FACK menjalani pemeriksaan kesihatan sempena kempen.
FACK menjalani pemeriksaan kesihatan sempena kempen.
(DARI kiri) Dr Nor Azmi, Dr Nor Akma dan Fack pada majlis pelancaran kempen kesedaran hipotiroidisme.
(DARI kiri) Dr Nor Azmi, Dr Nor Akma dan Fack pada majlis pelancaran kempen kesedaran hipotiroidisme.
GOITER atau kelenjar tiroid membesar antara komplikasi hipotiroidisme yang tidak dirawat.
GOITER atau kelenjar tiroid membesar antara komplikasi hipotiroidisme yang tidak dirawat.
Oleh Zaitie Satibi


Dianggarkan 300 juta penduduk dunia menghadapi masalah kelenjar tiroid yang menghasilkan jumlah berlebihan atau kekurangan hormon. Malangnya, kebanyakan penduduk dunia termasuk pesakit sendiri tidak menyedari mereka menghidap gangguan kelenjar terbabit disebabkan gejala penyakit ini menyerupai penyakit lain.

Tiroid adalah sejenis kelenjar atau organ kecil berbentuk seperti rama-rama di pangkal leher, di depan tekak kita dengan saiz sebesar syiling 50 sen. Organ kecil ini menghasilkan dua hormon tiroid dikenali sebagai thyroxine (T4) dan triiodothyronine (T3) yang mempengaruhi hampir setiap proses fisiologikal dalam tubuh termasuk pelbagai fungsi metabolisme, tumbesaran dan perkembangan, suhu tubuh, jantung, paru-paru dan kesejahteraan emosi.

Kelenjar tiroid mengawal kadar degupan jantung, mengawal kadar tekanan darah, mengawal tahap tenaga, mengawal suhu, menggalakkan perkemba­ngan optimum bagi kanak-kanak dan mengekalkan kesejahteraan fizikal dan mental bagi orang dewasa.

Ketua Unit Diabetes dan Endokrinologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Nor Azmi Kamaruddin berkata, hipotiroidisme adalah keadaan kelenjar tiroid tidak menghasilkan hormon tiroid yang mencukupi dan tidak dapat memenuhi keperluan tubuh sehingga mengganggu beberapa fungsi tubuh.

“Kebanyakan pesakit tidak didiagnosis dengan masalah tiroid dan menderita terlalu lama disebabkan tanda penyakit ini dikelirukan dengan masalah lain. Tanda hipotiroidisme sama dengan masalah perubatan yang lain, oleh itu masalah tiroid selalu terlepas pandang. Gejala mungkin sudah timbul sejak bertahun-tahun tetapi tidak diketahui.

“Disebabkan tanda penyakit ini tidak spesifik, ramai yang menganggap ia berpunca daripada tekanan, gaya hidup tidak sihat atau peningkatan usia. Kegagalan fungsi tiroid hanya boleh disahkan oleh doktor menerusi ujian darah yang ringkas bagi memeriksa tahap hormon perangsang tiroid (TSH) dan hormon tiroid dalam darah.

“Malah, seseorang pesakit juga tidak menunjukkan gejala hipotiroidisme dan ia hanya boleh dikesan melalui ujian darah. Walaupun hipotiroidisme boleh berlaku di semua peringkat umur termasuk bayi baru lahir, tetapi ia dua kali ganda lebih kerap menyerang wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena pelancaran kempen kesedaran hipotiroidisme, Ubah Hidup Anda, dianjurkan syarikat farmaseutikal, Merck Malaysia dengan kerjasama Persatuan Metabolisme dan Endokrinologi Malaysia (MEMS) di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Kempen itu menggalakkan orang ramai menjalani pemeriksaan dan jika perlu mendapatkan rawatan untuk hipotiroidisme. Penganjur turut berharap dapat mendidik orang ramai mengenai tanda-tanda penyakit terbabit supaya penyakit dikesan awal dan rawatan dilakukan secepat mungkin.

Perasmian kempen disempurnakan Timbalan Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan, Datin Dr Nor Akma Yusuf. Turut hadir, Pengarah Urusan Merck Malaysia, Frederic Fack.

