LAKUKAN pemeriksaan paras gula dalam darah secara berkala untuk memastikan diri tidak menghidap penyakit kencing manis.
LAKUKAN pemeriksaan paras gula dalam darah secara berkala untuk memastikan diri tidak menghidap penyakit kencing manis.
Suliati Asri


MITOS mengenai penyakit kencing manis banyak tersebar dalam kalangan masyarakat.

Fakta disampaikan pula tidak semua berunsur ilmiah, bersesuaian dengan maksud mitos iaitu cerita mengenai seseorang atau sesuatu yang tidak benar atau direka, mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka.

Lebih membimbangkan, dengan penggunaan internet serta teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) ia sekali gus memudahkan mitos ini tersebar luas.

Dalam bahasa mudah, kencing manis ialah keadaan tubuh badan gagal menghasilkan insulin (iaitu hormon yang menukarkan gula dan kanji kepada tenaga) atau kurang berkesannya hormon insulin dalam badan untuk menurunkan paras gula darah. Ini dinamakan 'insulin resistance' dalam bahasa Inggeris.

Kencing manis terbahagi kepada dua jenis iaitu Jenis 1 dan Jenis 2. Kencing manis Jenis 1 dikenali sebagai kebergantungan terhadap insulin.

Ia adalah penyakit autoimun, bermakna apabila sistem menyerang tisu dan organ, pankreas mula gagal berfungsi serta tidak menghasilkan insulin.

Tanpa suntikan insulin, kesihatan pesakit boleh menjadi teruk dan mungkin mengakibatkan maut.

Bagi kencing manis Jenis 2 pula, ia berlaku apabila badan mengalami rintangan terhadap hormon insulin atau badan kurang sensitif terhadap hormon insulin.

Meskipun faktor genetik boleh mengakibatkan Jenis 2, faktor gaya hidup adalah penyumbang yang lebih besar sejak kebelakangan ini.

Pakar Perunding Perubatan dan Endokrinologi Pantai Hospital Kuala Lumpur, Dr Shalini C Sree Dharan berkata, kewujudan mitos berkaitan penyakit kencing manis ini mungkin nampak remeh, tetapi hakikatnya ia mengundang bahaya kepada pesakit terutama jika mereka mempercayai serta mempraktikkan mitos yang tersebar itu.

DR Shalini menunjukkan cara rawatan insulin untuk menurunkan tahap gula dalam darah dengan segera.
DR Shalini menunjukkan cara rawatan insulin untuk menurunkan tahap gula dalam darah dengan segera.

Menurutnya, terdapat pelbagai mitos yang sering kedengaran mengenai penyakit kencing manis ini antaranya penyakit ini dapat dipulihkan dengan penggunaan herba dan amalan perubatan tradisional.

"Mitos ini mengakibatkan ramai pesakit mencari 'natural care' daripada bergantung kepada ubat kerana mereka berpendapat ubat itu racun.

"Selain itu mitos 'sekali diberi ubat insulin, maka selama-lamanya pesakit itu akan bergantung kepadanya' adalah mitos yang salah.

"Ini kerana bagi penyakit kencing manis Jenis 1, mereka sememangnya akan bergantung kepada insulin. Namun, untuk jenis 2 tidak," katanya ketika ditemu bual, baru-baru ini.

Menurutnya, ada pesakit pada mulanya memerlukan rawatan insulin untuk menurunkan tahap gula dalam darah dengan segera kerana paras gula terlalu tinggi, mungkin ubatan pil tidak dapat menurunkan paras gula ke tahap normal.

"Tetapi apabila paras gula berjaya diturunkan dengan bantuan insulin, kelenjar pankreas akan pulih dan akan dapat menghasilkan insulin semula dengan bantuan ubat-ubatan dan perubahan gaya hidup serta pemakanan. Oleh itu, mereka tidak perlu lagi bergantung kepada insulin," katanya.

Mitos ketiga ialah insulin adalah tanda seseorang itu gagal mengawal penyakit dan ia hukuman akibat tidak menjaga paras gula darah.

Keempat, ubatan yang diberikan boleh merosakkan organ kerana membebankan organ untuk mencernakan ubat ini.

Mitos kelima, kencing manis adalah penyakit orang tua.

"Ia sememangnya tidak benar kerana berdasarkan fakta Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHSM) 2019, 17.6 peratus individu berusia 18 hingga 30 tahun di negara ini menghidap penyakit kencing manis.

"Sebanyak 18.3 peratus berusia 18 tahun ke atas menghidap penyakit kencing manis. Angka ini dijangka meningkat dari tahun ke tahun," katanya.

Dr Shalini berkata, mitos yang paling popular mengenai penyakit ini adalah ubat kencing manis yang moden merosakkan organ.

