TIADA rawatan merawat Alzheimer.
TIADA rawatan merawat Alzheimer.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


KEMAJUAN dalam bidang perubatan dan kesihatan melalui penyelidikan serta kajian dapat membantu manusia mengubah kehidupan pada tahap lebih baik.

Kecanggihan teknologi perubatan juga mampu meningkatkan jangka hayat pesakit yang menderita penyakit boleh menyebabkan maut.

Bagaimanapun, ada beberapa penyakit yang masih tidak dapat dirawat sehingga ke hari ini

1. Alzheimer

Pesakit yang menderita penyakit ini sering mengalami masalah kehilangan daya ingatan, kekeliruan, perubahan personaliti dan keupayaan berfikir.

Gejala lain penyakit ini termasuk disorientasi (kehilangan kesedaran mengenai ruang, masa dan keperibadian) dan masalah percakapan.

Penyakit ini sering dialami warga emas berusia 65 tahun ke atas.

Rawatan perubatan bersama latihan mental boleh membantu mengurangkan komplikasi dan gejala ini buat sementara waktu, namun hingga kini, masih tiada rawatan untuknya.

2. Kencing manis melitus

Penyakit ini terjadi apabila paras gula dalam darah tinggi kerana kekurangan hormon insulin dihasilkan organ pankreas.

Penyakit kencing manis melitus tahap satu berlaku apabila pengeluaran insulin terjejas menyebabkan pesakit kekurangannya.

Penyakit kencing manis melitus tahap dua, sel reseptor pada organ sasaran seperti hati tidak dapat menyerap insulin.

Dalam dua keadaan ini, pesakit akan mengalami gejala termasuk rasa dahaga, kerap kencing, penglihatan kabur dan keletihan.

Setakat ini, tiada rawatan bagi penyakit kencing manis kronik.

Pesakit perlu melakukan pengurusan penyakit dengan cara mengawal gula dalam darah kepada tahap normal menerusi amalan diet sihat dan aktiviti fizikal.

3. Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit (Aids) dan virus kurang imun manusia (HIV)

HIV adalah virus yang memusnahkan sistem ketahanan badan seseorang dan menyebabkan AIDS.

AIDS adalah peringkat terakhir jangkitan HIV.

Virus HIV melemahkan sistem daya ketahanan badan dengan memusnahkan limfosit T (sel T) yang bertindak sebagai ketahanan badan menentang sebarang jangkitan virus.

HIV boleh merebak melalui hubungan seks bebas, berkongsi jarum suntikan, pemindahan darah atau organ yang tercemar dengan virus ini dan ibu dijangkiti merebakkan virus berkenaan kepada bayi dalam rahim, ketika melahirkan serta menyusu.

Sehingga kini, masih tiada ubat untuk menyembuhkan HIV dan Aids, tetapi penggunaan ubat antivirus HIV dapat melambatkan proses penyakit ini.

4. Parkinson

Penyakit Parkinson yang kronik boleh memberikan kesan terhadap sistem motor dalam sistem saraf pusat.

Kemerosotan neuron pada otak menyebabkan tahap dopamin menurun mengakibatkan aktiviti otak menjadi tidak normal.

Ini mencetuskan gejala seperti tangan menggigil, pergerakan perlahan, kekakuan otot, postur badan tidak sempurna dan perubahan percakapan.

Bagaimanapun, gejala ini boleh dikawal melalui pengambilan ubat-ubatan atau menjalani pembedahan.

5. Asma

Penyakit paru-paru kronik yang membengkak dan menyempitkan saluran pernafasan.

Gejala penyakit ini ialah hiperventilasi (kadar pernafasan terlalu cepat), sakit dada, pernafasan berbunyi dan batuk yang teruk.

Faktor persekitaran dan genetik juga memainkan peranan kepada kepada seseorang mendapat penyakit ini.

Pendedahan kepada habuk, asap dan pencemaran udara boleh menyebabkan penyakit ini menjadi lebih teruk.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 6:31 AM