merawat penyakit itu,” katanya.

Katanya, sembelit masih boleh menjadi masalah pada dua hingga tiga minggu selepas bersalin dan pada peringkat itu adalah penting untuk meminum air secukupnya serta memakan makanan berserat tinggi untuk memudahkan pembuangan air besar.

Secara umumnya, pengambilan serat satu kaedah rawatan yang selamat, berkesan dan murah. Lebihkan pengambilan serat dalam pemakanan anda dengan makan buah-buahan, sayur-sayuran hijau dan bijirin bagi memastikan kelancaran proses pembuangan najis.

Serat akan melembutkan dan meningkatkan saiz najis serta mengurangkan kebarangkalian pesakit meneran ketika membuang air besar. Keadaan ini seterusnya dapat mengurangkan tekanan pada dubur dan kejadian buasir dapat dielakkan.

Selain pengambilan makanan kaya serat, pengambilan air yang banyak, kurang pengambilan lemak, kerap bersenam, menjaga kebersihan dubur, kurangkan meneran dan sebagainya bagi mencegah dan merawat buasir.

Buasir ketika mengandung sering bermula di peringkat akhir kandungan sehingga akhir waktu berpantang.

Ada amalan berpantang yang menyarankan ibu untuk mengurangkan minum air dan mengelakkan memakan buah atau sayur-sayuran tertentu sekali gus mungkin akan mengakibatkan masalah buasir.

Oleh itu, mereka dinasihatkan untuk berhati-hati ketika berpantang dan mendapatkan nasihat dan rawatan doktor sekiranya mengalami sembelit atau simptom buasir ketika tempoh berpantang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 3:58 PM