ULSER pada mulut membuatkan rasa kurang selesa pada pesakit terutama ketika makan dan bercakap.
ULSER pada mulut membuatkan rasa kurang selesa pada pesakit terutama ketika makan dan bercakap.
Nurul Husna Mahmud

SATU kebiasaan apabila anda makan sesuatu liat dan sukar dikunyah menyebabkan berlakunya insiden seperti tergigit lidah mahupun dinding bahagian pipi atau bibir.

Keadaan itu tentu mengganggu selera apatah lagi keadaan itu berakhir dengan luka ulser berbentuk bulat warna putih pada bahagian mulut.

Punca ketara mengapa ulser berlaku berbeza mengikut individu, ia bergantung pada mekanisme penyembuhan semula jadi pada tubuh yang berlainan bagi setiap individu.

Dalam erti kata lain, tidak semestinya luka tergigit itu akan menyebabkan ulser kerana pada sebahagian individu, luka kecil di dalam mulut ini boleh pulih secara semula jadi tanpa bantuan ubat atau rawatan doktor.

Menurut Pegawai Perubatan, Dr Nur Asyikin Mohd Zaki, masalah ulser pada mulut itu diburukkan lagi dengan tabiat pesakit yang gemar mengambil makanan pedas, masam atau panas.

“Ulser pada mulut berlaku disebabkan tekanan seperti luka berterusan tanpa dirawat seperti akibat tergigit, mulut kering dan jangkitan bakteria.

“Lebih memburukkan keadaan ialah sikap segelintir pesakit yang gemarkan makanan pedas, panas dan masam kerana ia boleh menyebabkan ulser lambat sembuh dan merebak ke kawasan lain dalam mulut,” katanya.

Sebaiknya, dapatkan rawatan andai luka tidak sembuh selain tidak memberi tekanan kepada kawasan kecederaan.

Fakta lain dikongsi Dr Nur Asyikin ialah ulser itu tidak hanya terjadi pada mulut tetapi juga bahagian lain tubuh mengikut kawasan dan gejala ulser berkenaan.

“Ramai beranggapan ulser hanya berlaku pada mulut kerana ia lebih mudah dilihat berbanding bahagian tubuh lain.

“Sedangkan ulser boleh berlaku pada organ lain seperti bahagian dinding perut, di sepanjang saluran makanan sehinggalah ke usus dan pada bahagian tulang ekor pinggul di panggil sekrum mahupun di bahagian kaki disebabkan penyakit diabetes.

“Umumnya ulser berkait rapat dengan tekanan baik berpunca daripada luka berterusan tidak dirawat, komplikasi penyakit lain, stres mahupun trauma,” katanya.

Ulser boleh berlaku dalam lima keadaan iaitu:

1. Ulser pada mulut

Tabiat tergigit dinding mulut disusuli dengan pengambilan makanan pedas dan masam boleh memberi kesan kepada bahagian tercedera mendapat komplikasi ulser di mulut.

Ia diburukkan lagi dengan tabiat kurang minum air serta bahagian dalam mulut kering menyebabkan ulser tidak sembuh.

Rawatan dan tip pencegahan:

i. Kit oral iaitu ubat khusus membantu merawat luka pesakit.

ii. Tingkatkan penjagaan kebersihan mulut.

iii.. Elak makanan boleh mendatangkan stres pada luka ulser seperti pedas, panas dan masam.

iv. Atasi masalah itu dengan mengurangkan tekanan pada bahagian luka iaitu minum dengan penyedut minuman.

v. Boleh cuba ialah makan aiskrim vanila untuk terapi pada bahagian luka berkenaan.

AISKRIM vanila bantu melegakan ulser mulut.
AISKRIM vanila bantu melegakan ulser mulut.

2. Ulser pada dinding perut sering berlaku disebabkan penyakit gastrik

Tabiat makanan kurang sesuai seperti pedas, masam dan panas boleh menyebabkan segelintir individu mengalami masalah ulser.

Biasanya pesakit gastrik yang mengambil makanan bersifat ‘tajam’ dan tidak mudah hadam menyebabkan dinding perut mengalami radang.

Kesannya pengambilan bahan sedemikian menyebabkan kawasan terkena radang mendapat luka serupa berulang kali.

Rawatan dan tip pencegahan:

i. Ambil makanan sesuai dengan pemakanan sihat atau saranan pakar.

ii. Berhenti pengambilan makanan yang boleh memberi kesan kepada perut seperti alkohol dan sirih.

iii. Elak minuman berkarbonat. Minuman sebegini mengandungi gula tinggi dan boleh menjadi makanan kepada bakteria selain melambatkan proses penyembuhan.

3. Orang yang terlantar atas katil

Merujuk pada mereka yang terlantar lama di katil seperti pesakit strok dan kemurungan.

Gejala bagi penyakit ini iaitu ulser terhasil akibat stres pada bahagian ekor tulang yang dikenali sekrum.

Rawatan dan tip pencegahan:

i. Badan pesakit perlu digerakkan ke kiri dan kanan terutama pesakit strok.

4. Ulser kaki pesakit diabetes

Luka lama tidak dirawat akan jadi gangren atau berbentuk kehitam-hitaman. Biasanya masalah ini membabitkan pesakit diabetes.

Rawatan dan tip pencegahan:

i. Hanya dengan kawalan aras gula membantu pesakit diabetes tidak menghadapi masalah ulser ini.

ii. Anggota yang sudah menghidapi gangren biasanya dipotong bagi mengelak jangkitan ke bahagian kaki lain.

5. Luka ulser sepanjang saluran makanan dipercayai berpunca atau gejala kanser perut.

Perlu menjalani ujian saringan khas untuk mengenal pasti bahagian terkena ulser sebelum memilih rawatan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 7:00 AM