KARDIOMIOPATI terjadi apabila berlakunya hipertiroidisme.
KARDIOMIOPATI terjadi apabila berlakunya hipertiroidisme.
Aniza Zainudin


HIPERTIROIDISME dan hipotiroidisme, dua masalah kesihatan sering dikaitkan dengan perubahan mahupun gangguan hormon tiroid.

Hormon tiroid dirembeskan daripada kelenjar tiroid yang berbentuk rama-rama terletak di bahagian hadapan leher.

Hormon tiroid yang dihasilkan sama ada tiroksin (T4) dan triiodotironina (T3) memainkan peranan penting dalam proses tumbesaran, perkembangan dan metabolisme badan, selain menentukan kadar fungsi organ dalaman.

Gangguan perubahan hormon tiroid, hipertirodisme atau bahasa mudahnya kelenjar tiroid terlebih aktif dan hipotiroidisme (kelenjar kurang aktif) secara tidak langsung memberi impak negatif terhadap fungsi jantung.

Pakar Perunding Kardiologi, Dr Mohd Kamal Mohd Arshad berkata, hormon tiroid memberi kesan kepada fungsi jantung termasuk meningkatkan daya pengecutan otot dan kadar denyutan jantung.

Dua masalah tiroid ini (hipertiroidisme dan hipotiroidisme) mempengaruhi jantung menerusi reseptor hormon tiroid yang terdapat dalam otot jantung serta salur darah.

“Hipertiroidisme membuatkan peredaran darah menjadi lebih tinggi.

“Lantas, turut meningkatkan kadar denyutan dan daya penguncupan jantung.

“Apabila kadar denyutan jantung tinggi, jumlah darah dan pengekalan cecair turut meningkat.

“Output normal jantung empat hingga lapan liter per minit, namun ini boleh menjadi 20 liter per minit apabila berlakunya hipertiroidisme.

“Apabila jantung bekerja lebih keras, pesakit mengalami masalah jantung seperti kadar denyutan jantung pantas, kegagalan jantung akibat pengenduran otot jantung yang terjejas, pertambahan jisim otot jantung, fibrilasi atrium dan tekanan darah lebih tinggi pada paru-paru.

DR Mohd Kamal
DR Mohd Kamal

“Gejala menunjukkan pesakit mengalami hipertiroidisme apabila mereka mengadu mengalami masalah jantung berdebar (palpitasi), sakit dada bila melakukan kerja berat, sesak nafas dan bengkak pada kaki.

“Jantung hipertiroidik yang perlu bekerja keras akan mengalami kardiomiopati jika tidak dirawat,” katanya dalam sesi penerangan ‘Ancaman Tiroid Terhadap Jantung’, di Pusat Perubatan Sunway, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Isu hipotiroidisme pula bertentangan dengan masalah hipertiroidisme apabila hormon dihasilkan tidak mencukupi untuk fungsi badan.

Menurut Dr Mohd Kamal, kekurangan hormon tiroid akan mengurangkan output jantung dan membuatkan kadar denyutan jantung menjadi perlahan.

Katanya, pesakit berisiko lebih tinggi menghidapi penyakit kardiovaskular.

Jelasnya, penyakit itu merangkumi masalah arteri koronari dan angin ahmar (strok) kerana paras kolesterol tinggi, berlakunya peningkatan ketebalan salur darah karotid dan tekanan darah tinggi.

Sementara itu, Pakar Perunding Endokrinologi, Dr Alexander Tan Bong Bong berkata, di Malaysia seramai 3.4 peratus penduduk disahkan menghidap hipertiroidisme manakala 2.1 peratus pula hipotiroidisme.

Katanya, selain pesakit mengalami kedua-dua masalah tiroid ini, sebahagian besar mereka mewarisinya secara genetik.

Katanya, pesakit jantung sedia ada akan mengalami simptom lebih teruk sekiranya mereka menghidapi masalah hipertiroidisme dan hipotiroidisme.

“Pengambilan makanan laut boleh meningkatkan masalah hipertiroidisme kerana ia mengandungi sumber iodin tinggi.

MAKANAN laut sumber iodin.
MAKANAN laut sumber iodin.

“Pesakit dinasihatkan melakukan senaman ringan.

“Penghidap hipertiroidisme yang mengalami kadar denyutan jantung tinggi secara tidak normal termasuk ketika berehat boleh memburukkan keadaan penyakit mereka jika berterusan melakukan aktiviti berat.

“Pesakit hipotiroidisme pula sering mengalami kekurangan darah di bahagian otak gara-gara kadar denyutan jantung rendah dan mereka mudah berasa pening kepala dan pengsan.

“Justeru, diagnosis awal dan tepat dapat menguruskan masalah ini dengan lebih baik dan 100 peratus dapat membantu fungsi jantung semula,” katanya.

Antara rawatan yang disarankan, pengambilan ubatan seperti anti tiroid (carbimazole), iodin radioaktif yang dapat mengurangkan penghasilan tiroid dan juga pembedahan membuang kelenjar tiroid.

Simptom tiroid berkaitan sakit jantung

l Kadar jantung cepat.

l Palpitasi, tanpa nafas semasa melakukan kerja.

l Kadar jantung perlahan.

l Tidak bernafas semasa

melakukan kerja.

l Kegagalan jantung.

l Bengkak kaki, pembengkakan abdomen.

l Penyakit kardiovaskular.

l Kesakitan dada atau termengah-mengah ketika latihan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 5:05 AM