"Hakikatnya, bukan ubatan yang merosakkan organ seperti buah pinggang, tetapi tahap gula yang tinggi dan berterusan serta tidak terkawal yang mengakibatkan buah pinggang cepat rosak.

"Bukan itu saja, dengan tahap gula dalam darah yang sentiasa tinggi dan tanpa kawalan boleh mengakibatkan mata rosak serta buta," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Shalini berkata, mitos mengenai ubatan ini terjadi disebabkan kebanyakan penjual produk atau penyedia rawatan alternatif cuba melariskan jualan seterusnya memburuk-burukkan ubatan moden.

"Ubat yang diberikan doktor sudah melalui proses kajian bertahun untuk melihat jika ada kesan sampingan. Ubat kencing manis yang dibekalkan kepada pesakit sebenarnya untuk mengurangkan risiko komplikasi.

"Sebagai doktor, takkanlah kita mahu memberi ubatan yang merosakkan buah pinggang sedangkan kita cuba mengurangkan gejala kerosakan buah pinggang disebabkan kencing manis.

"Enam puluh peratus daripada kerosakan buah pinggang di negara ini berpunca daripada penyakit kencing manis. Selebihnya mungkin disebabkan darah tinggi, pengambil ubatan tahan sakit dan sebagainya," kata Dr Shalini, pakar Perunding Perubatan dan Endokrinologi.

Walaupun ramai yang tahu mitos ini tidak benar, ada mempercayainya. Tanpa sedar hal ini bukan saja boleh memudaratkan pesakit, tetapi mengundang bahaya kepada mereka.

Dr Shalini berkata, jika pesakit kencing manis ini mempercayai mitos, pastinya mereka tidak akan mengambil ubat-ubatan kerana berasa ia membinasakan badan.

Jadi, mereka akan menggantikan ubatan yang diberikan doktor kepada ubat tradisional.

"Tanpa disedari, tindakan tidak mengambil ubatan yang diberikan doktor ia boleh mengakibatkan paras gula tidak akan menurun ke paras terkawal ataupun normal. Ini akan menyebabkan risiko komplikasi seperti kerosakan saraf, luka lambat sembuh.

"Komplikasi paling teruk disebabkan tidak mengambil ubat kencing manis dalam jangka masa yang lama boleh mengakibatkan angin ahmar, strok ataupun serangan jantung. Hal ini juga boleh mengakibatkan maut," katanya.

Bagi memastikan mitos ini tidak berleluasa dan seterusnya memudaratkan pesakit kencing manis, langkah terbaik yang boleh dilakukan, Dr Shalini berkata orang awam perlu dididik

mengenai penyakit kencing manis.

"Mereka perlu tahu apa punca diabetes, bagaimana seseorang itu boleh menghidapinya dan bagi penghidap kencing manis, mereka perlu tahu bagaimana menguruskan penyakit ini.

"Paling utama pengetahuan mengena ubatan yang diberikan. Apakah peranan ubatan dan kesan sampingan supaya mereka tidak mempercayai maklumat yang kurang tepat," katanya.

Selain itu, menurut Dr Shalini yang sudah bertugas menjadi doktor sejak 15 tahun lalu berkata media dan orang ramai juga perlu memainkan peranan dalam membendung penularan mitos mengenai kencing manis ini.

"Peranan media pula adalah dengan mengawal penularan berita palsu. Masyarakat juga perlu melaporkan fakta yang kurang benar yang sebarkan di laman media kepada pihak berwajib.

"Golongan doktor dan pegawai perubatan, golongan akademik, boleh mengetengahkan mengenai fakta palsu itu supaya masyarakat tahu sama ada itu benar atau tidak," katanya.

Sebagai pakar Perunding Perubatan dan Endokrinologi, Dr Shalini berharap orang ramai terutama golongan muda tidak mengambil mudah mengenai penyakit kencing manis terutama jika ahli keluarga mempunyai sejarah penyakit kencing manis.

"Penyakit kencing manis ini boleh dihidapi golongan muda dan komplikasi penyakit ini akan lebih teruk kerana ia boleh merosakkan buah pinggang pada usia 30 atau 40 tahun.

"Bagi ibu yang mengalami Gestational Diabetes Mellitus (GDM) semasa mengandung, adalah perlu mereka membuat pemeriksaan selepas enam minggu melahirkan atau membawa anak melakukan pemeriksaan apabila mereka sudah baligh.

"Selain itu, diharap masyarakat jangan terlalu percaya dengan apa yang didengari atau mitos terutama yang membabitkan pengambilan makanan tambahan.

"Sentiasalah merujuk kepada doktor dan fakta yang sahih. Bukan dari majalah atau laman sosial yang tidak diselia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 6:16 AM