Tanda biasa hipotiroidisme seperti kulit kering dan bersisik, rambut kusam dan rapuh, peningkatan berat badan, keletihan sepanjang masa, sembelit, sakit otot dan sendi, degupan jantung perlahan, sensitif sejuk, murung, mudah lupa, kitaran haid tidak teratur, kurang keinginan seks, muka sembap, paras kolesterol dan tekanan darah yang tinggi.

Semakin perlahan kadar proses metabolisme, semakin banyak tanda-tanda hipotiroidisme yang akan timbul sedikit demi sedikit dalam jangka masa panjang. Jika tidak dirawat, gejala akibat kekurangan hormon berkenaan boleh menjadi lebih teruk dan membawa kepada masalah kesihatan yang serius.

Tanda lain hipotiroidisme pada orang dewasa seperti lembap berfikir, mudah tersinggung, tidak boleh menumpukan perhatian, keguguran rambut, suara menjadi garau, sakit tekak berterusan, sukar menelan, tidak subur, kerap sakit kepala, insomnia, selera berkurang, alahan menjadi teruk, kejang otot, sukar menurunkan berat badan dan kurang stamina.

Lemah tubuh badan atau keletihan adalah tanda-tanda hipotiroidisme yang paling ketara dalam kalangan pesakit iaitu 99 peratus, diikuti kulit kering dan kasar (97 peratus), kelesuan dan pertuturan lambat (91 peratus), kesejukan dan kurang berpeluh (89 peratus), muka sembap (79 peratus), rambut kasar (76 peratus), kulit pucat (67 peratus), hilang memori (66 peratus), sembelit (61 peratus), peningkatan berat badan (59 peratus), rambut gugur (57 peratus) dan pekak (30 peratus).

Dr Nor Azmi yang juga Presiden MEMS berkata, hipotiroidisme yang tidak dikawal ketika kehamilan juga boleh menyebabkan bayi dilahirkan dengan tumbesaran terbantut, perkembangan mental terjejas seperti masalah pembelajaran, tumpuan dan percakapan serta tahap kepintaran (IQ) lebih rendah.

Ini kerana, pembentukan kelenjar tiroid berlaku pada permulaan kehamilan dan hipotiroidisme dalam kalangan bayi berlaku apabila kelenjar berkenaan tidak terbentuk atau terbentuk sebahagian saja, mempunyai kelenjar tiroid tetapi tidak berfungsi atau kelenjar tiroid tidak berada di kedudukannya yang biasa.

Kekurangan hormon tiroid dalam kalangan ibu hamil menyebabkan mereka mendapat tekanan darah tinggi, kekurangan darah (anemia), keguguran, manakala bayi yang dilahirkan kurang berat badan di samping mempengaruhi keseluruhan tumbesaran dan perkembangan bayi. Hipotiroidisme dalam kalangan bayi yang tidak dirawat menjadi satu daripada punca terencat akal.

“Tanda-tanda yang lazim muncul pada bayi dengan hipotiroidisme seperti tiada satu pertiga bahagian kening, sembelit kronik, keletihan, murung, degupan jantung perlahan, mudah menangis, sensitif sejuk, muka sembap, berat meningkat, rambut gugur, benjolan kuning pada kelopak mata dan tindak balas yang lambat serta tidak aktif.

“Bayi dengan hipotiroidisme juga menghidap pe­nyakit kuning (jaundis) berpanjangan, lidah terkeluar, kulit kering dan kasar, berperut buncit. Malah, terdapat segolongan k ecil bayi mengalami masalah pendengaran. Apabila penyakit berkembang tanpa rawatan awal, bayi akan berdepan masalah makan dan membesar dengan normal, lemah otot dan tidur berlebihan,” katanya.

Beberapa punca dikenal pasti menyumbang kepada masalah kelenjar tiroid sehingga gagal menghasilkan hormon tiroid seperti penyakit autoimun iaitu sistem imun menghasilkan antibodi yang menyerang tisu sendiri dan proses ini membabitkan kelenjar tiroid apabila antibodi itu mempengaruhi keupayaan tiroid menghasilkan hormon. Gangguan auto­imun ini juga dikenali sebagai Thyroiditis Hashimoto iaitu kelenjar tiroid membesar (goiter).

