GINJAL berfungsi menapis sisa daripada zat makanan dan minuman lalu dikumuh dalam bentuk cecair melalui saluran kencing.
GINJAL berfungsi menapis sisa daripada zat makanan dan minuman lalu dikumuh dalam bentuk cecair melalui saluran kencing.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Kita adalah apa yang kita makan. Benar? Apa saja yang dimasukkan ke dalam mulut sama ada hidangan sihat atau sebaliknya akan mempengaruhi setiap segi fizikal dan minda kita.

Meskipun genetik dan gaya hidup memainkan peranan penting dalam memelihara kesihatan diri, pengambilan makanan yang betul juga banyak membantu kita mengatasi pelbagai penyakit serta jangkitan.

Penyakit tiga serangkai iaitu diabetes, jantung dan tekanan darah tinggi sentiasa dikaitkan dengan gaya hidup yang tidak sihat seperti amalan diet yang tidak seimbang serta culas bersenam.

Bagi penyakit buah pinggang pula, tekanan darah tinggi atau hipertensi adalah salah satu punca hingga mengakibatkannya rosak ke tahap kronik.

Penyakit buah pinggang juga adalah punca utama hipertensi sekunder. Oleh itu, tekanan darah tinggi lazimnya dikaitkan sebagai punca atau komplikasi kegagalan buah pinggang.

Jelas Perunding Nefrologi Pusat Perubatan Tropicana, Dr Soehardy Zainudin, buah pinggang atau ginjal berfungsi untuk menapis sisa daripada zat makanan dan minuman.

Ia seterusnya dikumuh dalam bentuk cecair melalui saluran kencing. Bagaimanapun, bagi individu yang mengalami kegagalan organ penting itu, rutin ke tandas berubah secara mendadak kerana perlu menjaga keseimbangan cecair dalam tubuh.

Selain membuang sisa melalui air kencing, ginjal mempunyai fungsi lain yang amat penting dalam tubuh. Kehilangannya boleh membawa kepada pelbagai masalah kesihatan yang kompleks hingga memberi kesan kepada organ dalaman yang lain.

Ginjal tidak ketinggalan bertindak menyaring zat daripada proses metabolisme dalam darah, menjaga tekanan osmosis dan mengatur keseimbangan garam dalam tubuh melalui penyisihan sisa seperti urea.

“Ginjal yang tidak berfungsi akan menyebabkan meningkatnya jumlah cecair dalam badan hinggakan tubuh dipenuhi air.

“Keadaan ini juga akan meningkatkan lagi paras asid, kalium, fosfat dan berkurangnya kalsium yang kemudiannya membawa kepada masalah kekurangan sel darah merah sihat yang dikenali anemia.

“Apabila ini berlaku, ia turut memberi kesan kepada kesihatan tulang dan boleh meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular seperti serangan jantung.

“Penyakit buah pinggang ini disifatkan sebagai pembunuh senyap dan memberi impak besar dalam kualiti kehidupan seseorang.

“Jadi dengan mengamalkan pemakanan seimbang dan menjalani hidup sihat, sedikit sebanyak ia mampu memberi kesan positif kepada kesejahteraan organ serta tubuh kita,” jelasnya.

Penyakit buah pinggang ini dibahagikan dua kategori iaitu akut dan kronik. Kategori akut berlaku apabila fungsi buah pinggang merosot secara pantas dan progresif, selalunya boleh dikesan melalui pengeluaran air kencing yang semakin berkurangan iaitu kira-kira 400 mililiter bagi dewasa atau 0.5 mililiter bagi kanak-kanak.

“Punca masalah buah pinggang akut ini perlu dirawat segera bagi menghentikan proses kehilangan fungsi buah pinggang dan dialisis mungkin diperlukan bagi merapatkan jurang masa yang diperlukan untuk merawat punca sebenarnya.

“Berbanding penyakit buah pinggang kronik atau CKD, ia berlaku secara perlahan dan biasanya jarang menunjukkan tanda.

“Ia boleh berlaku disebabkan penyakit buah pinggang akut berpanjangan lalu menyebabkan organ penting ini hilang fungsi sepenuhnya hingga terpaksa bergantung kepada mesin dialisis,” ujarnya.

Kebergantungan hidup pada mesin dialisis nyata memberi kesan kepada kualiti kehidupan pesakit dan individu terbabit tidak boleh makan dan minum secara sembarangan kerana ia boleh memberi kesan buruk pada kesihatan.

“Pesakit yang menjalani rawatan dialisis hanya boleh mengambil cecair sebanyak 500 milimeter sehari, tidak kiralah dalam bentuk minuman, sup atau buah-buahan.

“Bagi pesakit buah pinggang, jumlah air berlebihan tidak boleh dikeluarkan menerusi saluran kencing, menyebabkan tubuh mereka penuh air hingga ada yang mula sesak nafas kerana kandungan air sampai ke paru-paru.

“Pengambilan garam juga tidak dibenarkan kerana ia menyebabkan takungan air dalam badan yang akan memburukkan lagi keadaan pesakit,” katanya.

PETANDA CKD

1. Muntah atau cirit-birit yang membawa kepada kurangnya air atau dehidrasi.

2. Mual.

3. Susut berat badan.

4. Kerap membuang air kecil pada waktu malam.

5. Membuang air kecil lebih kerap dalam jumlah banyak­ berbanding biasa dan berwarna cair.

6. Kurang membuang air kecil dan dalam jumlah yang sedikit berbanding biasa, air kencing pula berwarna gelap.

7. Darah dalam air kencing.

8. Sukar membuang air kecil.

9. Air kencing dalam jumlah luar biasa.

10. Rasa gatal di kulit.

11. Kerosakan tulang dan alami patah yang sukar pulih.

12. Otot kejang atau lumpuh.

13. Ritma jantung tidak normal.

14. Bengkak di kaki, buku lali, muka atau tangan.

15. Nafas tersekat-sekat akibat lebihan cecair dalam paru-paru.

16. Sakit belakang atau bahagian tepi badan.

17. Mudah letih dan lemah.

18. Memori terganggu.

19. Sukar memberi tumpuan.

20. Kerap pening.

21. Tekanan darah rendah.

22. Air kencing berbuih.

23. Hilang selera makan.

24. Sukar tidur.

25. Kulit menjadi gelap.

FAKTOR CKD

1. Berat badan berlebihan.

2. Penyakit kencing manis.

3. Darah tinggi.

4. Merokok.

5. Usia lanjut.

6. Penyalahgunaan dadah.

7. Penyakit genetik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2015 @ 1:58 PM