BUAT pemeriksaan awal sekiranya anda mempunyai masalah pembuangan air besar.
BUAT pemeriksaan awal sekiranya anda mempunyai masalah pembuangan air besar.
PROSEDUR pemeriksaan kolonoskopi ke atas pesakit.
PROSEDUR pemeriksaan kolonoskopi ke atas pesakit.
Siti Zarinah Sahib

“Doktor, saya sukar membuang air besar dan kerap sembelit. Pernah sekali najis mengandungi darah. Berat badan pula turun mendadak disebabkan kurang selera makan”.

Situasi ini kerap berlaku kepada pesakit kanser kolorektal atau usus dan rektum. Tetapi ketika pesakit mengaku mereka mempunyai tanda di atas kebanyakannya sudah berada pada tahap kritikal. Ini kerana kebanyakan pesakit kanser kolon yang berada pada tahap awal tidak mengalami simptom ini sehinggalah kanser membesar dan tanda ini mula ditunjukkan.

Menurut Pakar Gastroentrologi dan Hepatologi Pusat Perubatan Tropicana Dr Dennis Khoo, kanser kolon bermula dengan polip yang tumbuh berbentuk benjolan kecil seperti cendawan pada permukaan usus.

Walaupun sesetengah polip boleh bertukar menjadi kanser, kebanyakan polip tidak berbahaya. Berita baiknya adalah, kanser ini boleh dicegah dan dirawat sebaik-baiknya dengan menjalani ujian saringan kanser kolorektal.

“Saringan ini bertujuan mengenal pasti atau mengesan tanda kanser terutama pesakit yang tidak menunjukkan gejala dan tidak mempunyai sejarah penyakit kanser kolorektal. Adalah penting untuk menjalani pemeriksaan atau ujian, walaupun anda tidak mengalami sebarang tanda dan gejala.

“Jika didapati ada ketumbuhan yang berubah kepada kanser, ia dapat dikesan dan dibuang lebih awal. Ia biasanya berbentuk polip dan boleh dibuang dengan menjalani prosedur yang dikenali sebagai kolonoskopi. Biasanya polip mengambil masa lebih daripada lima tahun untuk berubah menjadi kanser,” katanya.

Siapa layak jalani ujian saringan

Menurut Dr Khoo, individu berisiko tinggi dan mencapai usia 50 tahun digalakkan menjalani ujian saringan kolorektal. Individu berisiko tinggi ditujukan kepada mereka yang mempunyai ahli keluarga yang pernah menghidap kanser kolon.

“Ini dijelaskan dalam panduan Kolej Gastroenterologi Amerika, bagi mereka yang mempunyai saudara terdekat sama ada ibu bapa atau adik-beradik yang menghidap kanser kolon pada usia 60 tahun ke atas atau sebelum umur 60 tahun, mereka perlu menjalani pemeriksaan usus pada umur 40 tahun atau pemeriksaan 10 tahun lebih awal daripada pesakit yang paling muda. Sebagai contoh, jika adik-beradik menghidap kanser kolon pada umur 38 tahun, anda perlu menjalani pemeriksaan pada usia 28 tahun,” katanya.

Lelaki dan perempuan berumur 50 hingga ke 70 tahun wajib menjalani pemeriksaan disebabkan peratusan kanser semakin bertambah bagi individu yang berumur lebih daripada 50 tahun.

Jika seseorang itu berumur 50 ke bawah, tidak mempunyai sebarang simptom dan tidak mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai penyakit kanser kolorektal, maka tidak perlu menjalani saringan kanser kolorektal.

Jelasnya lagi, pemeriksaan awal ini sangat penting untuk mengesan sebarang masalah pada usus dan rawatan yang perlu dilakukan sekiranya mereka menghidap kanser.

“Jika dikesan awal, peluang untuk sembuh adalah lebih tinggi. Namun di Malaysia kebanyakan pesakit hanya bertemu doktor apabila kanser berada pada tahap kritikal iaitu tahap tiga atau empat dan sel kanser sudah merebak ke organ lain, seperti hati atau paru-paru. Apabila berada pada tahap ini kemungkinan peluang untuk hidup adalah tipis,” katanya.

Cara saringan dijalankan

Ada dua cara mengesan kanser usus iaitu menerusi pengesanan darah dalam sampel najis dan pemeriksaan kolonoskopi. Menerusi ujian ini najis pesakit akan diperiksa dan diuji menggunakan satu alat khas.

Jika keputusannya positif iaitu bermaksud ada darah di dalam najis, pesakit itu akan dirujuk ke hospital untuk membuat prosedur kolonoskopi. Jika ia negatif, pesakit dinasihatkan mengulangi ujian ini selepas dua tahun.

Kolonoskopi pula adalah prosedur yang dilakukan di bilik rawatan harian. Dalam prosedur ini, doktor menggunakan skop iaitu satu tiub panjang dan boleh melentur (fleksibel) dan disambungkan ke alat perakam kamera video bagi memudahkan pemeriksaan keseluruhan kolon dan dubur.

“Prosedur ini boleh dilihat dengan jelas pada skrin televisyen. Doktor boleh membuang polip atau mengambil sampel tisu tidak normal di dalam usus untuk dianalisis. Pembuangan polip bertujuan mengurangkan risiko pesakit mendapat kanser. Ini kerana polip adalah ketumbuhan prakanser yang akan berubah kepada kanser jika dibiarkan. Prosedur pembuang polip ini dikenali sebagai polipektomi dan ia tidak memerlukan pembedahan ,” katanya.

Sekiranya doktor menjumpai sel kanser pada bahagian usus, pembedahan terpaksa dijalankan. Cara pembedahan pula bergantung kepada lokasi ketumbuhan. Jika kanser terlalu dekat dengan dubur, pesakit mungkin memerlukan beg kolostomi sementara dan kolon disambung semula selepas beberapa bulan.

Lebih awal kanser dikesan, lebih besar peluang pesakit hidup dengan jangka masa yang lebih panjang. Selain itu ubat antikanser menerusi kemoterapi dan radioterapi turut digunakan dalam rawatan kanser.

Walaupun kanser kolon berpunca daripada genetik tetapi menerusi amalan gaya hidup sihat menunjukkan kanser ini dapat dicegah. Ini boleh dilakukan dengan mengambil makanan kaya serat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran, mengamalkan diet rendah kalori, berhenti merokok dan bersenam secara konsisten.

“Paling penting adalah membuat saringan awal kanser kolorektal agar anda dapat menjalani kehidupan yang lebih bermakna bersama keluarga tersayang,” katanya.

INFO

Faktor risiko kanser kolorektal:

• Umur yang meningkat terutama 50 tahun ke atas

• Sejarah kesihatan sebelum ini seperti mempunyai polip

• Sejarah keluarga yang mempunyai kanser kolorektal

• Diet yang mempunyai tinggi lemak

• Obesiti

• Merokok

• Minum minuman beralkohol

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 2:09 PM