Pembedahan membuang sebahagian atau keseluruhan kelenjar tiroid juga menghentikan pengeluaran hormon tiroid. Rawatan radio iodin atau pengambilan ubatan anti tiroid bagi merawat masalah hormon tiroid berlebihan juga menyumbang hipotiroidisme. Selain itu, terapi radiasi bagi rawatan kanser berkaitan kepala dan leher juga menjejaskan keupayaan kelenjar tiroid mengeluarkan hormon.

Kekurangan iodin yang banyak ditemui dalam makanan laut dan tumbuhan juga menyumbang masalah hipotiroidisme kerana bahan mineral ini penting dalam pengeluaran hormon tiroid. Situasi ini biasanya berlaku dalam kalangan penduduk di kawasan pedalaman yang jauh dari laut dan kurang makan hasil laut.

“Hipotiroidisme sebenarnya mudah dirawat, tetapi ramai orang terus menderita kerana tidak tahu mereka mempunyai masalah ini walaupun mengalami tanda-tandanya. Oleh itu, individu yang berisiko perlu melakukan ujian darah untuk mengesan penyakit ini.

“Mereka yang berisiko termasuk semua wanita dewasa terutama bakal ibu dan yang sukar hamil, individu berusia lebih 50 tahun, pesakit diabetes Jenis I atau penyakit autoimun lain, mempunyai sejarah ahli keluarga yang menghidap penyakit tiroid, pernah mendapat rawatan radiasi pada leher atau dada ke atas dan pembedahan tiroid.

“Ini juga membabitkan kelahiran baru dan mereka yang ada masalah genetik seperti Sindrom Down dan Sindrom Turner, terapi ubatan membabitkan lithium dan amiodarone, wanita hamil tiga bulan, wanita bersalin selepas enam bulan dan peningkatan paras lemak,” katanya.

Mereka yang mempunyai masalah hipotiroidisme perlu mengambil hormon tiroid untuk mengganti hormon yang tidak lagi dihasilkan oleh kelenjar tiroid. Rawatan yang biasa membabitkan pengambilan pil hormon tiroid sintetik dikenali levothyroxine (L-Thyroxine) sekali sehari pada dos yang ditetapkan oleh doktor.

“Rawatan ini berkesan untuk menghilangkan atau mengurangkan gejala hipotiroidisme dengan mengembalikan tahap hormon yang mencukupi, tetapi ia perlu diteruskan untuk sepanjang hayat. Namun, dos pengambilan diperlukan mungkin berubah dan pesakit perlu melakukan pemeriksaan paras TSH secara berkala.

“Ini juga bagi mengelakkan pesakit mendapat kesan sampingan pengambilan L-Thyroxine. Kesan sampingan tidak timbul sekiranya pesakit mematuhi arahan dos dibenarkan dan tidak menukar jenama ubatan. Jika perlu menukar jenama ubatan, maklumkan kepada doktor bagi memastika pesakit mengambil dos ditetapkan.

“Jangan berhenti mengambil pil L-Thyroxine atau mengambilnya secara berselang hari walaupun pesakit berasa semakin baik kerana tanda-tanda hipotiroidisme akan datang kembali,” katanya.

Sementara itu, Frederic dalam ucapannya berkata, kempen itu menampilkan pelbagai aktiviti seperti ujian fungsi tiroid secara percuma, pengedaran poster dan risalah di hospital dan klinik, laman web pendidikan dan inisiatif media sosial.

“Pihak kami gembira menyokong kempen ini kerana Merck mempunyai komitmen jangka panjang kepada rawatan penyakit tiroid sejak 1894. Malah, kami juga bekerjasama dengan Persekutuan Tiroid Antarabangsa (TFI) bagi melancarkan Kempen Kesedaran Tiroid Antarabangsa (ITAW) yang kini menjadi kempen kesedaran global.

“Menerusi usahama dengan MEMS dalam kempen ini, kami akan membantu meningkatkan kesedaran mengenai hipotiroidisme di Malaysia dengan sasaran untuk mengurangkan penderitaan yang tidak sepatutnya dihadapi orang ramai setiap hari,” katanya yang turut menyeru orang ramai melayari laman web www.tyl.my atau Facebook, Transform Your Life-TYL, untuk maklumat lanjut penyakit terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2015 @ 5:01 AM